‘Selamat hari jadi, babah’ – Anak buat kejutan di pasar sempena hari lahir ayah, gelagat peniaga sayur buat netizen sebak!
SETIAP orang pasti ada cara tersendiri untuk menyambut hari istimewa insan tersayang.
Selain meluangkan masa bersama, ada yang sanggup menghabiskan ribuan ringgit demi melihat orang yang disayangi tersenyum bahagia.
Demikianlah yang dilakukan oleh anak-anak seorang peniaga sayur dalam meraikan hari lahir ayah mereka.
Lebih manis lagi, kejutan istimewa itu diadakan di tempat si ayah bekerja dengan disaksikan oleh rakan-rakan dan orang ramai.
Momen yang berlaku di sebuah pasar di Seremban, Negeri Sembilan itu turut menyentuh hati ramai sehingga tular di media sosial.
Satu potongan video yang dimuat naik memperlihatkan si ayah yang tergamam dengan sambutan tersebut. Kehadiran peniaga lain yang bersorak bagi sama-sama meraikan sambutan itu menjadikan suasana lebih meriah dengan gelak tawa dan sorakan.
Gelagat mereka yang spontan turut mencuit hati ramai warganet yang menonton video berkenaan.
Dalam satu hantaran oleh RN Surprise Delivery, kelihatan seorang wanita melangkah masuk ke pasar. Di tangannya kelihatan sejambak bunga indah yang rupa-rupanya diperbuat daripada wang kertas RM10.
Usai mendapat 'kejutan' tersebut, lelaki itu dilihat tersenyum gembira dan terharu, sementelah membaca kad yang tertera ucapan “Selamat Hari Jadi, Babah”.
Reaksi tersebut membuatkan ramai tersenyum kerana ia mengingatkan kita kepada sifat kebapaan yang sering kali lebih suka menunjukkan kasih sayang melalui tindakan, bukan kata-kata.

MOMEN BERHARGA
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet membanjirinya dengan ucapan dan kata-kata positif. Ramai memuji usaha anak-anak yang mengambil inisiatif mengejutkan bapa mereka di tempat kerja.
Ada juga yang tersentuh melihat suasana pasar yang tiba-tiba menjadi ceria, penuh gelak tawa dan kasih sayang.
Bagi sesetengah orang, kejutan itu mungkin kelihatan biasa. Namun bagi si ayah dan mungkin juga semua yang menyaksikan, itu ialah momen yang cukup berharga dan boleh menjadi satu kenangan yang kekal dalam ingatan.
Sejambak wang itu bukan sekadar hadiah, tetapi lambang penghargaan dan cinta buat seorang ayah yang saban hari berusaha mencari rezeki.
Kadang-kadang, tidak perlu hadiah mewah atau majlis gilang-gemilang. Cukup sekadar kejutan yang ikhlas, disulam kasih sayang, sudah mampu menyentuh hati seorang ibu atau bapa.
Apatah lagi bila rakan-rakan di sekeliling turut berkongsi kegembiraan, ia menjadikan momen itu satu memori indah… yang akan dikenang seumur hidup.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
