‘Saya tidak nafi terhidu bau wangi’ - Wartawan kongsi pengalaman ketika proses penggalian kubur Zara Qairina
BUKAN semua tugasan bagi seseorang yang bergelar pengamal media itu meninggalkan kesan yang sama.
Ada liputan yang berlalu seperti biasa dan ada pula tersemat di hati serta kekal menjadi ingatan disebabkan pengalaman berbeza yang mengusik perasaan.
Bagi wartawan Sinar Harian, Asyikin Asmin, tugasan membuat liputan berhubung penggalian semula jenazah Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, agak berbeza kerana menyedari kewujudan bau wangi ketika kerja-kerja itu dilakukan.
Memetik laporan Sinar Harian, kejadian berlaku ketika dirinya bersama rakan media lain sedang memberi tumpuan terhadap jenazah pelajar tingkatan satu itu yang sedang dibawa keluar dari tanah perkuburan sebelum dimasukkan ke dalam kenderaan pihak berkuasa.

“Ia berlaku sekitar jam 7 malam…ketika itu kami standby menunggu jenazah keluar dari kubur dan dibawa masuk dalam kenderaan.
“Masa itu hujan sedikit lebat, saya tidak nafikan memang saya terhidu bau yang wangi.
“Cuma ketika itu saya fikir logik dan menyangka ia berpunca dari tumbuh-tumbuhan, memandangkan kawasan perkuburan itu terdapat tanaman bunga,” katanya dalam siaran langsung Sinar Harian bertajuk Mengenang Zara Qairina di platform TikTok pada Selasa.
Bagaimanapun, Asyikin berkata, dia hanya bersangka baik dan tidak menghiraukan perkara tersebut meskipun terhidu bau wangi berkenaan dalam masa yang singkat.

Dia juga percaya, beberapa kebun buah di sekitar tanah perkuburan itu turut mendorong kepada bau wangi berkenaan.
“Saya juga difahamkan penduduk kampung bahawa sekitar kawasan berkenaan juga terdapat kebun buah-buahan.
“Saya pernah sesat sebelum sampai ke tanah perkuburan tersebut dan saya mendapati memang banyak kebun buah-buahan milik penduduk” ujarnya.

Sekadar info, Zara Qairina ditemui pada kira-kira jam 3 pagi pada 16 Julai lalu dalam keadaan parah di bawah bangunan asrama sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1), Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun, pelajar tingkatan satu dari salah sebuah sekolah di Papar, Sabah itu meninggal dunia di hospital berkenaan keesokan harinya dengan laporan awal mengatakan dia terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah.
Dilaporkan, polis juga tidak menolak kemungkinan wujud unsur buli dalam kes terbabit.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
