Nourul Depp diuji kanser, lima tahun tanpa rahim dan ovari. 'Alhamdulillah tahap satu saja'
PENYANYI Nourul Depp mendedahkan pernah diancam kanser saluran vagina tujuh yang lalu yang memaksanya menjalani pembedahan organ reproduktif wanita iaitu rahim dan ovari untuk menyelamatkan nyawanya.
Pemilik nama Noorulhuda Abdul Wahab menjelaskan telah mengambil keputusan itu dibuat selepas disahkan prakanser sebelum hamil anak keempatnya,
"Bila dapat tahu (kanser), doktor adalah bagi cara mengubat seperti suntikan vaksin HPV (virus papilloma manusia) yang lazimnya untuk wanita berdepan masalah uterus. Doktor suruh cuba dulu enam bulan.
"Tapi kanser itu datang lagi dan berkembang daripada pra kanser kepada tahap satu. Proses itu berlaku sehingga saya mengandungkan Isabella (anak keempat). Kalau makin teruk, saya takkan mengandung.
"Doktor suruh buat sekali lagi analisis dan memang kanser. Saya memutuskan untuk membuang (rahim). Alhamdulillah, sekarang sudah tiada apa-apa," katanya.
Ibu kepada lima cahaya mata itu berkata dia bersyukur kerana dapat mengesan kanser itu pada peringkat awal disebabkan mempunyai pengetahuan berikutan kakaknya turut diuji dengan kanser ovari yang lebih serius.

"Sebab lakukan pemeriksaan kesihatan setiap tahun, itu yang saya dapat tahu. Alhamdulillah sekarang saya sudah bebas (kanser) dan tak ada apa-apa. Memang tak ada ambil kemoterapi atau rawatan lain.
"Alhamdulillah juga sampai tahap satu saja kerana tahulah kalau sudah sampai tahap satu pun berbahaya. Tahun lalu, saya buang ovari pula dan kakak saya juga kena kanser ovari tahap 3B," katanya.
Pelantun Cinta Azali itu juga tidak menafikan penyakit kronik itu itu berpunca daripada stres melampau selepas ditipu RM80,000 oleh pihak yang berjanji mahu menerbitkan album bahasa Perancis lesap pada 2018.
"Sebuah syarikat tempatan kata nak taja dan semua perjanjian pun ada untuk memberi dana RM80,000. Saya dan suami okay, percaya, tanda tangan perjanjian, keluar duit dulu pergi buat album di Perancis.
"Rupanya kami ditipu syarikat itu, kes pun masuk mahkamah, namun mereka lesap dan sampai ke hari ini RM80,000 itu tak dapat. Itu memang antara dugaan hidup paling besar buat saya.
"Rakan suami yang mengkaji pasal minda, stres, tenaga dan sebagainya cakap saya stres. Memang pun, stres berlaku disebabkan hormon kortisol tinggi. Kebanyakan yang dapat kanser sekarang sebab stres," jelasnya.
Sekadar info, penyanyi kelahiran Pulau Pinang itu kini menetap di Bali sejak September 2021.
Sumber: Harian Metro
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

