'Sibuk tadbir negeri, tidak pernah tinggal tugas sebagai anak.' Catatan pegawai khas MB Kedah buat ramai menitiskan air mata

No Image Caption
A
A
A

BERITA pemergian ibu kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menghembuskan nafas terakhir semalam menjadi perhatian ramai.

Allahyarham Meriam Ahmad, 82, meninggal dunia sekitar jam 9.40 pagi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB). Terdahulu, arwah menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSB dan ditidurkan sejak Isnin dipercayai mengalami serangan jantung.

Muhammad Sanusi dalam catatannya di Facebook sempat berkongsi foto dan luahan usai pemergian ibu tercinta.

"Selamat jalan ke negeri abadi bonda tercintaku. Kita akan bersama di syurga Firdaus nanti," titipnya.

Artikel Berkaitan:

Setiausaha politiknya, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden sempat berkongsi tentang Muhammad Sanusi dan ibunya.

No Image Caption

Walaupun menggalas tugas mentadbir sebuah negeri dan memegang tampuk hirarki tertinggi kerajaan Kedah, figura berusia 50 tahun itu tidak pernah pernah meninggalkan tugasnya sebagai seorang anak. Bahkan, beliau sangat mementingkan kedua orang tua melebihi segalanya.

Berikut catatan yang tular di laman sosial TikTok:

"Cium tangan ibu. Itulah perkara paling awal yang dibuat oleh Sanusi selepas selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah ke-15, pada 17 Mei 2020.

"Usai majlis angkat sumpah di Wisma Darul Aman, kenderaan rasmi MB terus bergerak menuju ke Kompleks PAS Kedah. Di situ, ratusan orang sedang menanti kehadirannya.

"Dalam ratusan orang yang menanti itu, ada dua orang manusia yang paling istimewa sedang menunggu iaitu bonda dan ayahanda kepada DS Sanusi.

"Sekitar jam 5.20 petang, kenderaan rasmi yang membawanya tiba di Kompleks PAS Kedah. Sejurus beliau keluar dari kereta, beliau terus segera menuju kepada dua insan penting yang sudah siap menunggu di atas kerusi, di ruang lobi Kompleks PAS Kedah.

No Image Caption

"Beliau duduk tunduk mengucup tangan bondanya. Itulah tugas awal yang dilaksanakan oleh seorang Menteri Besar, mencium tangan ibu, memohon restu dan doa. Doa seorang ibu kepada seorang anak yang telah diangkat ALLAH untuk mengetuai pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah," katanya.

Tidak hanya itu, Sanusi juga dikatakan mendahulukan nama kedua ibu bapanya dalam teks ucapan menggambarkan betapa istimewa dan hormatnya beliau kepada insan keramatnya itu.

"Dalam satu babak yang lain, majlis solat hajat dan solidariti untuknya di Dewan Al-Hang, Sik yang diadakan sejurus setelah beliau ditangkap serta didakwa di mahkamah, ketika musim kempen Pilihan Raya Umum Negeri ke-15 yang lalu.

"Ribuan manusia hadir pada malam itu untuk menunjukkan sokongan termasuklah bondanya. Di dalam ucapan, kebiasaannya nama yang akan disebut di dalam senarai salutasi majlis ialah nama pimpinan atau kenamaan yang paling kanan yang hadir di dalam majlis berkenaan.

"Tetapi pada malam itu Sanusi sebut nama ibunya terlebih dahulu, selepas memberikan salam. Selepas nama ibu, barulah nama pimpinan PAS paling kanan yang hadir pada malam itu, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man disebut.

"Ia satu perkara yang jarang dilihat berlaku di dalam mana-mana majlis rasmi peringkat parti yang seumpama itu, namun ia dilakukan beliau. Ibunya adalah manusia paling tinggi yang hadir di dalam majlis malam itu," kongsi Ustaz Afnan.

No Image Caption

Malah, pemimpin itu juga pernah tiba-tiba hilang seketika demi melangsaikan tugas kepada ibunya.

"Pernah satu ketika, Sanusi 'hilang' dari kediaman rasminya di Seri Mentaloon. Kakitangan di kediaman rasmi tidak tahu di mana beliau berada. Kenderaan rasmi ada namun kenderaan peribadinya tiada.

"Waktu itu sekitar jam 11 malam. Saya hubungi DS Sanusi bertanya lokasinya. Setelah dikesan, rupa-rupanya DS Sanusi berada di hospital Kedah Medical Centre (KMC), menguruskan ibunya untuk masuk dalam wad, kerana mengalami sakit dalam perut.

"Rupa-rupanya sudah hampir satu hari suntuk ibunya menahan sakit. Maka ibunya dibawa dari Sungai Pau, Sik, ke Alor Setar untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut di hospital.

