'Mangsa tak tahu perasaan itu' – Pendam cinta tak terluah, suspek tikam leher & dada, guna pisau dibeli dalam talian
KES tikam hingga mati membabitkan pelajar sekolah menengah berusia 16 tahun di Bandar Utama, Petaling Jaya terus mengundang sayu.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, proses bedah siasat yang dijalankan mendapati mangsa ditikam berulang kali.
Beliau berkata, proses bedah siasat terhadap mayat pelajar berusia 16 tahun itu dijalankan di Jabatan Patologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan selesai kira-kira jam 2.30 pagi.
“Hasil bedah siasat mendapati banyak kesan luka ditemui pada tubuh mangsa.
“Mangsa dipercayai ditikam berulang kali pada bahagian leher dan dada,” katanya.
Shazeli yang laporan rasmi daripada pakar patologi untuk butiran lanjut juga berkata remaja lelaki yang merupakan suspek menikam rakan sekolahnya dipercayai memendam perasaan terhadap mangsa.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek dikatakan menyimpan perasaan cinta terhadap pelajar perempuan itu walaupun mereka tidak pernah berhubung secara langsung.
“Siasatan mendapati suspek dan mangsa tidak berada dalam kelas yang sama. Suspek merupakan pelajar Tingkatan Satu (Kelas Peralihan), manakala mangsa pelajar Tingkatan Tiga (Kelas Peralihan).
“Suspek dipercayai menyukai mangsa, namun tidak pernah meluahkan perasaan tersebut, manakala mangsa tidak mengetahui tentang perasaan itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Rabu.
Katanya, siasatan mendapati tiada sebarang hubungan atau interaksi antara kedua-dua pelajar berkenaan sebelum kejadian berlaku.

“Siasatan turut mendapati suspek mempunyai abang yang belajar di sekolah sama.
“Saringan yang dijalankan mendapati suspek negatif dan bebas daripada sebarang pengaruh dadah,” katanya.
Terdahulu, mayat mangsa selesai dituntut pada jam 7.30 pagi selepas proses bedah siasat selesai dijalankan.
Difahamkan tiga senjata yang dirampas dipercayai dibeli suspek menerusi platform dalam talian.
Dua bilah pisau dan satu kerambit itu dibeli secara dalam talian.

“Siasatan mendapati hanya pisau digunakan untuk menikam mangsa ketika kejadian, manakala kerambit tidak digunakan.
“Selain itu, berdasarkan siasatan, keluarga suspek tidak mengetahui mengenai senjata yang dimiliki suspek itu,” katanya.
Katanya, polis kini masih menyemak tempoh suspek memiliki senjata berkenaan dan mendapati kaedah pembelian senjata itu, namun sejak bila remaja itu memilikinya masih dalam siasatan lanjut.
“Semakan turut mendapati tiada pemeriksaan dilakukan terhadap beg-beg pelajar sebelum memasuki sekolah berkenaan sebelum ini,” katanya.
Terdahulu SinarPlus berkongsi pelajar perempuan Tingkatan Empat maut ditikam pada Rabu. Dalam kejadian pada 9.30 pagi itu, suspek yang merupakan pelajar Tingkatan Satu (Peralihan) membawa pisau ke sekolah manakala pelajar perempuan itu telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
Susulan kejadian itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail memaklumkan bahawa suspek berjaya ditahan pada hari sama.
Sumber: Sinar Harian, 2
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

