KUIH tepung pasung barangkali tidak asing lagi bagi masyarakat Terengganu.

Namun, bagi penduduk di negeri lain, nama kuih berkenaan bukan sahaja jarang didengari, malah ‘rupa parasnya’ langsung tidak dapat dibayangkan.

Sambil tertawa saat mendengar apa yang penulis katakan, Mohammad Nazmi Omar, 39, berkata, punca utama orang ramai tiada pengetahuan tentang sajian tradisional itu adalah disebabkan penyediaannya yang agak rumit.

“Bila susah, jadi tak ramai yang peduli. Walaupun orang Terengganu yang berhijrah ke tempat lain seperti di Kuala Lumpur, tidak semua mereka tahu kewujudan kuih ini dan mungkin tak tahu buatnya langsung.

“Sedangkan di kampung halaman saya sendiri di Besut, hanya saya seorang sahaja menjual kuih tepung pasung,” katanya yang sudah lapan tahun berniaga.

Ujar usahawan yang berusia 39 tahun itu, kebolehannya dalam dunia pastri klasik terutama dalam membikin kuih tepung pasung memberi kelebihan kepada dirinya.

Masakan tidak, empunya diri dapat memenuhi permintaan para pelanggan yang ingin merasa kulinari asli air tangan orang tempatan.

“Alhamdulillah, saya menuntut ilmu masakan ini daripada ibunda tercinta, Halimah Che Mat.

“Pada mulanya, niat saya belajar resipi itu adalah untuk mengekalkan warisan keluarga, memandangkan adik beradik lain tidak menunjukkan minat. Jadi, saya rasa terpanggil untuk ‘mendalaminya’,” ujarnya sambil memberitahu, beliau melalui proses pembelajaran yang panjang kerana gagal sebanyak lapan kali sebelum mampu menghasilkan kuah pasung yang sempurna.

Ujar beliau yang juga seorang guru, perkara paling mustahak dalam menghasilkan sajian berkenaan adalah memastikan kelongsong berbentuk kon tidak bocor.

“Jika ada sedikit lubang pun, bancuhan gula melaka dan tepung akan terkeluar,” ungkapnya.

Seperkara, Mohammad Nazmi menyarankan orang ramai yang ingin mencuba resipi tersebut menggunakan daun pisang jenis pisang benggala atau lebih dikenali sebagai pisang galla.

“Kalau guna daun pisang lain, kelongsong kurang menjadi. Tekstur daun pisang galla biasanya agak keras dan mudah terbentuk. Kalau boleh, dapatkan daun yang sudah tua,” ungkapnya.

Dari segi bancuhan pula, sukatan bahan kena tepat. Satu petua yang mungkin ramai tidak tahu, kesedapan kuih pasung juga bergantung kepada jenis tepung yang digunakan.
Lelaki itu berkata, beliau menggunakan Tepung Beras Cap Gelang dan gula melaka yang diimport khas dari Thailand.

“Hasilnya memang berbeza. Saya tak mahu ‘derhaka’ dengan resipi yang ibu saya ajar. Saya ikut 100 peratus ramuan yang digunakan termasuk jenis beras, jenama dan keluaran,” katanya sambil menasihatkan orang ramai agar menggunakan santan segar untuk sajian itu.

Resipi Kuih Tepung Pasung

Iklan

Bahan-bahan lapisan bawah

-400 gram (g) gula Melaka (BELI DI SINI)
– 350g tepung beras (BELI DI SINI)
– 50g tepung gandum (BELI DI SINI)
-100g gula pasir (BELI DI SINI)
– 1 sudu besar garam kasar (BELI DI SINI)
– 1/2 sudu kapur makan (BELI DI SINI)
– 3 liter air
– 3 helai daun pandan (BELI DI SINI)

Cara penyediaan:

  1. Panaskan air kemudian masukkan garam, gula pasir, dan daun pandan. Masak sehingga mendidih.
  2. Kemudian tapis air bancuhan tersebut.
  3. Seterusnya masukkan tepung beras dan tepung gandum. Kacau sehingga sebati.
  4. Masukkan pula kapur makan secukupnya.
  5. Langkah seterusnya panaskan kembali adunan selama 5 minit hingga 10 minit untuk pastikan adunan separa likat sebelum dikukus.
  6. Sediakan kelongsong daun pisang berbentuk kon dan susun secara teratur di dalam pengukus.
  7. Tuang adunan yang telah dipanaskan ke dalam kelongsong dan kukus lagi selama 7 minit.

Bahan-bahan lapisan atas

– 300g tepung beras (BELI DI SINI)
– 1 sudu gula (BELI DI SINI)
– 1 sudu garam halus (BELI DI SINI)
– 2 biji kelapa atau 1 kilogram santan (BELI DI SINI)
– 1.7 liter air termasuk santan (BELI DI SINI)

Iklan

Cara penyediaan:

  1. Sediakan air dan santan secukupnya, kemudian masukkan tepung beras, gula dan garam secukup rasa.
  2. Seterusnya kacau sehingga bancuhan kelihatan sebati.
  3. Panaskan adunan tadi selama 5 hingga 10 minit sehingga separa likat dan tutup api.
  4. Kemudian bancuhan adunan lapisan bawah ke dalam kelongsong dan masukkan pula adunan lapisan atas. Kukus selama 8 hingga 10 minit.

Baca juga: Tak pandai masak pun boleh buat. Hanya guna tiga bahan, kuih Apam Baghdad boleh buat mak mertua sayang

Baca juga: Tak sampai RM10, resipi Cendawan Enoki Telur Masin boleh dimasak dalam porsi besar. Wajib cuba

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi