Sayu! Anak sulung sebak siram pusara, 6 sekeluarga mangsa tragedi Sungai Korok dikebumi satu liang lahad, sebelah kubur anak kembar
SUASANA hiba menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit, apabila enam sekeluarga mangsa tragedi lemas di Sungai Korok, Jitra, dikebumikan dalam satu liang lahad 11.50 malam tadi.
Menerusi video tular, anak sulung kepada keluarga tersebut kelihatan sayu dan sebak menyiram pusara keluarga yang terkorban sambil dipimpin dua orang sanak saudara.
Terdahulu, enam jenazah, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat anak mereka iaitu Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar enam bulan tersebut dibawa dari Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar selepas selesai bedah siasat dan tiba di masjid berkenaan kira-kira jam 10.15 malam.

Sinar Harian solat jenazah telah diimamkan oleh Ahli Parlimen Jerlun, Dr Abd Ghani Ahmad dan kira-kira 500 jemaah hadir untuk solat jenazah sebelum mengiringi jenazah ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.
Enam jenazah disemadikan penuh hiba di sisi kubur kembar Tuah, Jebat Haydar, yang terlebih dahulu pergi meninggalkan dunia ini pada Februari lalu akibat komplikasi kesihatan.

Rupanya pernah tular berniaga roti canai
Dalam pada itu, tular video memaparkan pasangan suami isteri yang terkorban merupakan peniaga roti canai yang pernah berniaga di sebuah medan selera di Kedah.
Video berkenaan dimuat naik oleh pengguna akaun @farisha.ezara di platform Thread, memaparkan Allahyarham Mohamad Azim Izat Ishak dan isteri, Allahyarham Nurul Hidayah Khadijah.
Dikenali sebagai Nuruzem Roti Canai, bait kata-kata arwah meruntun hati ramai.

"Kami sudah lama berniaga dan berpindah-randah banyak tempat. Kami tidak hanya berniaga roti canai, ada juga tosai dan capati.
"Orang berniaga makan ini ada dua jenis. Satu, yang fokus nak kaya. Satu lagi, cuma hendak menyambung hidup.
"Kami yang kedua, janji dapat meneruskan kehidupan," katanya.
Perkongsian itu segera mencuri perhatian ramai, dihujani ratusan komen penuh rasa simpati dan sebak.
Rata-rata warganet meluahkan kesedihan mendalam, mengirimkan doa serta ucapan takziah buat keluarga mangsa, khususnya anak sulung yang kini menanggung kehilangan besar sebagai satu-satunya yang masih hidup, namun yatim piatu.
SinarPlus terdahulu berkongsi kisah pilu enam sekeluarga yang gagal dikesan sejak Sabtu selepas pulang dari rumah adik di Taman Aman, Jitra.
Kehilangan keluarga itu terungkai apabila orang awam melihat bumbung sebuah kereta yang kelihatan terapung di permukaan Sungai Korok pada pagi Isnin.
Ia membawa kepada penemuan enam sekeluarga tidak bernyawa di dalam sebuah kereta jenis Proton Iswara yang tenggelam di dasar sungai.
Sumber: Sinar Harian
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

