'Saya reda, mak banyak bantu...'Jual daging salai untuk biayai kos implan tempurung kepala, lelaki ini terharu Perdana Menteri sumbang RM15,000

No Image Caption
A
A
A

KEMALANGAN di Tanah Merah, Kedah Disemberi tahun lalu hampir meragut nyawa Muhammad Sufi Abdul Aziz.

Akibat daripada tragedi itu, tempurung di bahagian kanan kepalanya terpaksa dibuang.

"Motosikal yang saya tunggangi terbabas sendiri selepas melalui jalan berpasir.

"Dua bulan saya dalam koma dan menjalani pembedahan membuang tempurung kepala selepas mengalami pendarahan otak yang serius.

"Saya perlu menjalani pembedahan memasang implan pada 9 Mac ini disebabkan tempurung kepala semakin mengecut," katanya.

No Image Caption

Jika sebelum ini pesakit yang akan datang bertemu dengannya, namun kini beliau yang terpaksa mendapatkan rawatan fisioterapi.

Muhammad Sufi yang bekerja sebagai ahli fisioterapi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar turut memberitahu, beliau terpaksa menjalani rawatan psikiatrik selain mengalami angin ahmar sehingga mengakibatkan tangan kirinya sukar digerakkan.

Selepas berpisah dengan bekas isterinya, bapa kepada seorang cahaya mata perempuan berumur lima tahun itu berkata, beliau kini boleh berjalan cuma tidak kuat seperti dulu.

Pun demikian, Muhammad Sufi enggan mengalah dan terus berusaha mencari rezeki dengan menjual daging salai.

Selain menampung keperluan hidup, beliau juga lakukannya untuk mencari dana membeli implan tempurung kepala yang berharga RM15,000.

"Saya masih menerima gaji tapi separuh saja jadi tambah pendapatan dengan berniaga.

"Sebenarnya sebelum jadi begini lagi sudah berniaga kerana gemar memasak... kini teruskan dengan menjual daging salai berharga RM80 sekilogram dan yang berlauk pula RM20 untuk 150 gram.

"Agak terbatas juga sebab tangan kiri lumpuh dan saraf mata kiri pula rosak. Mana (pelanggan) yang duduk berdekatan saya boleh hantar dengan berjalan kaki.

"Mak banyak bantu dan dialah yang menjaga saya sepenuhnya selepas berpisah dengan bekas isteri. Kalau yang jauh emak bantu pandukan kereta untuk ke pejabat kurier bagi menghantar bungkusan kepada pelanggan," kongsinya lagi.

No Image Caption

Pandangan pelik masyarakat

Kisahnya bagaimanapun tular apabila video menjual daging salai mendapat perhatian Perdana Menteri.

Muhammad Sufi bagaimanapun terharu dan berterima kasih dengan sumbangan yang diberikan.

Sumbangan itu disampaikan oleh Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan (1CU) Kedah, Zaiton Yahya di rumahnya di Taman Jitra Indah.

No Image Caption

"Saya memerlukan RM15,000 untuk kos pembedahan memasang implan tempurung kepala dan ianya sudah cukup.

"Memang pembedahan ini ada risikonya tetapi saya berdoa supaya semuanya berjalan lancar," ujarnya lagi.

Dedah beliau, sejak tempurung kepalanya tinggal 'separuh', ramai rakannya menjauhkan diri daripadanya malah pandangan masyarakat pula nampak dia seakan-akan pelik.

"Namun saya reda dengan apa yang berlaku kerana semua ini ujian buat saya.

No Image Caption

"Saya pernah menjual daging salai secara langsung di Tik Tok tetapi tiada sambutan.

"Namun, sejak dua hari lalu, ramai yang menghubungi saya untuk membuat tempahan selepas kisah saya tular di media sosial," ujar lelaki berusia 36 tahun itu lagi.

Sumber : Harian Metro

Sumber gambar: Bernama

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang