'Ulang kali kata dah nak pi...' Ibu pilu Mustaqqeem seolah tahu ajal dekat, kecewa anak ditinggal pendaki lain, mahu tuntut keadilan
PILUNYA kisah pendaki Allahyarham Mustaqqeem Mansor yang ditemukan maut di puncak Gunung Liang, Perak. Dua hari dilaporkan hilang kemudian ditemukan tidak bernyawa.
Ibunya, Rohani Saad, 65, menjelaskan mereka sekeluarga mereka reda dengan pemergian Mustaqqeem, namun berasa curiga dan tidak berpuas hati dengan kejadian yang menimpa anak sulungnya itu.
"Mak cik dimaklumkan, rakan-rakan yang mendaki bersama Mustaqqeem beritahu mereka cari lebih enam jam tapi tak jumpa.
"Bila pihak bomba naik cari, dalam tiga jam terus jumpa Allahyarham di puncak gunung itu dan katanya dia (Mustaqqeem) memang ada di situ (puncak) sahaja.

"Kami bukan (pertikai) pasal anak mati, anak mati kami reda dan ini ketentuan-NYA (ALLAH), yang kami tak puas hati pasal apa hampa (mereka) tinggalkan dia (atas gunung) dan langsung tidak buat laporan polis atau maklumkan kepada bomba,” katanya
Jenazah Allahyarham Mustaqqeem selamat dikebumikan di tanah perkuburan itu selepas solat Subuh dengan dihadiri lebih 200 orang terdiri daripada ahli keluarga, rakan-rakan dan penduduk kampung.
Rohani berkata, menantunya yang juga isteri Allahyarham, Nur Faratin Mohd Othman membuat laporan polis kehilangan Mustaqqeem di balai polis di Sungai Petani sebelum terus ke Perak bagi mengetahui keadaan arwah.
Jelas Rohani, Nur Faratin mengetahui mengenai kehilangan Mustaqqeem melalui rakan-rakan Allahyarham sebelum beliau memaklumkan kepada ahli keluarga yang lain dan membuat laporan polis.
"Allahyarham baru dikebumikan dan kami ahli keluarga akan berbincang selepas ini, antaranya mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat dalam kejadian itu,” katanya.

Dalam nada sayu, ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata kali terakhir berjumpa dengan Mustaqqeem atau mesra disapa Qeem sehari sebelum anaknya mengikuti aktiviti mendaki itu.
"Dia datang di rumah, dia panggil mak, mak, mak dan mak cik kat dapur sebelum buka pintu dan nampak dia... dia kata saya datang nak tengok mak sahaja sebelum peluk-peluk mak cik sambil beritahu nak pergi naik gunung.
"Mak cik kata hati-hati lah naik gunung dan mak cik tunjuk telefon mak cik rosak, Qeem kata kalau Qeem balik nanti Qeem tengok. Sebelum balik arwah berulang kali beritahu dia dah nak pi ni, ya ALLAH rupanya Qeem nak bagitahu dia nak ‘pergi’ (meninggal dunia),” katanya, yang beberapa kali menahan sebak dan menangis.
Aktif mendaki sejak awal tahun

Adik Allahyarham, Muzammeer, 33, berkata, abangnya yang bekerja sebagai eksekutif teknologi maklumat aktif dalam sukan dan mula menjalankan aktiviti mendaki sejak awal tahun ini.
Beliau berkata, Allahyarham telah mendaki sekurang-kurangnya lima gunung di Malaysia sebagai persiapan untuk ‘menawan’ Kem Pangkalan Annapurna (ABC), Nepal yang berketinggian 4,130 meter dari aras laut.
Mustaqqeem ditemukan meninggal dunia pada 3.30 petang Khamis di puncak Gunung Liang selepas memulakan pendakian bersama 10 rakan-rakannya pada 10 Oktober dari Bukit Fraser, Pahang dan kali terakhir dilihat pada 14 Oktober.
Jenazah mangsa dibawa keluar dari puncak gunung berketinggian 1,933 meter menggunakan helikopter AW189 oleh Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) pada 2.45 petang semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Muallim, Deputi SuperintendenSuhaimi Muhamad dilaporkan berkata, hasil bedah siasat oleh pakar patologi forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh mendapati punca kematian disebabkan hipotermia (kesejukan melampau).
Sumber: Bernama
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
