MUNGKIN ramai yang tidak percaya ramai selebriti tersohor seperti Rowan Atkinson, Emily Blunt dan Marc Anthony mengalami masalah gagap.

The Epoch Times misalnya, secara terbuka menyiarkan artikel berjudul Atkinson Mengalami Halangan Pertuturan Yang Hampir Mengorbankan Kerjayanya pada 19 Februari 2019.

Sebelum itu, pada 28 Disember 2017, English News Track melaporkan, kegagapan Atkinson telah menyebabkan beliau ‘disingkirkan‘ dalam membintangi banyak filem.

Ya, kekurangan itu sememangnya boleh merencatkan mata pencarian seseorang, sekali gus banyak menganggu kelancaran kehidupan.

Berdasarkan statistik yang dikongsikan Medical News Today, kegagapan dialami lebih daripada 70 juta manusia di seluruh dunia. Di Amerika Syarikat (AS) sahaja, 3 juta penderita direkodkan.

Sementara The Stuttering Foundation, AS menyatakan, sebanyak 5 hingga 10 peratus kanak-kanak di peringkat global akan mengalami kemelut itu enam bulan atau lebih. Satu nisbah empat orang pula akan kekal mengalami gangguan berkenaan sepanjang hayat.

Siti Sufiah Abdul Razak

Bagi mengupas lebih lanjut mengenai isu gagap, SinarPlus menghubungi Ahli Terapi, d’Healthy Physio, Speech & Occupational Therapy Centre, Siti Sufiah Abdul Razak.

Siti Sufiah menerangkan, gagap merupakan kecelaruan kelancaran pertuturan yang mengganggu perkembangan bahasa seorang kanak-kanak.

Situasi itu katanya, sering melanda ke atas anak kecil (dua hingga empat tahun) yang mula belajar untuk menggabungkan perkataan menjadi frasa dan ayat panjang.

SUMBER Ketut Subiyanto daripada PEXELS.

Berdasarkan perangkaan, budak lelaki lebih ramai berdepan dengan kemelut itu berbanding perempuan.

Terang beliau, kekerapan menyebut ‘err‘ dan ‘ermm‘ tidak boleh dianggap sebagai gagap melainkan pengulangannya adalah keterlaluan. Ia juga tidak bermakna seseorang mempunyai masalah pendengaran.

“Sehingga kini, punca kepada gagap masih belum dikenal pasti secara jelas,“ ujarnya.

Sukar mengingati

Namun, dari segi pandangan saintifik, terdapat beberapa faktor yang menyumbang.

Pertama, ia mempunyai korelasi dengan genetik. Selain itu, percakapan yang tidak lancar juga ada kena mengena dengan masalah neurologi yang disebabkan oleh trauma kecederaan otak, Parkinson atau strok.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan persekitaran dan orang sekeliling yang memberi reaksi negatif atau tekanan boleh mempengaruhi penghidap. Tidak mustahil, hal itu boleh berterusan sehingga seseorang dewasa,“ katanya.

Adakah kegagapan mempunyai perkaitan dengan lidah pendek (ankyloglossia) seperti yang didakwa oleh ramai orang? Siti Sufiah lantas menafikannya.

Ujarnya: “Lidah pendek mempengaruhi pergerakan lidah dan sebutan, bukannya kelancaran percakapan. Jadi, sekiranya individu yang mempunyai lidah yang terhad dan mengalami gagap dalam masa yang sama, keadaan lidah pesakit bukanlah penyebabnya.“

 

Siti Sufiah kemudian menyenaraikan tiga kategori gagap iaitu:
i. Gagap neurogenik: Terjadi disebabkan kerosakan pada saraf otak.
ii. Gagap psikogenik: Gagap yang disebabkan oleh faktor psikologi seperti keresahan dan trauma.
iii. Gagap perkembangan: Gagap bermula ketika usia kanak-kanak lagi.

Untuk mengenali petanda-petandanya, ia boleh dinilai dari beberapa sudut.

Antaranya, berlaku pengulangan dan pemanjangan perkataan serta sekatan atau sisipan semasa mereka berkomunikasi.

“Keadaan tersebut akan disusuli dengan tingkah laku sekunder seperti mata berkelip-kelip, berkerut dan pergerakan badan yang lain,“ katanya.

Dalam pada itu, portal MyHealth membariskan ciri-ciri lain iaitu:

  1. Ia bermula dan berterusan selepas kanak-kanak berumur 3 tahun setengah.
  2. Tempoh kemunculan dan hilang gagap yang semakin bertambah.
  3. Durasi masalah kegagapan berlanjutan enam hingga 12 bulan dan ada yang kekal.
  4. Kanak-kanak mengelak daripada menggunakan perkataan yang menyebabkan kegagapan.
  5. Mengalami kegagapan lebih 10 perkataan daripada 100 perkataan.
gagap
SUMBER Pavel Danilyuk daripada PEXELS.

Apabila kondisi itu tercetus, ia semestinya membawa kepada aura yang tidak memberangsangkan. Untuk kanak-kanak, ujar Siti Sufiah, golongan itu mempunyai keberangkalian untuk sukar mengingati kembali apa yang dipelajari di bilik darjah atau di mana-mana sahaja.

Persoalan yang sering dilontarkan umum turut dijawab oleh Siti Sufiah. Jelas beliau, benar, anak yang gagap boleh sembuh. Namun, ada juga kemungkinan kerumitan itu akan terbawa-bawa sehingga ke alam dewasa. Ia akan lebih menjadi-jadi jika ia tidak dibendung sejak dari awal.

Mengenai rawatan, semuanya bergantung kepada tahap keterukan, umur, keperluan komunikasi dan beberapa faktor lain, beritahu Siti Sufiah.

“Diagnosis gagap selalunya dibuat dengan menilai sejarah pesakit. Selain pemerhatian terhadap percakapan dan bahasa mereka, penilaian emosi dan psikologi serta ujian khas gagap perlu dijalankan,“ katanya.

Sesi terapi juga akan berfokus kepada gabungan terapi pertuturan dan kaunseling.
Pesakit akan melakukan latihan pernafasan dan memperlahankan kelajuan percakapannya menggunakan peranti delayed auditory feedback.

gagap
SUMBER Katerina Holmes daripada PEXELS.

“Alat berkenaan akan merakamkan suara pesakit dan ia akan dimainkan semula mengikut masa yang ditetapkan bagi membantu si kecil mengawal rentak pertuturan mereka,“ katanya.

Sementara itu, gagap yang disebabkan oleh masalah neurologi pula memerlukan kerjasama daripada beberapa pihak termasuk doktor dan pakar neurologi.

Berkongsi pengalamannya mengendalikan individu gagap, Siti Sufiah berkata, ia memerlukan komitmen yang tinggi dan latihan yang berterusan.

“Salah seorang pesakit saya iaitu seorang kanak-kanak hanya hadir ke sesi terapi sebanyak dua kali sahaja. Dia tidak muncul lagi untuk sesi seterusnya.

“Keadaan itu secara terang-terang menunjukkan pemikiran sesetengah masyarakat kita yang berasa gagap bukanlah satu masalah besar sampai memerlukan rawatan. Mungkin juga mereka melihat hasil terapi yang tak mendatangkan kesembuhan segera,“ ujarnya.

gagap
Dr Hilwa Abdullah@Mohd Nor

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan dan Ahli Psikologi Klinikal Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Hilwa Abdullah@Mohd Nor ingin memadamkan persepsi umum yang mendakwa kegagapan adalah susulan daripada masalah seperti autisme atau hiperaktif.

“Saya ingin jelaskan, autisme merujuk kepada defisit dalam komunikasi sosial dan interaksi serta tingkah laku yang berulang.

“Gagap pula melibatkan kelancaran pertuturan. Ia bukan indikator untuk menunjukkan seseorang kanak-kanak mengalami masalah kelewatan perkembangan ataupun kesihatan mental seperti kemurungan,“ jelasnya.

gagap
SUMBER Maël BALLAND daripada PEXELS.

Pun begitu, ia boleh terjadi sekiranya gagap yang dialami memberi kesan trauma yang teruk kepada pesakit, tetapi tidaklah pada tahap kritikal.

Kepada satu soalan, Dr Hilwa menerangkan, kurang perhatian dan kasih sayang atau sering dimarahi ibu ayah juga bukan sebab si kecil bercakap tersekat-sekat.

Ini kerana kanak-kanak tetap bertutur sepatah demi sepatah walaupun tanpa gesaan atau desakan.

Menyentuh tentang dampak kepada mental dan pemikiran penghidap, ahli psikologi klinikal itu berkata, ia boleh mewujudkan stres, tetapi bergantung kepada penerimaan individu tersebut.

“Jika seseorang dapat kawal tekanan dengan baik, tiada masalah. Ia bersifat subjektif kerana terdapat individu gagap telah membuktikan mereka berjaya dalam kehidupan,“ ungkapnya.

Iklan
GAGAP
SUMBER cottonbro daripada PEXELS.

Apa pun hujah yang diutarakan, Dr Hilwa berkata, peranan mak ayah amat signifikan. Sehubungan itu, beliau mencadangkan beberapa strategi yang boleh diambil untuk memperbaiki kelancaran si kecil bertutur:
i. Memberi reaksi muka yang tenang dan senyum.
ii. Beri peluang kepada anak untuk bercakap secara bergilir-gilir.
iii. Wujudkan interaksi dan tidak memotong percakapannya.
iv. Perbanyakkan masa berbual dan galakkan mereka untuk bertutur.
v. Berkomunikasi menggunakan bahasa yang mudah.
vi. Buang perasaan malu untuk bertutur dengan anak yang gagap dalam khalayak umum.

Dalam pada itu, bagi golongan dewasa, Dr Hilwa menyarankan agar mereka menerima kelainan pada diri.

“Kita berhak memilih kumpulan dan suasana yang membantu kita untuk kekal positif,“ ujarnya.

Baca juga: Turun berat badan, Chef Wan kongsi perkembangan selepas kemoterapi, tetap confident tampil botak

GAGAP
SUMBER cottonbro daripada PEXELS.

#kesresponden

Rekod percakapan dan dengar semula, formula Amir boleh bertutur dengan baik

IBU mana yang tidak susah hati melihat permata hatinya bertutur dalam keadaan tersekat-sekat.

Menurut Sri A‘jilah Mohd Samsir, beliau mula menyedari situasi tersebut ketika anak sulungnya, Amir Rahman berumur empat tahun.

Sri A‘jilah Mohd Samsir

“Kadang-kadang gagapnya sangat teruk sehingga terpejam-pejam mata mahu menyebut satu-satu perkataan. Disebabkan saya terlalu risau isu itu berlarutan dan tak mahu dia rasa rendah diri apabila sudah besar nanti, saya bawa Amir (panggilan manja si kecil itu) berjumpa dengan doktor,“ katanya ketika dihubungi SinarPlus.

Pun demikian, ujar Sri A‘jilah, doktor memaklumkan masalah berkenaan akan hilang dalam masa satu hingga dua tahun.

“Doktor turut nasihatkan saya supaya banyak bercakap dengan Amir,“ ujar wanita yang berasal dari Negeri Sembilan dan kini menetap di Jerantut, Pahang.

Selain itu, antara alternatif lain yang dilaksanakan adalah meminta si cilik kesayangan untuk menarik nafas terlebih dahulu setiap kali terasa sukar untuk menyebut sesuatu perkataan.

Baca juga: Anak gagap bercakap sering dipersendakan. Ibu bapa perlu ambil langkah awal atasinya

Iklan

Baca juga: CCTV dedah anak diabai diletak dalam bilik kosong. Ibu terkilan baby penuh kesan gigit, cakar, cubit buat luluh hati ramai

SUMBER Ivan Samkov daripada PEXELS.

“Latihan tersebut dibuat dalam kiraan lima hingga 10 supaya Amir boleh bertenang.

“Saya juga menggalakkannya untuk bercakap dalam keadaan tenang dan tidak akan menyergahnya ketika bercakap. Ia bagi mengelak dia semakin susah untuk mengeluarkan perkataan,“ katanya.

Pada masa sama, Sri A‘jilah memfokuskan kepada satu bahasa sahaja iaitu bahasa Melayu.

Pun demikian, Amir masih tidak begitu lancar ketika berkomunikasi. Beliau masih mengulangi beberapa perkataan sebelum menyebut aksara seterusnya.

Tidak mahu cepat berputus asa, wanita itu menemui satu kaedah untuk mengurangkan masalah kegagapan iaitu dengan merekod perbualan anaknya dan ditonton semula.

“Saya mendapat kerjasama yang baik daripada Amir. Saya rekodkan nyanyian atau bacaannya tidak kira sama ada ketika dia membaca buku kanak-kanak atau iqra. Kemudian, saya beri dia dengar semula apa yang dituturkan.

“Rakaman dibuat berkali-kali supaya Amir bersedia dengan perkataan yang mahu digunakan,“ kata ibu kepada tiga orang cahaya mata tersebut.

Ternyata, pendekatan itu memberi impak yang positif. Ujar Sri A‘jilah, pertuturan Amir mengalami perubahan dan sebutannya juga semakin jelas.

“Alhamdulillah, Amir dilihat lebih bersedia dan berani. Pertuturannya lancar dan keyakinan dia juga semakin tinggi ketika bercakap depan orang ramai.

“Sesuatu yang amat menggembirakan kami apabila pada usia sembilan tahun, dia berjaya memasuki pertandingan membaca khutbah dan bercerita di sekolah. Dia kelihatan amat berani,“ kata pengusaha kelas membaca itu dengan rasa bangga.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang