“BAGAIKAN berada di dalam dunia komik kartun sambil menikmati sajian Barat dan Melayu yang cukup menyelerakan.”

Itu salah satu komentar daripada seorang pengunjung yang teruja saat menjejakkan kaki ke Movilion Coffee House di Pasir Pekan, Kelantan.

Ternyata konsep hiasan dalaman dua dimensi (2D) yang dibangunkan sejak dua tahun lalu membuatkan ramai terpukau dan tidak henti merakamkan foto kenangan.

Kafe hipster dengan signatur rona hitam putih itu sebenarnya adalah hasil usaha seorang usahawan muda, Ismail Mohamad.

Sejak tular di laman sosial, kehadiran pengunjung begitu luar biasa, kata Ismail.

Hal itu ujarnya, telah mendorong beliau membuka dua lagi cawangan masing-masing di Kota Bharu dan Kuala Krai.

Beritahu pemuda berusia 25 tahun itu, ilham mengaplikasikan konsep 2D sebenarnya mengambil inspirasi dari sebuah kafe di Korea Selatan yang pernah disinggahinya.

Justeru, saat menerima berita sedih dibuang kerja impak daripada wabak Covid-19 yang melanda seantero dunia, impian berkenaan direalisasikan dengan sokongan ahli keluarga.

BACA JUGA Peruntuk lebih kurang RM120,000 untuk bina rumah stail kontena. Siap ada kafe mini lagi

BACA JUGA Robot dikendalikan pekerja OKU, inisiatif kafe ini membuat ramai kagum dan terkesima

“Saya sendiri pun tak sangka sambutan yang diterima cukup hebat. Mungkin kerana hiasan 2D yang unik, di samping menu yang enak dijual pada harga mampu milik menjadi tarikan ramai.

“Selain lepak santai bersama keluarga dan rakan-rakan, kebanyakan pelanggan khususnya golongan muda seperti biasa suka mengambil gambar dan muat naik di media sosial masing-masing,” kata bekas pegawai khidmat pelanggan di sebuah syarikat penerbangan.

Iklan

Beritahu Ismail lagi, disebabkan ruang premis ‘bermain’ dengan rona putih dan hitam, pihaknya akan memastikan proses mengecat semula ruang lantai dan dinding dilakukan setiap enam bulan sekali demi keselesaan pelanggan.

Jujur katanya, meskipun terpaksa berbelanja lebih, keunikan lukisan 2D perlu sentiasa terpelihara bagi memberi kepuasan kepada orang ramai terutama yang datang dari jauh.

Bercerita tentang menu pula, anak kelima daripada enam beradik itu berkata, Nasi Goreng Ayam Buttermilk, Roasted Chicken Salted Egg dan Aglio Olio Creamy Sauce sentiasa menjadi pilihan ramai.

Tidak ketinggalan, menu signatur kafe tersebut, Movillion Cheese Tarik.

Iklan

“Lebih 40 minuman istimewa turut disediakan, antaranya seperti Jogja Chip, Belgium Double Chocolate Chip dan banyak lagi. Jangan lupa untuk nikmati aiskrim yogurt istimewa yang menjadi sajian wajib jika datang ke premis kami.

“Pada masa sama, kami turut menawarkan servis untuk parti peribadi dan candle light dinner bagi meraikan majlis istimewa,” ujar Ismail yang bercadang untuk melancarkan sebuah lagi kafe yang berkonsepkan kapal terbang tidak lama lagi. – ARZIANA MOHMAD AZAMAN

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan