BUKAN rayalah namanya jika tanpa kuih, snek dan kerepek kan!

Begitulah, walaupun sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini masih di bawah perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) persiapan tetaplah kena ada.

Itu sudah semestinya kerana 1 Syawal yang menjelma harus dirai dengan keriangan sebagai tanda kemenangan kejayaan melaksanakan ibadah puasa wajib sebulan serta mengharungi ujian dan cabaran sepanjang Ramadan.

Jadi, salah satu persiapan menyambutnya bersama keluarga, bolehlah cuba membuat sendiri kerepek bawang, popia simpul dan rempeyek yang mudah ini.

Jika biasanya kita hanya ‘tunjuk’ di kedai, apa kata tahun ini kita cuba sedikit kelainan dengan membuatnya sendiri.

Menu yang dijamin rangup ini sangat sesuai dengan ibu moden yang sibuk. Luang sedikit masa boleh buat bersama anak-anak.

1. Resepi kerepek bawang

Bahan doh pedas

  • 3 cawan tepung gandum
  • 2 sudu makan cili boh
  • 2 biji bawang besar (kisar)
  • 6 ulas bawang putih (kisar)
  • Garam dan perasa secukupnya
  • Air secukupnya

Bahan doh putih

3 cawan tepung gandum
2 sudu makan marjerin
Garam dan perasa secukupnya
Air secukupnya

Cara membuatnya;

1. Satukan bahan-bahan doh pedas kemudian masukkan air sedikit demi sedikit. Uli sehingga jadi doh. Ulang proses yang sama untuk doh putih.

2. Canai doh putih dan doh pedas hingga nipis.

3. Ambil doh pedas dan letakkan di atas doh putih tadi.

4. Gulung dengan kemas dan hiris nipis.

5. Panaskan minyak dan goreng hingga kekuningan. Jika sudah masak, angkat.

6. Siap untuk disimpan di dalam balang kuih raya.

2. Popia simpul

Bahan-bahannya;

Kulit popia secukupnya

Bahan serunding ikan bilis;

  • 1 mangkuk ikan bilis yang siap dikopek
  • 12 tangkai cili kering (rebus)
  • 1 biji bawang besar (potong kecil)
  • 5 ulas bawang putih (potong kecil)
  • 5 batang serai (potong kecil)
  • Sedikit halia (potong kecil)
  • 1/2 cawan air
  • 1/2 cawan santan pekat
  • 2 sudu makan gula
  • 2 sudu makan minyak masak
  • 1 sudu teh garam

Cara membuatnya;

1. Cuci ikan bilis dan rebus hingga mendidih. Toskan dan kisar guna pengisar kering.

2. Masukkan bawang besar, bawang putih, serai, halia, cili kering, santan dan air. Kisar hingga sebati.

Iklan

3. Panaskan minyak dalam kuali dan masukkan bahan-bahan yang telah dikisar tadi. Kacau selama 5 minit. Masukkan gula dan garam.

4. Masukkan ikan bilis yang telah dikisar. Kacau sehingga kering. Angkat dan sejukkan.

Cuba juga Elok kejadiannya, resipi Nasi Dagang Terengganu gerenti jadi. Teknik rahsia buat gulai ikan tongkol jadi sedap

5. Sediakan kulit popia. Gunting kecil-kecil (sekeping kulit popia dipotong lapan).

6. Letakkan sedikit serunding di atas kulit popia dan simpul kemas. Buat hingga habis.

7. Goreng hingga masak.

8. Siap untuk dihidangkan ke dalam balang kuih raya.

3. Resepi rempeyek

Iklan

Bahan-bahan;

  • 2 cawan tepung beras
  • 2 cawan santan
  • 1 sudu makan air kapur
  • 1 biji telur
  • 100g kacang tanah
  • 60g ikan bilis
  • 10g udang geragau (ditumbuk kasar)
  • 1 sudu makan jintan manis (ditumbuk kasar)
  • 1 sudu makan ketumbar (ditumbuk kasar)
  • 1 sudu makan jintan putih (ditumbuk kasar)
  • 2 sudu teh gula
  • 1 sudu teh garam

Cara membuatnya;

1. Campurkan semua bahan (kecuali kacang tanah dan ikan bilis) dalam mangkuk besar. Kacau sampai bancuhan tak berketul. Panaskan minyak untuk menggoreng.

2. Rendam acuan dalam minyak panas terlebih dahulu (tip untuk bancuhan tak meletak dan senang tanggal).

3. Tuangkan bancuhan dalam acuan tadi dan tabur kacang serta ikan bilis.

4. Biarkan rempeyek sampai berwarna keperangan. Angkat dan toskan. Masak guna api sederhana supaya elak rempeyek cepat hangus.

Selamat mencuba! Selamat Hari Raya.

Sumber: Aiman