Tular lebih 200,000 view, isteri pertama tabah siapkan suami bernikah lagi, pengakuannya bikin sebak. 'Demi anak, saya kena kuat’
MELIHAT suami tercinta bersama wanita lain bukanlah sesuatu yang mudah. Apatah lagi apabila diri sendiri yang perlu menyiapkan lelaki itu untuk bernikah.
Namun itulah realiti yang dihadapi Ummu Syarha. Menerusi sebuah video tular yang meraih lebih 200,000 tontonan, apabila dia mengakui perasaannya bercampur-baur saat membantu suaminya berkahwin lagi dua tahun lalu.
"Alhamdulillah ala kulli hal. Hampir dua tahun menjalaninya dan baru hari ini ada kekuatan utk berkongsi sedikit.
"Poligami. Ya,poligami. Begitulah takdir yang ALLAH hadiahkan buat diriku yang terlalu mencintai dan meletak suami sebagai sandaran atas segala hal.
Sakit? Ya, sakit. Teramat sakit. Seakan ‘mati’ kurasa dan dunia ini ‘berhenti’ seketika. Tidak berpijak dibumi yang nyata.
"Apa sahaja yang tidak kurasakan dan lalui? Tapi begitulah ujian kehidupan. Tugas kita menjalani takdir-NYA," titipnya.
Ummu Syarha menerusi temu ramah bersama stesen radio HotFM mendedahkan hanya berkongsi berkenaan selepas berdamai dengan suratan kehidupan dan melalui fasa sebagai isteri pertama.

"Sebelum saya publish video tu, sebelum saya cuba untuk berdamai dengan keadaan, saya membuka ruang dan peluang kepada diri bahawa saya tidak boleh berlama-lama dalam keadaan ini," kongsinya.
Ibu kepada empat cahaya mata itu mengakui terbuka hati untuk menerima kehadiran isteri kedua. Biarpun masih terluka,dia cuba untuk menerima keadaan, berdamai dengan perasaan sendiri dan memberi peluang kepada diri untuk sembuh demi diri sendiri dan demi anak-anak.
"Apa yang membuatkan terfikir untuk berjumpa setelah setahun lebih? Satu, sebab saya tetapkan minda bahawa yang saya memberi peluang kepada diri dan mahu belajar.
"Mahu belajar menerima, melepaskan dan saya cuba berdamai dalam keadaan walaupun sakit.
"Tetapi tidak bermakna sekarang ini saya sudah mampu bercakap di depan, mampu berdepan dengan orang ramai, saya tidak sakit.
"Saya masih rasa lagi sakit tu, cumanya saya mahu belajar. Saya membuka ruang dan peluang untuk diri saya belajar untuk menjadi versi yang lebih baik lagi, satu. Dan kedua, tentunya kerana anak-anak," katanya.

Artikel berkaitan:
- 'Bertambah bilangan bidadari syurga saya.' Lelaki kahwin kali ketiga, isteri pertama, kedua teruja buat persiapan terima madu
- 'Tak seindah disangka', Shikin Maembong kongsi cerita hidup jadi isteri kedua
- Isteri pertama teruja madu bersalin tarikh sama dengan birthday suami, ketabahan jadi perhatian warganet. 'Masya-ALLAH bidadari syurga terlihat di dunia'
- Minta izin sendiri isteri pertama, Zarina Zainuddin dedah adab kahwin suami orang
Wanita itu menjelaskan bahawa anaknya, Syarha, kerap bertanya tentang keadaan dirinya sama ada dia benar-benar baik-baik sahaja dan sama ada berlaku perselisihan dengan suami.
Pertanyaan kecil itu membuatkan hati Ummu Syarha tersentuh, sekali gus menyedarkannya bahawa dia harus tetap tabah demi kesejahteraan cahaya mata.
"Saya selalu berasa tersentuh dengan anak saya, Syarha, kerana dia sering bertanya, “Umi, Umi okeykah? Umi dengan ayah bergaduhkah?”
"Soalan itu ditanya hampir setiap masa, setiap malam. Hal itu membuatkan saya sedar bahawa demi anak, saya perlu kuat. Saya perlu memastikan dalam fikirannya bahawa Umi sentiasa okey.
"Untuk memastikan anak saya berfikiran begitu, saya perlu menunjukkan bahawa saya benar-benar okey di hadapannya. Sebab itulah kekuatan saya datang daripada dua perkara: pertama, kerana saya mahu memberi peluang, dan kedua, demi anak saya, terutama Syarha.
"Atas sebab itu, saya membuat keputusan untuk berdepan dengan madu saya sekitar empat atau lima bulan yang lalu.
"Saya berjumpa dengannya walaupun pada waktu itu saya sebenarnya berasa sangat sakit. Namun saya tetap beranikan diri.
"Ada satu soalan yang saya tanyakan kepadanya “Bagaimana pendirian awak? Awak mahu berbaik dengan saya atau sebaliknya?” Dia menjawab bahawa dia mahu, cuma dia tidak tahu caranya.

"Dalam tempoh hampir dua tahun sebelum itu, mungkin dia cuba memberi saya ruang kerana dia juga melihat keadaan saya yang sering mengalami tekanan emosi.
"Dia memberi saya peluang. Saya mula mendekatinya dan apabila dia menyatakan bahawa dia memang mahu berbaik, saya menetapkan niat kedua iaitu untuk benar-benar berjumpa dan berdamai.
"Sejak saat itu, kami mula membina hubungan yang lebih baik. Pada mulanya memang sangat menyakitkan dan kadang-kadang hingga sekarang pun masih terasa. Namun Alhamdulillah, saya sudah mampu berdepan dengan keadaan itu," jelasnya.
Dalam pada itu, episod poligami mengubah sudut pandangnya tentang kehidupan. Wanita itu mengakui ujian besar tersebut menyedarkan bahawa semua perkara di dunia ini hanya sementara dan kerana itu dia belajar untuk lebih sederhana.
"Kalau dulu saya memandang semua keadaan dan segala apa yang ALLAH berikan sebagai milik saya. Tetapi Alhamdulillah, selepas DIA menguji, barulah saya melihat bahawa semua itu hanyalah sementara. Jadi, saya belajar untuk bersederhana.
"Perasaan saya yang dahulunya berada pada tahap maksimum kini menjadi lebih sederhana dalam setiap perkara. Benarlah kata orang, apabila kita menyayangi seseorang, kita perlu bersederhana. Mencintai seseorang pun perlu bersederhana.
"Apatah lagi dalam membenci seseorang, kita juga perlu bersederhana kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan.
"Selepas melalui ujian ini, saya berasa jauh lebih lapang. Ya, kesakitan itu tetap ada dan tidak dapat dinafikan. Namun wujud satu rasa yang sukar digambarkan iaitu lapang dalam cara berfikir mahupun dalam tindakan," tuturnya.
Warga maya memberikan sokongan buatnya dan mendoakan Ummu Syarha sentiasa tabah.
Tidak kurang yang bersimpati dan mengagumi keterbukaannya menerima orang ketiga dalam hidup berumah tangga.
Sumber: Instagram HotFM, TikTok Ummu Syarha
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
