Suami curang walau dah ada segalanya, ini realiti wanita dikhianati dalam perkahwinan moden. Bila rasa tak pernah cukup…
ERA moden ini, kisah kecurangan dalam rumah tangga semakin menjadi norma yang menyedihkan.
Memetik laporan Bernama bertarikh 29 November 2023, kecurangan dikenal pasti sebagai antara punca utama penceraian dalam kalangan pasangan berusia antara 35 hingga 39 tahun di negara ini.
Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, kajian pihaknya mendapati 11.8 peratus penceraian berlaku akibat pasangan berlaku curang, menjadikannya penyumbang besar kepada keretakan rumah tangga bagi kelompok usia matang ini.
Walaupun tiada persefahaman menjadi punca tertinggi (56.2 peratus), isu kecurangan tetap perlu dipandang serius kerana ia menyentuh soal amanah, moral dan tanggungjawab dalam institusi perkahwinan.

Trend aduan di media sosial juga mencerminkan realiti hari ini. Manakan tidaknya, saban masa, penuh ada sahaja keluhan isteri yang setia dan berkorban demi rumah tangga, tetapi akhirnya dikhianati juga.
Bahkan, ada yang sanggup berhenti kerja demi memenuhi permintaan suami. Mereka memilih meletakkan cita-cita di belakang dan mengabdikan hidup demi keluarga. Namun, balasan yang diterima adalah sebuah kecurangan. Satu pengkhianatan yang merobek seluruh kepercayaan dan membunuh jiwa sang isteri.
Kata orang dulu, jalan ke hati suami adalah melalui perutnya. Tapi zaman sudah berubah. Isteri boleh jadi secantik bidadari, selembut Fatimah, sepetah Aisyah dan setekun Khadijah, tetapi semua itu tidak menjamin kebahagiaan.
Lalu timbul persoalan klise, di manakah silapnya? Kenapa suami masih tetap curang walaupun segalanya sudah cukup?
Sebab itu bukan semua kes curang berpunca daripada kekurangan isteri, tetapi ia hadir akibat kelemahan suami. Walau sudah memiliki pasangan yang sempurna dari segi rupa, akhlak dan kesetiaan, namun tetap juga mahu 'makan luar'.
Lebih menyedihkan, masyarakat masih meletakkan beban kesalahan kepada wanita. Frasa seperti 'isteri tak pandai jaga suami' sepatutnya dibuang jauh-jauh. Kecurangan bukan reaksi spontan, itu keputusan yang dibuat secara sedar.
Ada yang berdalih dengan alasan lelaki cuma ada satu nafsu. Tapi nafsu satu itulah syahwat, yang jika tidak dikawal mampu hancurkan keluarga. Ada pula yang sekadar mahu rasa muda semula, ‘test market’ atau memenuhi ego yang tidak pernah cukup.
Ya, memang Islam membenarkan lelaki berkahwin lebih daripada satu, namun itu bukan tiket untuk menipu pasangan atau bermain kayu tiga.
Ramai wanita dicurangi memilih untuk terus bertahan. Bukan kerana cinta, tetapi kerana takut akan stigma masyarakat, enggan hilang anak atau bimbang dengan masa depan.
Namun kesetiaan bukan lesen untuk terus disakiti. Undang-undang syariah memberi ruang kepada wanita untuk menuntut keadilan jika terbukti dikhianati, termasuk cerai, hak jagaan anak dan nafkah. Namun proses itu bukan mudah. Kerana itu, ramai memilih untuk diam dan memendam derita.
Pakar kaunseling menyarankan komunikasi dan terapi sebagai jalan keluar. Tetapi apabila kepercayaan sudah musnah, sukar untuk menjahit semula luka yang dalam.
Anak-anak pula sering menjadi mangsa. Walaupun mereka tidak faham apa yang berlaku, jiwa mereka menyerap setiap tangisan dan ketegangan yang berlaku dalam rumah.
Sebab itu, pasangan suami isteri yang sedang diuji, kena bijak menilai, bukan sekadar demi diri sendiri. Sebaliknya, masa depan anak-anak yang sedang membesar.
Pun demikian, wanita juga perlu sedar bahawa kesetiaan bukan kelemahan. Memilih untuk meninggalkan perkahwinan yang menyakitkan bukanlah kegagalan, tetapi satu bentuk kekuatan.

Pada masa sama, tidak perlu membuka aib pasangan di media sosial untuk meraih simpati. Seperti kata seorang ibu yang bangkit selepas dikhianati: “Tiada istilah meroyan. Saya undur diri secara bermaruah.”
Biarpun terpaksa bermula dari bawah, itulah wanita hebat, yang tahu bila perlu bertahan dan melepaskan demi sebuah harga diri.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
