‘Semangat terakhir sebelum pergi’ – Dua hari selepas raih Anugerah Mualaf, Dr Nur A’thiroh kembali ke rahmatullah
KEGEMBIRAAN warga Fakulti Pengajian Islam (FPI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meraikan kejayaan Dr Nur A`thiroh Masyaa`il Tan Ai Pao yang menerima Anugerah Mualaf 2025 bertukar pilu apabila beliau disahkan meninggal dunia, hanya dua hari selepas menerima pengiktirafan itu.
Berita pemergian pensyarah kanan itu dikongsikan oleh Dekan FPI UKM yang juga pendakwah terkenal Profesor Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim menerusi satu hantaran di Facebook, yang meluahkan rasa terkejut dan sedih atas kehilangan tersebut.
"Kematian itu pasti, masa untuk kita menanti. Baru dua hari lepas kami berbalas mesej atas kejayaan beliau mendapat Anugerah Mualaf 2025.Dua hari lalu, kami di FPI saling bergembira atas kejayaan Dr Nur A’thiroh.

Lebih menyentuh hati, Mohd Izhar mengakui tidak menyangka semangat yang ditunjukkan Dr Nur A’thiroh sejak awal tahun ini merupakan semangat terakhirnya di fakulti itu.
"Saya sebagai dekan sangat gembira kerana sempat kembalikan semangatnya yang luntur sebelum ini.
"Saya gembira dapat melihat segala kejayaan beliau mencari dana penyelidikan dan lain-lain sepanjang saya menjadi dekan.
"Saya tidak sangka, semangat Dr Nur A`thiroh yang saya lihat lapan bulan ini adalah semangat terakhir Dr untuk Fakulti Pengajian Islam UKM.
"Saya amat sedih kerana tak sempat realisasikan impiannya pada tahun 2027 sebagai Profesor Madya Dr Nur A`thiroh.
"Hari ini, kami bersedih atas pemergian seorang pensyarah yang baik dengan begitu pantas. Berehatlah, ALLAH hendak beri rehat di sana," titipnya.

Difahamkan, pendidik itu menghembuskan nafas terakhir pada 11.45 pagI Ahad selepas mengadu sakit perut pada Jumaat.
Hantaran Mohd Izhar menjadi tular dan menerima lebih 2,900 reaksi dan hampir 600 komen warganet yang rata-rata mendoakan kesejahteraan roh Allahyarham.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar turut menzahirkan takziah buat keluarga Allahyarham dan menyifatkan pemergian Dr Nur A`thiroh kehilangan besar dunia dakwah.
"Petang tadi saya hadir memberikan penghormatan terakhir buat Allahyarham Dr Nur A'thiroh Masyaa’il Tan Ai Pao.
"Allahyarham dikenang sebagai sosok pendakwah berjiwa besar dan berhati lembut, sentiasa membawa mesej kasih sayang dalam dakwah dan ilmunya.
"Moga ALLAH SWT melimpahkan rahmat dan maghfirah ke atas rohnya, serta menempatkannya di syurga-NYA yang abadi," titipnya.
Dr Nur A`thiroh Masyaa`il Tan Ai Pao merupakan anak jati Negeri Perlis dan mualaf berbangsa Cina yang bertugas sebagai Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Bidang kepakaran beliau ialah metodologi dakwah kepada Muslim dan bukan Muslim, dakwah pembangunan dan pemerkasaan mualaf dan pengurusan organisasi dakwah di Malaysia.
Allahyarham juga merupakan panel istitabah di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Selangor dan pemegang tauliah mengajar agama bagi Perlis, Selangor, Wilayah Persekutuan serta Sabah.
Dr Nur A`thiroh merupakan pengasas Pertubuhan Kebajikan Darul Azim (Darul Azim) dan Pertubuhan Kebajikan Nurra (NURRA) yang kini giat menjalankan dakwah di seluruh Malaysia.
Beliau yang turut dilantik sebagai kolumnis agama Utusan Malaysia pernah menerima pelbagai anugerah peringkat negeri, negara dan antarabangsa.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
