'Luluh hati bila mereka asyik menangis, dari rumah sampailah ke kubur...' Kebakaran ragut nyawa ibu, tangisan 3 beradik meruntun jiwa!

SUASANA pilu menyelubungi sebuah kediaman di Kampung Baru, Sri Gading, apabila tiga beradik kecil tidak henti-henti menangis meratapi pemergian ibu mereka yang terkorban dalam kebakaran rumah, Sabtu lalu.
"Dari rumah hingga ke kubur, tiga anak arwah tidak henti menangis sambil memanggil ibu mereka," luah Suhana Tumin, 52, nenek saudara kepada tiga beradik yang kehilangan tempat bermanja buat selama-lamanya.
Tiga beradik itu, Iffa Safwa Mohd Nazri, 10, Afif Ryan, 7, dan Naifa Safwa, 6, seakan-akan tidak mampu menerima kenyataan apabila melihat jenazah ibu mereka, Syarah Masturah Abdullah, 31, terbujur kaku sebaik tiba dari hospital.
Suhana berkata, tangisan mereka membuatkan seluruh ahli keluarga dan sanak saudara tidak dapat menahan sebak.

"Ketika jenazah tiba, kami beri peluang anak-anak arwah untuk mencium buat kali terakhir. Ketika itu, mereka teriak panggil 'ibu... ibu...' tanpa henti. Sampailah jenazah dibawa ke masjid pun mereka masih menangis.
"Bila tengok mereka bertiga begitu, hati saya luluh. Saya tidak tahu nak cakap apa. Dari rumah sampailah ke tanah perkuburan, mereka memanggil ibu mereka. Sampai kami terpaksa pujuk dan tenangkan mereka," katanya dengan nada sayu.
Lebih menyayat hati, Suhana berkata, dia sendiri tidak sanggup berterus terang kepada anak sulung arwah, Iffa Safwa, yang bertanya tentang ibunya.
"Saya hanya mampu beritahu ibunya masih di hospital. Saya tak sampai hati nak bagitahu perkara sebenar," katanya ketika ditemui semalam.
Suhana dimaklumkan tentang pemergian Syarah selepas menerima panggilan dari Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) sekitar jam 9.45 malam kelmarin.
Ketika itu, beliau bersama kakaknya, Subidah, 68, yang juga ibu arwah, berada di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk memberi keterangan.
"Saya dah agak, sebab di hospital doktor dah beritahu keadaan arwah. Jadi, kami terima dengan reda.
"Arwah melecur 74 peratus. Doktor masukkan air ke dalam pun keluar semula. Kulitnya dah tak ada, semua melecur," katanya sebak.

Nasib anak-anak arwah
Berhubung penjagaan anak-anak arwah, Suhana berkata, buat masa ini mereka tinggal bersama nenek mereka yang menetap di Kuala Lumpur sementara menunggu tindakan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani mengesahkan laporan bedah siasat menunjukkan kematian Syarah berpunca daripada melecur teruk.
Dalam tragedi jam 4.30 petang itu, selain Syarah, seorang lelaki berusia 29 tahun turut melecur. Namun, tiga anak arwah serta suaminya terselamat selepas sempat keluar menyelamatkan diri.
Allahyarham Syarah meninggalkan empat orang anak, termasuk seorang anak perempuan hasil perkahwinan pertamanya.
Jenazahnya telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Kampung Baru, Sri Gading, pada jam 4 petang semalam.
Al-Fatihah buat arwah. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan anak-anaknya terus tabah menghadapi kehidupan tanpa kasih seorang ibu.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang