BARANGKALI masih ramai lagi rakyat Malaysia yang kurang arif tentang jangkitan malaria zoonotik.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, masalah kesihatan tersebut meningkat secara drastik daripada 376 kes pada tahun 2008 kepada 3,575 kes (2021).

Ia juga telah muncul sebagai penyebab utama kematian malaria di Malaysia sejak tahun 2017.

Apa yang dimaksudkan dengan malaria zoonotik? Untuk menjawab banyak persoalan mengenainya, SinarPlus mewawancara Pakar Perubatan Dalaman dan Penyakit Berjangkit, Pantai Hospital Ayer Keroh, Dr Nor Hayati Shaharuddin.

Jelas Dr Nor Hayati satu persatu, malaria merupakan sejenis penyakit berjangkit yang disebabkan oleh parasit yang tersebar melalui gigitan nyamuk jenis Anopeheles.

Zoonotik pula bermaksud penyakit berjangkit yang pada asalnya cuma merebak dalam lingkungan haiwan, tetapi kini telah menular pula pada manusia.

Justeru, malaria zoonotik atau malaria monyet membawa maksud jangkitan malaria pada manusia yang asalnya adalah perebakan malaria yang cuma berlaku dalam keluarga haiwan liar itu.

 

Tempoh inkubasi

Menjawab apa faktor utama penularan berlaku, kata pakar berkenaan, ia adalah kerana populasi monyet dan manusia telah menjadi semakin dekat di antara satu sama lain.

Ujar beliau, jikalau dulu, monyet hanya dijumpai dalam hutan, tetapi pada hari ini, kita boleh lihat haiwan berkenaan di tepi jalan raya.

“Begitu juga kita lihat masyarakat kini yang suka melakukan ekpedisi meredah hutan, berkhemah dan memancing di kawasan air terjun, memanjat gunung atau bukit termasuk pergi ke hutan untuk melakukan eksperimen.

“Apabila manusia berada dekat dengan monyet dan nyamuk anopheles juga berada dalam kawasan berkenaan, nyamuk tersebut yang menjadi pembawa kepada parasit malaria zoonotik itu dengan mudahnya menularkan penyakit ini daripada monyet kepada manusia,“ terangnya.

Mengulas lanjut, Dr Nor Hayati berkata, malaria zoonotik menjalar apabila nyamuk menggigit monyet yang telah terjangkit malaria dan menggigit pula manusia. Secara turutannya, monyet-nyamuk-manusia.

Namun, kajian menunjukkan apabila seseorang telah terjangkit dengan Plasmodium knowlesi (spesies parasit ke-5) dan nyamuk menggigit orang itu, penularan tidak berlaku.

Dalam pemahaman mudah, daripada monyet-nyamuk-manusia-nyamuk-manusia, tiada transmisi tahap kedua daripada manusia yang telah terjangkit ke manusia lain.

Berbeza dengan malaria yang merebak dalam kalangan manusia, ia berlaku apabila nyamuk menggigit individu yang telah terjangkit dan menggigit pula orang lain (manusia-nyamuk-manusia).

Ringkas kata, nyamuk berfungsi sebagai kenderaan yang menularkan parasit malaria kepada manusia, dari perumah monyet dalam kes zoonotik atau perumah manusia dalam kes bukan zoonotik.

“Perbezaannya adalah kehadiran monyet dalam kes zoonotik,“ ujarnya.
Persoalannya, berapa lama malaria zoonotik akan mula berkembang dalam diri pesakit?

Jawab pakar tersebut: “Apabila seseorang telah digigit oleh nyamuk yang membawa parasit malaria, parasit itu akan mengambil masa selama satu hingga dua minggu tempoh inkubasi sebelum gejala bermula.“

Dr Nor Hayati turut menyenaraikan petanda-petanda atau gejala malaria. Antaranya seperti berikut:

-Sakit kepala
-Demam
-Muntah-muntah
-Keletihan
-Rasa loya
-Menggigil
-Sakit otot

Bahaya

Dalam pada itu, Dr Nor Hayati memberitahu, sesiapa sahaja yang terdedah kepada punca jangkitan berisiko untuk dijangkiti.

Berdasarkan teori perubatan, ungkap beliau, tiada seorang pun yang lahir dengan imuniti semula jadi.

“Semestinya seseorang yang tinggal dalam hutan seperti orang asli, pekerja di sektor pembalakan mereka yang tinggal berhampiran dengan kawasan hutan, individu yang melakukan ekspedisi riadah dalam belantara antara yang golongan paling mudah terdedah,“ katanya.

Keberangkalian untuk berlaku di zoo haiwan peliharaan juga berpotensi jika monyet di sana telah dijangkiti oleh Plasmodium knowlesi.

Selain itu, kemungkinan kawasan tersebut terdapat nyamuk anopheles yang boleh menyebarkan parasit berkenaan kepada manusia.

“Untuk membendungnya, nyamuk mesti dihapuskan dan monyet mesti dipastikan sihat. Pelawat juga perlu mengambil langkah pencegahan seperti memakai pakaian yang berlengan dan berseluar panjang termasuk menggunakan losen atau semburan menghalang gigitan nyamuk,“ katanya.

Menurut Dr Nor Hayati, malaria dalam kalangan wanita hamil adalah satu perkara yang sangat serius.

“Impaknya akan menjadi lebih teruk dan juga berisiko untuk meninggal dunia. Bayi dalam kandungan juga berkemungkinan untuk dijangkiti, tidak membesar dengan normal dalam kandungan, mengalami kelahiran pramatang dan juga kematian,“ katanya.

Sama juga kesannya kepada warga emas, kanak-kanak berusia bawah lima tahun, mereka yang miliki human immunodeficiency virus, pesakit kanser dan kumpulan yang mempunyai imun yang rendah.

Masih dalam kajian

Dari segi rawatan, kata Dr Nor Hayati, para doktor lazimnya akan memberi ubat antimalaria kepada mana-mana pesakit.

Pun demikian, bagi kanak-kanak, dosnya bersaiz lebih kecil berbanding orang dewasa.

“Doktor akan memilih ubat antimalaria yang sesuai kerana ada ubat yang tidak serasi untuk kanak-kanak berusia bawah dua tahun,“ ujarnya.

Berdasarkan situasi semasa, Dr Nor Hayati berkata, setakat ini tiada perawatan baharu diperkenalkan kerana semuanya masih dalam peringkat kajian.

Iklan

Begitu juga dengan vaksin malaria zoonotik untuk pesakit terutama di Asia.

Kepada pengembara di kawasan berikut, pakar tersebut menitipkan pesanan.

Paling penting ujarnya, mereka mesti mengambil langkah mencegah gigitan nyamuk seperti memakai baju berlengan dan berseluar panjang, tidur dalam kelambu semasa berkhemah dalam hutan dan juga menggunakan semburan atau losen kawalan nyamuk (mosquito repellant).

Pengembara juga boleh berjumpa doktor untuk mengambil ubat prophylaxis jika perlu.
“Sekiranya seseorang pulang dari kawasan endemik malaria dan mempunyai gejala, nasihat saya segeralah berjumpa doktor untuk melakukan ujian pengesahan sama ada anda telah dijangkiti atau tidak,“ pesan beliau.

Memberi komentar tentang kepayahan mengekang malaria zoonotik yang juga merupakan satu tantangan baharu kepada dunia perubatan, Dr Nor Hayati berkata, secara teorinya, penularan kes dapat dikawal jika masyarakat dapat mencegah pembiakan nyamuk anopheles dan berupaya mengawasi populasi monyet.

“Ia sebenarnya bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilakukan (mengekang) kerana Malaysia mempunyai kawasan hutan simpan yang luas daripada jenis hujan tropika.

“Ini adalah habitat semula jadi kepada populasi monyet macaques yang menjadi pembawa kepada malaria zoonotik. Dalam hutan juga ada kawasan-kawasan tadahan air hujan yang luas dan kawasan sebegini sangat sesuai untuk pembiakan nyamuk anopheles,“ katanya.

Justeru, untuk menangani transmisi malaria zoonotik sememangnya adalah cabaran kepada pelbagai sektor termasuk kesihatan awam, perhutanan dan hidupan liar, perladangan, pelancongan serta jabatan yang menjaga hal ehwal orang asli.

“Semua pihak sebenarnya perlu terlibat secara langsung dan tidak langsung mesti berintegrasi untuk menyelesaikan masalah ini,“ katanya.

BACA JUGA Vaksin peringkat kajian, ubat malaria bantu rawat pesakit Covid-19

BACA JUGA Penyakit-penyakit yang boleh menimpa orang ramai tatkala musim banjir. Kena peka dan ambil tahu

#kesresponden

Pergi dalam keadaan sihat, balik dari hutan demam dan muntah

Iklan

GORDON Lim yang merupakan seorang penyelidik pernah berdepan dengan penularan malaria zoonotik.

Peristiwa itu berlaku ketika beliau mengikut pasukannya masuk ke hutan untuk melaksanakan kajian tentang tumbuh-tumbuhan di sebuah hutan yang terletak di pantai timur.

“Saya dengan tiga lagi penyelidik berkampung di sana lebih kurang dua minggu. Kami okey, namun dua, tiga hari sebelum menamatkan penyelidikan, saya sudah rasa tidak sihat. Ingatkan, ia berpunca akibat terdedah dengan hujan lebat,“ katanya.

Kondisi kesihatannya semakin teruk sebaik keluar dari hutan tersebut. Bukan sahaja demam, badan Gordon juga berasa seram sejuk, muntah dan pening berterusan.

“Saya gagahkan diri dan terus ke hospital. Apabila ujian dilakukan, doktor sahkan saya menghidap malaria,“ katanya.

Ditanya bagaimana pakar mengesahkan beliau menghidap malaria zoonotik, kata lelaki berusia 41 tahun itu, ia berdasarkan penceritaannya tentang kawasan hutan yang dipenuhi dengan monyet pelbagai spesies.

Dalam pada itu, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) berkata, berdasarkan laporan malaria global, 27 buah negara mempunyai kurang daripada 100 kes penyakit pada tahun 2020.

Sebanyak 11 buah negara yang telah mencapai sekurang-kurangnya tiga tahun berturut-turut sifar kes ‘malaria peribumi‘ (kes yang dijangkiti secara tempatan tanpa bukti pengimportan dari negara endemik lain) layak memohon pensijilan WHO bagi penghapusan malaria.

Selain Maldives, Sri Lanka, Kyrgyzstan, Paraguay dan Uzbekistan, Argentina, Algeria, El Salvador, China, Azerbaijan dan Tajikistan yang dikategori bebas daripada endemik itu.

Menurut WHO lagi, RTS,S/AS01 (RTS,S) ialah satu-satunya vaksin pertama yang telah menunjukkan keberkesanan ketara dalam kalangan kanak-kanak yang tinggal di kawasan penularan malaria sederhana hingga tinggi. Ia bertindak terhadap Plasmodium falciparum iaitu parasit malaria yang paling lazim di Afrika.

Setakat Mac 2023, lebih 1.3 juta kanak-kanak telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Ujar WHO, 29 negara di Afrika telah menyatakan minat untuk mengguna pakai vaksin tersebut sebagai sebahagian daripada strategi kawalan malaria kebangsaan mereka.

Foto PEXELS & FREEPIK