'Kalau tahu kami tidak akan tandatangan untuk menolak bedah siasat' - Ibu Zara Qairina akui panik
ISU membabitkan bedah siasat Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, terus menjadi perhatian warganet.
Terutama selepas pendedahan siasatan awal dilakukan Pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang didedahkan Pengarah JSJ, Datuk M Kumar S Muthuvelu bahawa ibu remaja itu, Noraidah Lamat, 45, menandatangani dokumen hospital ‘Akuan Enggan Bedah Siasat Mayat Atas Kemahuan Sendiri.’
Dalam satu komen di Facebook, Noraidah mendedahkan, dia terlalu sebak dan keliru hingga tidak mampu berfikir dengan tenang sewaktu diminta membuat keputusan tentang bedah siasat ke atas jenazah anak yang amat dikasihinya.

Noraidah menerusi akaun Noie AiDa mendedahkan dia terlalu terkejut dan panik sehingga tidak mampu membuat keputusan yang sewajarnya dalam keadaan penuh hiba dan kekeliruan itu.
"Tiada penjelasan yang jelas dan kami tidak biasa dengan kes seperti ini. Kami panik dan tiada nasihat diberikan mengenai proses bedah siasat.
"Jika tahu, kami tidak akan menurunkan tandatangan untuk menolak bedah siasat itu.

"Boleh bayangkan ke sekarang. Kematian ini berlaku terlalu cepat, satu malam di Hospital Queen Elizabeth (HQE). 20 jam masuk di Wad Neuro," luahnya.
Difahamkan, dokumen berkenaan turut ditandatangani doktor, patalogi dan pegawai penyiasat.

Terdahulu, M Kumar turut mendedahkan hasil bedah siasat pada 10 Ogos mendapati ia selari dengan diagnosis awal iaitu kecederaan otak teruk akibat kekurangan oksigen dan aliran darah ke otak berpunca daripada jatuh.
Bedah siasat dijalankan atas permintaan polis, disertai tiga doktor dari Hospital Serdang dan HQE, Kota Kinabalu.
Sumber: Facebook
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
