Wanita luah rasa rindu, ajar anak berdikari di asrama seawal usia 9 tahun.'Mommy datang nak bawa Faliq balik...'

BERAT rindu seorang ibu. Itulah yang dirasai oleh seorang ibu apabila terpaksa menghantar anak lelakinya ke asrama pada usianya yang masih kecil demi masa depan.
Jika tidak tinggal di asrama, perjalanan dari rumah ke sekolah memerlukan mereka menaiki bot. Justeru si ibu membuat keputusan menghantar anaknya tinggal di asrama.
Menerusi satu hantaran yang dikongsi, ibu kepada Faliq, memuat naik suasana bilik asrama anaknya pada hari pertama persekolahan.
Dalam hantaran itu, wanita yang dikenali sebagai Dian Diyana meminta maaf kepada anaknya kerana menghantarnya ke asrama pada usia sembilan tahun.
Katanya lagi, anak lelakinya mungkin agak sukar untuk mengadaptasi suasana sekolah asrama pada minggu pertama.
Bagaimanapun, dia tetap memberikan kata-kata semangat dan mendoakan anaknya itu.
"Mommy minta maaf terpaksa hantar Faliq tinggal di asrama. Mommy rindu Faliq separuh nyawa. Mungkin Faliq agak sukar untuk adaptasi pada minggu pertama, tapi tidak mengapa sayang. Ramai doakan Faliq. Tolong doakan sekali Mommy, masih menangis di bucu katil setiap malam,” katanya.
Menurut si ibu, mereka sekeluarga akan menjemput anak kecil itu pulang ke rumah setiap hujung minggu.
Dalam video berdurasi 40 saat yang dikongsikan, Faliq yang segak berpakaian seperti pengawas dilihat mengelap air mata saat melihat keluarganya datang menjemputnya pulang.
"Lepas lima hari, Mommy datang nak bawa Faliq balik untuk hujung minggu," tulisnya.
Perkongsian yang disertakan dengan tanda pagar #AnakPulau mengundang pelbagai reaksi daripada netizen.
Ada yang meluahkan rasa simpati, malah ada juga yang mempertikaikan keputusan menghantar anak sekecil itu ke asrama.
Namun, ramai yang memahami situasi keluarga ini, lebih-lebih lagi mereka menetap di Pulau Tioman di mana akses ke sekolah lebih mencabar.
Semoga yang baik-baik untuk Faliq. Belajar dengan tekun ya sayang.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang