Wanita nyaris maut dihempap balak sembuh biarpun organ dalaman hampir rosak. 'Rasa mati hidup semula, trauma lihat lori balak'
WANITA mangsa dihempap balak terjatuh dari sebuah lori di Gua Musang, Kelantan pada 9 Julai lalu kini beransur sihat. Siapa sangka Siti Norelyana Kamarulzaman, 21, kini mampu menjalani kehidupan seperti biasa walaupun beberapa organ dalamannya seperti hati, paru-paru, buah pinggang hampir rosak di samping patah pada lima tulang rusuk dan tulang belakang.
Beberapa kali ditidurkan dan menerima rawatan selama hampir sebulan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Siti Norelyana dibenarkan pulang.
"Saya rasa bagaikan mati, hidup semula. Bayangkan pada hari kejadian sehingga 7 Ogos lalu saya keluar dari HRPZII ramai yang menyangka sudah meninggal dunia.
"Alhamdulillah, berkat doa ahli keluarga, semua rakyat Malaysia serta tunang, ALLAH masih memberi peluang kepada saya untuk menikmati kehidupan," katanya.
Mengimbas kembali kemalangan ngeri itu, Siti Norelyana berkata, beliau dalam perjalanan ke tempat kerja dan berhenti di lampu isyarat sebelum terdengar bunyi yang sangat kuat.
'KENA KUAT, KENA BANGUN BERJALAN SEMULA' - NORELYANA
Menurutnya, beliau sempat melihat bagaimana kayu balak bergolek menerpa ke arahnya sehinggalah merasa kesakitan yang amat sangat namun masih sedarkan diri.
Malah, anak keenam daripada tujuh beradik itu mampu mendengar setiap bicara yang dituturkan orang sekelliling ketika mendapatkan rawatan.
"Saya sedar apa yang berlaku walaupun tidak respond kepada orang sekeliling. Saya hanya mampu menahan sakit dan mendengar orang sekeliling bercakap sehinggalah dibawa ke hospital.
"Sepanjang menerima rawatan juga saya sedar apa yang dibualkan ahli keluarga, doktor dan jururawat tetapi hanya mampu memberi tindak balas dengan menggerakkan anggota badan.
"Setiap hari saya bercakap dengan diri sendiri, kena kuat, jangan lemah semangat, kena bangun berjalan semula," katanya.
Siti Norelyana memberitahu, sehingga ke hari ini dirinya masih tidak percaya dapat berjalan dan pulang ke rumah serta menjalani kehidupan bersama ahli keluarga seperti sebelumnya.
Beliau sangat bersyukur malah berterima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu sepanjang menerima rawatan di HRPZII.
TUNANG SETIA MENUNGGU
Siti Norelyana sempat berkongsi tunangnya, Nik Amnan Arif Nik Anuwar, 22, sanggup menunggu di hospital setiap hari walaupun ketika beliau ditidurkan.
Sepatutnya disatukan pada Disember ini, namun keadaan kesihatannya itu menyebabkan hari bahagia mereka terpaksa ditangguhkan ke tahun hadapan.
"Sehingga kini saya masih berada dalam keadaan trauma, terutama bila melihat lori balak, mendengar bunyi yang kuat dan masih bermimpi tentang kejadian tersebut," katanya.
"Disebabkan itulah saya terpaksa tinggal di rumah kakak di sini (Paloh 3) kerana rumah ibu di Simpang Aring, Ciku 4 terletak di tepi jalan raya," katanya.
IBU SYUKUR UMUR ANAK MASIH PANJANG
Setiap hari hanya perkataan 'kritikal' yang keluar daripada doktor semasa wanita itu menerima rawatan, si ibu, Miskalsom Domea, 59, mengakui hanya doa diititpkan. Lebih-lebih lagi ramai yang menyangka umur Siti Norelyana tidak panjang.
Miskalsom bersyukur sehingga sukar untuk digambarkan keajaiban yang ALLAH berikan kepada anak perempuannya itu.
"Alhamdulillah, beliau sembuh dan boleh meneruskan kehidupan walaupun dalam keadaan trauma," ujarnya.
Miskalsom bercerita momen paling tidak dapat dilupakan ialah ketika Siti Norelyana terpaksa menerima lima pek darah dalam tempoh sejam dan ditidurkan.
Katanya, fokus mereka sekeluarga kini adalah meneruskan rawatan Siti Norelyana di HRPZII sebanyak dua kali sebulan dan sama-sama berusaha menghilangkan trauma mereka sekeluarga.
Terdahulu, SinarPlus melaporkan Siti Norelyana dihempap balak ditidurkan beberapa kali sepanjang rawatan. Tidak hanya itu, ibunya juga pengsan dua kali selepas menerima perkhabaran itu.
Siasatan polis mendapati kemalangan melibatkan lori balak yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 58 tahun dipercayai dari arah Bandar menuju ke Kuala Lipis, Pahang.
Bahagian 'turn table' lori berkenaan patah dikatakan sebagai punca muatan balak terbalik. Selain motosikal ditunggang Siti Norelyana, sebuah kereta jenis Toyota Vios yang berada di laluan bertentangan dan sedang berhenti kerana lampu isyarat merah turut dihempap.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan.
Sumber: Sinar Harian (Hazelen Liana Kamarudin)
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang