NYANYUK merupakan penyakit yang sering dikaitkan dengan warga emas.

Situasi tersebut boleh menganggu kehidupan harian seseorang.

Menurut Mayo Clinic, demensia adalah istilah yang digunakan untuk menggambarkan gejala yang menjejaskan ingatan, pemikiran dan kebolehan sosial seseorang.

“Ia melibatkan kehilangan ingatan. Pun begitu, situasi lupa tidak bermakna seseorang mengalami demensia,” katanya.

Penyakit Alzheimer adalah penyebab demensia yang paling biasa dalam kalangan orang dewasa yang lebih tua.

Unjuran Malaysia berstatus negara menua kira-kira enam tahun lagi pada 2030 iaitu apabila penduduk berumur 60 tahun ke atas merangkumi 15.3 peratus daripada populasi, risiko peningkatan kes individu mengalami demensia juga bertambah.

Setakat ini penyakit tersebut tidak mempunyai penawar.

Bagaimanapun, kajian sekumpulan penyelidik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati demensia dapat dicegah dari awal dengan pengambilan ulam raja atau nama saintifiknya Cosmos caudatus.

“Kajian kami sebelum ini berkaitan jus buah tropika, menunjukkan kesan perlindungan terhadap demensia.

“Ini mendorong kami melihat pada kebaikan ulam-ulaman dan kami dapati ulam raja adalah ulam terbaik kerana mengandungi kadar polifenol yang tinggi,” kata ketua penyelidik, Prof Dr Suzana Shahar kepada Bernama.

PERTAMA DI DUNIA

Jelas Suzana yang juga Dekan Fakulti Sains Kesihatan UKM, polifenol adalah agen pencegah kecelaruan fungsi kognitif (MCI) atau keadaan prademensia yang cukup berkesan kerana mampu meningkatkan tahap antioksidan dalam darah dan membina sel neuron yang baharu.

“Polifenol ini penting dari segi penjagaan kesihatan otak kerana pigmen dalam ulam raja ini mampu menembusi sistem peredaran darah dalam otak serta merangsang sel-sel di bahagian dorsolateral prefrontal cortex (bahagian otak yang dikaitkan dengan kawalan kognitif), sekali gus meningkatkan fungsi kognitif global,” jelasnya.

Baca juga: Suka menyendiri, dengar earphone kuat sangat dan kurang bergerak punca otak manusia jadi lemah

 

Menurut beliau, polifenol sukar ditemukan dalam buah-buahan dan sayur-sayuran lain.

“Ada produk kesihatan lain yang memanfaatkan polifenol, namun biasanya untuk merawat penyakit kencing manis dan hipertensi. Kami adalah pasukan penyelidik pertama (di dunia) yang berjaya menghasilkan produk sebegini,” katanya.

Iklan

Baca juga: Kawal kemurungan, kemarahan dan kesunyian pesakit demensia. Teknik daripada hospital ini boleh bantu mereka

Menerusi kajian yang bermula pada tahun 2017 dan menggunakan geran Kementerian Pendidikan Tinggi itu, pasukannya menghasilkan ekstrak ulam raja dalam bentuk cecair yang kemudian diadun dengan quercetin dan quercitrin serta ekstrak buah-buahan beri bagi dijadikan produk makanan kesihatan tambahan.

Menurut Suzana, mereka yang mengambil kapsul ekstrak ulam raja mengalami peningkatan rangsangan fungsi otak berkaitan daya ingatan berbanding kumpulan yang mengambil plasebo.

“Kami dapati berlaku peningkatan hampir 6.7 peratus fungsi kognitif global, pengurangan 36.7 peratus terhadap tekanan emosi, 20.9 peratus peningkatan memori dan fokus, serta pengurangan 7.2 peratus gangguan mood,” katanya.

Baca juga: Tak percaya, curiga berlebihan. Individu paranoid wujudkan kebimbangan tidak realistik

Iklan

Ringkasnya kata beliau, hasil ujian menunjukkan sukarelawan yang mengamalkan pengambilan ekstrak ulam raja itu mengalami perubahan positif dari segi daya ingatan dan memori berbanding sebelum pengambilan makanan kesihatan tambahan tersebut.

Pada masa sama, Suzana mengesyorkan masyarakat mengamalkan pengambilan ulam-ulaman bagi mencegah demensia, selain mencontohi gaya hidup warga emas di Jepun yang banyak mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran hijau serta aktif melakukan senaman fizikal dan mental.

Sumber: Mayo Clinic dan Bernama

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!