Tular ikat kasut sekolah guna getah, kisah dua murid Tumpat bikin ramai sebak, tindakan pantas PIBG dipuji!

No Image Caption
A
A
A

SEPASANG kasut sekolah mungkin perkara biasa bagi segelintir kanak-kanak. 

Namun bagi dua murid Sekolah Kebangsaan Seri Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan, kasut yang diikat dengan getah menjadi simbol sebuah realiti hidup yang menyentuh hati. 

Tanpa disangka, kisah ringkas itu tular di media sosial dan membuka ruang kepada gelombang keprihatinan daripada masyarakat sekeliling.

Apatah lagi kisah tersebut dimuat naik menerusi satu hantaran di TikTok @majlistindakanrakyat. 

Rakaman tersebut memaparkan keadaan kasut sekolah mereka yang terpaksa diikat menggunakan getah, sekali gus mengundang simpati dan rasa tersentuh dalam kalangan wargamaya.

Prihatin dengan situasi itu, pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Seri Wakaf Bharu tampil mengambil inisiatif dengan menghadiahkan sepasang kasut sekolah baharu kepada kedua-dua murid terbabit. 

Tindakan pantas tersebut disambut baik ramai dan dianggap sebagai contoh kepekaan komuniti sekolah terhadap kebajikan murid.

Yang Dipertua PIBG SK Seri Wakaf Bharu merangkap Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) memaklumkan bahawa bantuan tersebut disalurkan sebaik kisah itu tular di media sosial.

No Image Caption

“Alhamdulillah, daripada kisah sepasang kasut yang diikat dengan getah, kami daripada MTRK berkesempatan menghadiahkan kasut baharu kepada dua orang murid di SK Seri Wakaf Bharu, Tumpat.

“Terima kasih tidak terhingga kepada Presiden MTRK merangkap YDP PIBG SK Seri Wakaf Bharu kerana sentiasa cakna dan bertindak pantas agar mereka ini dapat merasa memakai kasut baharu di awal persekolahan,” tulisnya menerusi hantaran berkenaan.

Dalam perkongsian sama, Guru Besar sekolah tersebut turut merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas keprihatinan dan sokongan yang diberikan. 

Menurut beliau, bantuan sebegini bukan sahaja meringankan beban keluarga murid, malah memberi suntikan semangat kepada pelajar untuk hadir ke sekolah dengan lebih yakin.

Wajar dicontohi

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata wargamaya meluahkan rasa sebak dan terharu melihat keikhlasan bantuan yang dihulurkan. 

Ramai memuji tindakan pantas PIBG dan MTRK yang disifatkan sebagai wajar dicontohi, selain berharap lebih banyak pihak tampil membantu golongan kurang berkemampuan.

No Image Caption

Tidak kurang juga netizen yang meninggalkan komen bernada positif dan santai, termasuk memuji rupa paras salah seorang kanak-kanak tersebut, sekali gus menceriakan suasana perbincangan.

"Comel mcm mix mat salleh." 

"Muka Adik tu tak macam anak orang susah. Handsome sungguh." 

"Masha-ALLAH comelnya adik berdua ni. Boleh jadi model baju raya 2026... Good luck dan all the best untuk adik berdua di dunia & akhirat.. Semoga sentiasa dikurniakan rezeki yg melimpah ruah aamiin.!" 

"Hensem adik ni...pengetua yang baik dan cakna."

Apa pun, perkongsian berkenaan membuktikan, sikap keprihatinan kecil mampu memberi makna besar. 

Dengan sokongan masyarakat dan sikap saling mengambil berat, kebajikan murid sekolah dapat terus terpelihara, sekali gus membentuk persekitaran pembelajaran yang lebih inklusif dan penuh empati.

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang