JIKA anda selama ini suka berkongsi segala macam benda sama ada dengan pasangan, adik beradik, kawan baik waima rakan sebilik, segera tinggalkan tabiat itu.

Benda yang dimaksudkan itu ialah pencukur, tuala, baju, selimut, pakaian, berus gigi mahupun seluar dalam.

Mengapa? Menurut perkongsian Public Health Malaysia, barang-barang keperluan peribadi memang tidak boleh dikongsi.

“Ramai yang ambil mudah perkara ini. Hentikan perkongsian ini walaupun dengan adik anda. Anda tidak tahu status kesihatan seseorang,” tegas PHM dalam satu hantaran menerusi Facebooknya.

Impaknya beritahu PHM bukan biasa-biasa.

Seseorang bukan sahaja terdedah dengan jangkitan kulit, bakteria dan kulat, malah berpotensi mendapat jangkitan pada mata.

Baca juga Sibuk merawat pesakit Covid-19, doktor akhirnya maut kerana barah kulit

Lebih menakutkan, perkongsian itu juga menyebut, seseorang boleh mendapat kudis buta. Justeru, segeralah menghentikan amalan itu.

“Pencegahan itu lebih baik daripada berubat,” kata laman web itu lagi.

MENAKUTKAN

Dalam pada itu, merujuk laman web kesihatan tempatan, Hellodoktor.com, perbuatan berkongsi tuala boleh memindahkan kuman dari satu individu kepada individu yang lain.

Ujar laman web berkenaan, setiap orang mempunyai kuman pada permukaan kulit tidak kira mereka terdiri daripada individu yang sangat mementingkan kebersihan atau tidak.

“Biasanya, kuman ini tidaklah berbahaya, namun ia boleh menyebabkan infeksi kepada individu lain yang mempunyai masalah kulit.

“Kebanyakan kuman juga tidak boleh memasuki kulit yang normal, ia akan tinggal di atas permukaan kulit dan hanya menunggu masa untuk dipindahkan kepada individu yang lain,” jelas Hellodoktor.

Iklan

Berikut adalah implikasi lain sekiranya anda masih berdegil atau terus-menerus berkongsi barangan peribadi:

• Infeksi steph (sejenis kuman yang biasa ditemui pada kulit atau hidung orang yang sihat sekalipun. Dalam kebanyakan kes, bakteria steph tidak menyebabkan masalah atau mengakibatkan infeksi kulit yang relatif kecil)
• Infeksi kulat
• Jerawat
• Kurap
• Jock Itch (cacing pangkal peha)
• Pink eye (keradangan pada lapisan luar mata)
• Tinea pedis (Athelete’s foot)

Mengulas mengenai kudis buta seperti yang diperkatakan oleh PHM, Pakar Dermatologi, Dr Saadiah Sulaiman berkata, jangkitan tersebut disebabkan oleh kutu halus yang dikenali sebagai Sarcoptes scabiei.

“Kutu halus itu akan menetaskan telur di kawasan kudis buta sebelum menjadi ulat yang akhirnya menjadi faktor kepada serangan ekzema dan pelbagai masalah kesihatan kulit yang lain,” katanya kepada Hello Doktor.

Iklan

Baca juga Jerawat tumbuh di bahagian muka, jom kenali apa puncanya

Seperkara yang perlu diberi perhatian adalah jangan lupa basuh barangan seperti baju, selimut, tuala sekurang-kurangnya seminggu sekali.

Jangan juga pakai pakaian yang sudah berbau busuk atau mengulangi baju atau seluar yang sama pada hari seterusnya.

Ingat! Selain kuman yang boleh menyebabkan kulit kita bermasalah, virus Covid-19 dengan pelbagai varian masih ‘berleluasa’ lagi!

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram!