Peguam ibu Zara Qairina mohon dakwaan 5 remaja ditangguh, pertimbang Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan, AG putus teruskan
PERMOHONAN pasukan peguam yang mewakili ibu kepada arwah Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat agar pendakwaan terhadap lima remaja ditangguhkan, mencetuskan perhatian ramai apabila dikaitkan dengan kebimbangan kemungkinan wujud kesalahan lebih berat dalam kes berprofil tinggi itu.
Menurut pasukan peguam berkenaan, peguam Hamid Ismail, Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser, jika kes diteruskan di bawah pertuduhan sedia ada serta semua tertuduh mengaku bersalah, mereka tidak lagi boleh didakwa semula atas kesalahan yang lebih serius sekiranya bukti baharu ditemui kelak.
Menerusi kenyataan media bersama yang dimuat naik, peguam berkenaan memohon agar pendakwaan yang dijadualkan pada Rabu ditangguhkan buat sementara waktu agar dapat dipertimbangkan semula untuk mendakwa lima remaja terbabit di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.
"Selepas kami mengeluarkan kenyataan media semalam, kami baru mengetahui bahawa lima remaja tersebut akan didakwa di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan kerana membuli Zara Qairina.
"Kami dengan ini memohon agar Peguam Negara dapat menangguhkan pendakwaan tersebut buat sementara waktu.
"Kami memohon agar Peguam Negara dapat mempertimbangkan agar semua remaja di atas dituduh di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.
"Sekiranya keterangan yang ada tidak mencukupi untuk membuktikan sabitan bagi kesalahan di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan, kami berharap siasatan lanjut dapat diteruskan menjurus ke arah kesalahan tersebut dan pendakwaan ditangguh seketika," katanya pada Selasa.
Pasukan peguam berkenaan yang telah menulis surat kepada Peguam Negara pagi ini merayu supaya kesemua remaja terbabit didakwa atas kesalahan lebih berat sekiranya keterangan sedia ada serta hasil siasatan lanjut mencukupi bagi membuktikan pertuduhan di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.
"Kami sangat khuatir sekiranya pendakwaan di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan diteruskan dan semua tertuduh mengaku bersalah pada esok hari atau tarikh-tarikh berikutnya, apabila siasatan lanjut ataupun inkues menemui keterangan yang boleh membuktikan berlakunya kesalahan di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan atau kesalahan yang lebih berat, mereka tidak lagi boleh didakwa atas dasar 'Double Jeopardy' yang termaktub di dalam Artikel 7(2) Perlembagaan Persekutuan," katanya.
AG PUTUS TERUS DAKWAAN
Bagaimanapun dalam perkembangan terkini, Jabatan Peguam Negara (AGC) tetap akan meneruskan pendakwaan berkenaan.
“Kita akan teruskan,” kata Peguam Negara (AG), Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata demikian ketika dihubungi Sinar Harian.
Katanya, pendakwaan akan diteruskan mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan (Pindaan 2025) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan rekod, seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Mohd Dusuki mendedahkan akan mendakwa lima remaja perempuan berusia bawah 18 tahun akan didakwa di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu, Sabah pada Rabu ini atas pertuduhan membuli Zara Qairina dengan mengugut melalui komunikasi.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan (Pindaan 2025) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Katanya, keputusan menuduh suspek bagi kesalahan buli tidak akan menjejaskan prosiding inkues kematian Zara Qairina yang akan dijalankan di mahkamah.
Sumber: Sinar Harian 1, 2, 3, Facebook
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

