Sebaknya! Sempat sujud syukur, Faisal Halim tampil bertopeng kembali ke padang
PENAMPILAN sulung sayap Selangor FC, Faisal Halim pada perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Terengganu FC (TFC) menjadi perhatian ramai.
Kemunculan pemain berusia 26 tahun itu menerima tepukan dan sorakan ramai penonton sekali gus menggegarkan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam tadi.
Biarpun tidak tersenarai dalam kesebelasan utama, penampilan pemain sayap Harimau Malaya pertama itu di padang selepas menjadi mangsa insiden simbahan asid mengundang sebak ramai.
Faisal yang memakai topeng berona hitam pada muka dilihat melakukan sujud syukur sebelum melangkah masuk ke padang untuk sesi memanaskan badan.
Warga maya tidak dapat menyembunyikan perasaan pilu dan sebak menyaksikan kemunculan Faisal. Rata-rata meluahkan terharu dengan semangat ditunjukkan pemain itu.
Ujar mereka:
"Masya-ALLAH welcome back! Real hero."
"Comeback stronger, fly higher Faisal. Kami di belakangmu."
"Kuasa ALLAH. Mereka ingat simbah asid dia tak boleh main bola dan tiada semangat untuk hidup. Namun ALLAH kurniakan semangat yang tinggi, hati yang kuat dan tabah. Kepada pelaku tunggu hari pembalasan daripada ALLAH."
"Saya sebak tengok. Kuatnya semangat Faisal, ALLAH mahu kita tengok supaya kita ada semangat itu."
"Kepada pelaku, puaskah hati lihat Faisal begini? Ambil tahulah struggle dan susah payah orang cari duit."
Terdahulu, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden menimpa Faisal yang cedera dipercayai disimbah asid sulfurik pekat dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah dan dilaporkan mengalami kelecuran tahap dua di sebuah pusat beli-belah.
Dua suspek yang menaiki motosikal tersebut didakwa turut mengucapkan ‘good luck’ kepada Faisal sebelum menyimbah cecair kimia tersebut ke arahnya.
SinarPlus sebelum ini melaporkan bapa kepada seorang cahaya mata itu mengalami kecederaan teruk pada muka, pipi, hidung, mulut, badan hingga pergerakan dan percakapannya terbatas.
Serangan berkenaan menyebabkan Faisal terpaksa menjalani empat pembedahan untuk merawat luka lecurnya.
Anak kelahiran Mengkuang Titi, Seberang Perai, Pulau Pinang itu dibenarkan discaj daripada hospital pada 25 Mei lalu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon, Faisal menjalani proses rawatan fisioterapi untuk memulihkan pergerakan tangan kirinya yang melecur akibat simbahan asid.
Pemain nombor tujuh itu juga melakukan senaman menguatkan paru-paru untuk mendapat kecergasan semula.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang