NAMANYA agak pelik. Namun begitu, tatkala juadah tradisional ini singgah di dalam mulut, bagaikan ‘meletup’ isi gula melaka sekali gus rasa keenakannya tersebar.

Pedulikan nama panggilan buat juadah ini. Apa yang penting, sekali makan, pasti mahu lagi.

Ya, kuih gelopong buah naga barangkali agak asing daripada menu orang kita. Bagaimanapun, bagi masyarakat Kampar yang menetap di Sungai Besar, Selangor, resipi tradisional tersebut sangat popular dalam kalangan mereka.

Bentuknya bulat-bulat persis onde-onde atau buah melaka dek kerana digaul dengan isi kelapa parut. Cuma yang membezakannya hanyalah warna aslinya daripada buah naga.

Cara membuatnya juga mudah. Dengan hanya menggunakan bancuhan tepung pulut dan sedikit gandum, kedua-dua bahan itu kemudiannya dicampur dengan air buah naga asli yang dikisar halus.

GELOPONG
BAHAN mudah yang diperlukan untuk membuat kuih gelopong buah naga.

Itulah yang menjadikan hidangan kuih gelopong buah naga cukup unik. Tambahan pula warna merah yang diadun, auranya seakan-akan membangkitkan ghairah mereka yang melihat lantas tidak sabar untuk menikmatinya.

Bagi Rosidah Darus, kuih tradisional kegemaran Allahyarham bapa dan ibunya itu cukup meninggalkan memori indah yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Manakan tidak, daripada tidak menyukai kuih warisan itu, ada keistimewaannya sehinggakan ibu kepada empat orang anak berkenaan terdorong untuk belajar cara membuatnya. Ilmu membuat kuih tersebut yang diperoleh daripada ibu tersayang mengusik hatinya.

“Kenangan belajar buat kuih ini bersama Allahyarham ibu memang mengusik jiwa. Bila buat, saya agak sebak mengenangkan Allahyarham ayah amat sukakan kuih ini.

GELOPONG
ROSIDAH DARUS

“Kini, kuih ini juga menjadi kegemaran saya dan anak-anak. Daripada tidak suka menjadi suka pula. Memang banyak kenangan kuih ini dengan keluarga,” ceritanya kepada Sinar Plus.

Nenek moyang

Berkongsi tentang sejarah kuih itu, kerani syarikat swasta berkenaan hanya mengetahui kuih warisan tersebut asalnya daripada masyarakat Kampar di Kepulauan Riau, Indonesia yang datang berhijrah ke Tanah Melayu sebelum merdeka lagi.

“Nenek moyang dahulu meneroka tanah di kawasan Piket 60, Sabak Bernam dan menetap di sini sampai sekarang. Jadi, masyarakat Kampar memanggil kuih ini dengan ‘gelopong’, manakala orang Melayu panggil onde-onde.

GELOPONG
ADUNAN yang dihiasi dengan warna asli buah naga dan pandan yang sebelum direbus dan digaul isi kelapa.

“Jika dilihat cara pembuatannya pun sama sahaja, cuma warna kuih berbeza. Lebih unik, kuih ini menggunakan pewarna asli buah naga sahaja,” ujarnya yang suka membuat kuih sama dengan warna pandan dan bunga telang.

Iklan

Tutur wanita berusia 44 tahun itu lagi, resipi kuih yang mudah disediakan dengan berintikan gula melaka itu turut dikongsikan di media sosial dan blog.

Pemilik akaun Facebook dengan nama Ai’da Shidah itu tidak lokek berkongsi ilmu kerana baginya, resipi yang dimuat naik dalam blog atau Facebook ibarat ibadah untuk manfaat bersama.

“Saya suka masak dan kongsikan resipi dalam grup yang mempunyai hobi yang sama. Jadi, dari situ juga saya selalu kongsi dalam blog masakan untuk panduan orang ramai.

“Selain untuk masak sendiri, saya ada juga ambil tempahan pelanggan. Cuma sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya hentikan dulu tempahan buat sementara waktu,” katanya.

Iklan

Resipi Gelopong Buah Naga

Bahan-bahannya:

  • 500 gram tepung pulut
  • 2 sudu tepung gandum
  • 1/2 biji buah naga
  • Air secukupnya
  • Kelapa parut
  • Sedikit garam
  • Gula melaka dipotong kecil

Cara-caranya:

  • Kisar buah naga bersama air dan tapis. Masukkan dalam tepung dan uli sehingga boleh dibentuk.
  • Tepung yang telah siap diuli, dibulatkan dan diintikan dengan gula melaka.
  • Setelah siap direbus dan adunan terapung, angkat dan tapis.
  • Gaul dengan isi kelapa yang telah dicampur dengan sedikit garam. Siap untuk dihidangkan.