"Padanlah hari berkenaan wajahnya tidak begitu ceria. Di dalam kepala ada perkara penting yang merungsingkan fikiran, kesihatan ibunya.

"Sekitar jam 1 pagi, hanya selepasselesai ibunya dimasukkan dalam wad dan diberi rawatan awal, barulah Sanusi beredar balik ke rumah.

"ltulah Sanusi. Walaupun amat sibuk dengan tugasan harian mentadbir Negeri, namun beliau tidak pernah meninggalkan tugas utama sebagai seorang anak," kongsinya lagi.

Malah, Ustaz Afnan turut berkongsi momen terakhir Meriam yang sempat diraikan Sanusi dan menyampaikan hajat si ibu menjamah durian.

"Hari Isnin 12 Ogos 2024, ibunya teringin nak makan durian Batu Kurau. Walaupunsebenarnya tak berapa sihat dan tak berapa boleh makan durian, namun oleh kerana hajat seorang ibu, maka abang Sanusi pergi ke Batu Kurau Perak mencari buah durian yang diidamkan.

No Image Caption

"Selepas Asar hari Isnin, dipanggil saudara mara anak beranak balik berkumpul di kampung, balik makan durian.

"Diceritakan, ibu beliau tidak makan pun tetapi seronok melihat anak cucu menantu semua balik berkumpul. Rupa-rupanya, itulah majlis berkumpul yang terakhir untuk mereka.

"Selepas solat Maghrib hari yang sama, bonda rebah di pintu bilik namun sempat dipapah oleh salah seorang ahli keluarga yang ada.

"Ketika itu, bonda masih sedar, tapi dilihat seperti sangat letih namun masih menggagahkan dirinya untuk bercakap menjawab soalan anak yang memangku.

"Ambulans dipanggil dan dibawa ke Hospital Sik. Setelah diperiksa oleh Pegawai Perubatan bertugas, keputusan dibuat untuk menghantar bonda ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk mendapatkan rawatan lanjut. Bonda disahkan mengalami serangan strok. Sebelum dibawa ambulans, bonda ditidurkan terlebih dahulu.

"Tiba di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, terus dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Segala alat dan mesin sokongan dipasangkan. Ubat yang sesuai diberikan segera.

"Hari Selasa 13 Ogos 2024, keadaan kesihatan bonda Sanusi semakin merosot. Hampir semua ahli keluarga berkumpul di hospital, membacakan surah Yasin dan mendoakan. Ketika ini, Sanusi beritahu bacaan nadi bondanya sudah semakin lemah dan menurun dan bergantung sepenuhnya kepada mesin sokongan pernafasan.

"Hari Rabu, 14 Ogos 2024, semua peringkat parti mengadakan solat hajat kepada bonda DS Sanusi. Lewat petang hari Rabu, dimaklumkan bahawa segala ubat yang diberikan kepada bonda telah dihentikan. Ahli keluarga telah bersedia berhadapan dengan sebarang kemungkinan.

No Image Caption

"Hari Khamis, 15 Ogos 2024, jam 9.40 pagi, bonda Sanusi telah pergi meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya. Begitulah sedikit coretan yang sempat diingat mengenai Sanusi dan ibunya.

"Ibunya menjadi orang paling penting dalam hidup kini telah kembali menghadap ALLAH buat selama-lamanya. Semoga Sanusi sekeluarga bertabah atas pemergian ini. Seluruh Kedah dan rakyat Malaysia berduka atas kehilangan ini," katanya.

Catatan itu tular di laman sosial TikTok dan menerima lebih 68,000 tontonan dan lebih 200 tanda suka. Warganet rata-rata menzahirkan rasa pilu dan tersentuh hati.

Ujar mereka"

"Perginya ibu, hilanglah satu pintu doa yg mustajab iaitu doa seorang ibu. Perginya syurga kita dari dunia ini dan adalah kehilangan yang sangat besar."

"Menangis saya bila baca novel MB.Betapa cekal hati seorang ibu membesar kan anak yang ramai."

"Orang lelaki kekuatannya adalah emak, syurganya di situ. Hebat macam mna pun kita, emak juga yang kita cari apabila ada masalah."

"Pergi seorang ibu ibarat hilang separuh nyawa."

Jenazah ibu Menteri Besar Kedah, Allahyarhamah Meriam Ahmad selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pau, di sini pada 5.45 petang, Khamis.

SinarPlus terdahulu berkongsi pengorbanan ibu bapa Sanusi bersusah payah membesarkan 13 cahaya mata sehingga berjaya dalam serba kekurangan.

Semoga catatan ini menjadi inspirasi untuk memuliakan ibu bapa dan menjadi ikutan serta teladan.

Sumber: TikTok

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang