Penyakit sopak bikin penderita stres, pulaukan diri sendiri. Rawatan boleh dilakukan, tapi tak boleh sembuh
PADA saat individu lain malu untuk berada di tengah-tengah khalayak ramai gara-gara kulit bertompok sana sini, Winnie Harlow sebaliknya.
Harlow dengan beraninya muncul di pentas fesyen dunia memperagakan busana mewah dengan wajahnya yang sopak atau vitiligo.
Meskipun terdapat sebahagian kulitnya memiliki tompok-tompok putih, model terkenal itu tetap berbangga untuk menonjolkan dirinya.
Menurut Global Vitiligo Foundation (GVF), 70 juta manusia di seluruh dunia berdepan dengan masalah berkenaan.
GVF juga menyatakan, penyakit itu sama sekali tiada kena mengena dengan bangsa, etnik mahupun jantina.
“Kanak-kanak atau orang dewasa berpotensi mendapat vitiligo. Namun, menurut perangkaan, 20 hingga 35 peratus pesakit terdiri daripada anak kecil,“ kata sumber tersebut.
Bersempena dengan sambutan Hari Vitiligo Sedunia, SinarPlus akan mengupas lebih lanjut tentang penyakit berkenaan bersama Perunding Dermatologi, KPJ Selangor Specialist Hospital, Dr Meera Kuppusamy.
Ujar Dr Meera, secara asasnya, vitiligo berpunca apabila sel-sel kulit kehilangan melanin dan ia boleh berlaku pada mana-mana anggota tubuh manusia.
“Melanin berfungsi dalam memberi warna kepada kulit dan rambut. Apabila ia berkurang, maka pigmen pada bahagian badan yang terlibat akan meluntur dengan sendirinya,“ jelasnya.
Menurut pakar tersebut, kebanyakan pesakit mempunyai sejarah keluarga yang positif.
“Ini bermakna pembawa vitiligo boleh mewariskan penyakit tersebut kepada anak-anak atau generasi seterusnya melalui pembawaan genetik,“ ujarnya.
Dalam pada itu, Verywell Health berkata, vitiligo termasuk dalam kumpulan penyakit autoimun yakni kondisi yang menyaksikan sistem kekebalan tubuh. Ia akan menyerang dan menghancurkan sel-sel tubuh yang sihat termasuk sel pigmen.
Untuk penyakit sopak, sistem imun telah menyerang sel melanin.
Baca juga: Ini punca mengapa Elizabeth Tan derita penyakit autoimun yang membawa kepada masalah rambut gugur
Baca juga: Wanita lebih mudah mendapat penyakit autoimun, ketahui sebab, jenis penyakit
Penulisan itu turut mendedahkan, pengkaji turut menemui perkaitan di antara vitiligo dengan penyakit autoimun seperti autoimun tiroid, pernicious anemia, arthritis reumatoid, psoriasis, lupus, radang usus dan diabetes jenis 1.
Boleh merebak
Meneruskan perbincangan, Dr Meera memberitahu, sopak lazimnya bermula dengan satu tompokan kecil pada tangan atau muka. Ia juga boleh berlaku pada bahagian badan lain seperti mulut, hidung, mata atau kaki.
“Pun begitu, terdapat pesakit yang hanya mengalami tompokan putih pada satu-satu tempat dan ia kekal di tempat sama selama bertahun-tahun,“ katanya.
Mengapa situasi tersebut berlaku? Sampai saat ini, ia masih tidak pasti.
Namun, pengkaji percaya, faktor gaya hidup seperti tekanan, kerosakan pada kulit dan pendedahan kepada bahan kimia antara kriteria yang menyumbang.
Bagaimana masalah sopak boleh berlaku? Adakah ia datang secara tiba-tiba? Jelas Dr Meera, kepada mereka yang mempunyai masalah genetik dan autoimun, kecederaan pada mana-mana bahagian tubuh boleh mencetuskan vitiligo.
“Luka kecil seperti terguris di tepi pintu atau kesan selaran matahari boleh meninggalkan kesan putih atau menjadi sopak. Biasanya, seseorang yang tiada gen penyakit yang dinyatakan akan memperoleh semula warna kulit mereka selepas sembuh daripada luka,“ terangnya.
Menurut beliau lagi, perkembangan vitiligo boleh berlaku mengikut jenis-jenis tertentu iaitu:
i. Vitiligo bersegmen: Depigmentation (pengeluaran pigmen terutamanya daripada kulit secara kimia atau fizikal) berlaku pada satu bahagian badan sahaja dan tidak merebak ke tempat lain.
ii. Vitiligo tidak bersegmen: Depigmentation berlaku pada beberapa bahagian badan dan boleh merebak menjadi besar.
iii. Vitiligo umum: Keadaan vitiligo yang bermula dengan beberapa tompokan putih sebelum merebak pada keseluruhan tubuh.
Panau vs sopak
Menurut Dr Meera, ramai dalam kalangan orang ramai masih keliru di antara vitiligo dan panau.
Jelas beliau, panau yang sering berlaku kepada golongan kanak-kanak disebabkan jangkitan kulat dan turut berkait rapat dengan masalah penjagaan kesihatan atau berpeluh.
Baca juga: Celine Dion hadapi penyakit tak dapat diubati, 6 fakta Stiff Person Syndrome yang perlu diketahui
“Biasanya kita akan lihat wujudnya tompok putih seperti simptom vitiligo bila berlaku panau pada pipi, belakang badan atau dada. Perbezaan ketara, panau sebenarnya mempunyai tekstur yang bersisik.
“Bagi memastikan kesahihannya, doktor akan mengikis kulit pesakit dan memeriksa sampel di bawah mikroskop untuk mengenal pasti punca iritasi tersebut,“ katanya.
Mewakili masyarakat, SinarPlus turut bertanyakan adakah vitiligo adalah petanda awal kepada kanser kulit seperti dimomokkan oleh sesetengah pihak?
Sambil menafikannya dengan tegas, Dr Meera berkata: “Vitiligo sebenarnya tidak memberikan rasa sakit atau gatal pada penghidapnya. Ia sama sekali tidak boleh menjangkiti individu lain. Pada masa sama juga, tidak memberi risiko maut kepada penghidapnya.“
Bagi mendapatkan penjelasan tentang diagnosis dan kaedah rawatan, kami mendapatkan Pakar Perunding Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif, MSU Medical Centre, Dr Siti Muyassarah Rusli.
Menurut Dr Siti Muyassarah, diagnosis vitiligo boleh dijalankan secara klinikal melalui ujian ultraviolet (UV) yang dinamakan Wood Lamp.
Bagaimanapun, pesakit perlu menjalani beberapa pemeriksaan lain yang berkaitan seperti ujian darah, mata dan biopsi kulit terlebih dulu.
“Seseorang yang menyedari kulitnya mengalami depigmentation perlu mendapatkan nasihat doktor. Mereka akan dirujuk kepada pakar kulit.
Sekiranya memerlukan pembedahan, pesakit akan dibawa berjumpa dengan pakar bedah plastik dan rekonstruktif,“ jelasnya.
Elak tekanan
Kepada satu soalan, Dr Siti Muyassarah berkata, vitiligo boleh dirawat, namun ia tidak boleh sembuh sepenuhnya.
Kelazimannya, perawatan dijalankan terhadap pesakit untuk tujuan berikut:
i. Mendapatkan semula warna pigmentasi yang hilang.
ii. Menghentikan tompok depigmentation daripada merebak.
iii. Mencegah tompok baharu daripada muncul.
Dari segi ubat-ubatan pula, ia meliputi kaedah fototerapi, pembedahan kecil termasuk ubat sapuan topikal.
Pun demikian, ujar pakar berkenaan, setiap metodologi (rawatan) walaupun memberi banyak manfaat, ia berupaya memberi kesan sampingan kepada penghidap.
“Sebagai contoh, krim sapuan steroid tropika boleh menyebabkan iritasi pada kulit sekiranya digunakan untuk tempoh yang lama,“ katanya.
Mengulas mengenai pengaruh pemakanan terhadap vitiligo, Dr Siti Muyassarah berkata, tiada kajian untuk mengaitkan perkara berkenaan.
Apa yang pasti, penghidap perlu mengamalkan gaya hidup sihat dan sebaiknya mengelak sebarang elemen yang memberi tekanan kapada diri bagi mencegah daripada penyakit tidak berjangkit itu menjadi lebih teruk.
Saran pakar itu, pesakit sopak sangat disyorkan untuk memakai krim pelindung matahari dan menghindar daripada terdedah kepada sinar UV matahari.
“Bagi saya, pemakaian alat solek juga boleh membantu pesakit tampil lebih yakin di tengah-tengah orang ramai.
Terdapat pelbagai produk kosmetik di pasaran yang dijual mengikut warna kulit dan ia boleh dipakai bagi menutup tompok putih pada muka,“ katanya.
Impak psikologi
Ya, seperti yang ramai sedia maklum, penyakit sopak membuatkan penderitanya segan dan hilang keyakinan diri.
Secara tidak langsung, ia akan memberi kesan psikologi seperti masalah keresahan dan depresi.
Keabnormalan diri juga akan mempengaruhi golongan itu untuk terus menjauh dan memulaukan diri.
Sehubungan itu, kata Dr Siti Muyassarah, pesakit sebaiknya perlu juga dirujuk kepada kaunselor kesihatan minda atau pakar psikiatri.
“Penghidap vitiligo perlu memahami bahawa kondisi yang dialami merupakan variasi pigmentasi kulit dan tidak menentukan nilai, harga diri atau kecantikan seseorang,“ tegasnya.
Kepada yang mengalami vitiligo, pakar itu mencadangkan agar komuniti tersebut memberi lebih fokus kepada penerimaan dan penjagaan diri.
“Ia penting untuk mengekalkan minda yang positif, kesejahteraan emosi dan rohani,“ katanya.
Dalam hal tersebut, Dr Meera turut sependapat dengan Dr Siti Muyassarah.
Tutur beliau, keadaan sopak sering disalah erti kerana kurangnya kesedaran berkaitan masalah kulit tersebut.
“Ada pesakit yang memberitahu mereka disisihkan oleh orang sekeliling yang bimbang mereka akan dijangkiti.
“Tidak kurang juga pesakit yang menyatakan ahli keluarga sendiri tidak mahu menyentuh kulit mereka yang kelihatan berbeza. Hal ini sepatutnya tidak berlaku. Beri semangat dan keyakinan kepada mereka, itu lebih baik,“ katanya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang