MINUMAN berkarbonat memang sedap diteguk apa lagi tatkala hari panas. Ia sangat biasa diambil oleh masyarakat kita hari ini terutama dalam musim perayaan macam hari raya sekarang ini.

Tahukah anda, minuman berkarbonat ini mengandungi pelbagai jenis bahan kimia seperti sodium benzoate, asid fosforik, asid karbonik, kafein, gula (sukrosa, fruktosa dll)?

Pakar Perubatan Umum Pengkhususan Perubatan Nutrisi, Dr Norman Mohd Norawi berkata, minuman ini juga dimasukkan gas karbon dioksida untuk menjadikannya ‘bergas’ atau ‘berkarbonat’ untuk menambahkan kelazatan minuman tersebut.

Ramai yang mengaitkan minuman itu hanya sebagai penyebab kadar gula yang tinggi. Begitupun, tahukah anda ada 10 lagi bahaya lain minum minuman berkarbonat?

KONGSI DR NORMAN, 11 BAHAYA PENGAMBILAN MINUMAN BERKARBONAT ADALAH:

1. MENYEBABKAN MASALAH DIABETES

Kajian menunjukkan pengambilan minuman berkarbonat meningkatkan risiko penyakit diabetes jenis 2 . Punca kenapa kadar diabetes semakin meningkat setiap tahun adalah kerana pengambilan gula dalam minuman proses. Statistik menunjukkan 10 peratus perbelanjaan kesihatan adalah untuk merawat penyakit diabetes.

2. MENYEBABKAN MASALAH KARDIOVASKULAR & PENYAKIT JANTUNG

Penyakit jantung dan kardiovaskular adalah berpunca daripada masalah saluran darah menjadi keras (atherosklerosis) akibat daripada masalah keradangan tinggi. Bahan kimia dan kandungan gula yang tinggi dalam minuman berkarbonat ini menyebabkan masalah keradangan dan trigliserida dan LDL teroksida meningkat. Ini meningkatkan risiko penyakit jantung dan kardiovaskular.
Kebanyakan minuman berkarbonat mengandungi ‘gula jagung berfruktosa tinggi’ (HFCS) yang telah dibuktikan dengan kajian sains bahawa ia sangat berkait rapat dengan masalah penyakit kardiovaskular, penyakit jantung, obesiti dan diabetes.
Statistik tahun 2006 menunjukkan 1 daripada 4 kematian adalah kerana penyakit jantung koronari, iaitu penyakit pembunuh utama di Malaysia .

3. MASALAH OBESITI

Obesiti adalah sangat berkaitan dengan masalah pengambilan gula yang berlebihan dalam makanan dan minuman. Minuman berkarbonat mempunyai kandungan gula yang tinggi dan ini menyebabkan masalah obesiti.

Kandungan fruktosa yang tinggi dalam minuman berkarbonat ini menyebabkan masalah rintangan insulin dan ia menjadi punca masalah obesiti. Sila rujuk artikel saya tentang masalah rintangan insulin dan obesiti.
Obesiti bukan berpunca kerana pengambilan berlebihan kalori, tetapi kerana masalah gangguan hormon insulin yang menyebabkan pengumpulan lemak.

Kajian menunjukkan setiap botol atau tin minuman berkarbonat yang diambil akan meningkatkan risiko obesiti 1.6 kali ganda. Obesiti adalah 70 peratus berkait dengan penyakit kardiovaskular adalah berkait dengan masalah obesiti. 30 peratus masalah batu hempedu adalah berkaitan dengan obesiti. Kajian juga menunjukkan fruktosa tinggi juga menyebabkan masalah gangguan hormon leptin dan ghrelin.

4. MASALAH HATI BERLEMAK & GOUT

Kandungan minuman berkarbonat yang tinggi dengan fruktosa daripada gula pasir (sukrosa) dan gula jagung tinggi fruktosa (HFCS) akan menyebabkan masalah hati berlemak (NAFLD).

Kandungan fruktosa yang tinggi ini akan menyebabkan kebanjiran fruktosa dalam organ hati dan sel-sel hati akan menukar fruktosa ini menjadi lemak yang di simpan di dalam hati. Ini menyebabkan berlakunya masalah ahti berlemak dan boleh melarat menjadi keradangan hati (NASH).

Seseorang yang didiagnosa mempunyai masalah hati berlemak perlu berhenti mengambil minuman berkarbonat, minuman jus dan semua makanan yang ada kandungan HFCS.
Masalah hati berlemak juga berkaitan dengan masalah paras asid urik yang tinggi iaitu masalah gout. Kajian menunjukkan pengambilan fruktosa tinggi akan menyebabkan paras asid urik meningkat dalam tubuh.

5. MENINGKATKAN RISIKO KANSER

Kajian menunjukkan kaitan kuat antara pengambilan gula dan fruktosa tinggi dengan risiko mendapat kanser.
Kajian menunjukkan kaitan kuat antara kanser pankreas dengan pengambilan minuman berkarbonat yang bergula tinggi.

Kajian juga menunjukkan kaitan kuat antara kanser rahim (endometrium) dengan pengambilan minuman berkarbonat. Tidak hairanlah kenapa kita dapati hari ini kejadian penyakit kanser semakin meningkat atas faktor ini.

6. PUNCA BERLEBIHAN PENGAMBILAN GULA TANPA SEDAR

Kandungan gula yang sangat tinggi dalam minuman berkarbonat ini adalah sumber pengambilan berlebihan gula. Kajian menunjukkan selepas 20 minit mengambil minuman berkarbonat, maka paras glukosa darah akan memuncak dengan sangat cepat.

Insulin akan meningkat dan akan menolak semua glukosa ke dalam sel-sel lemak. Organ hati akan bertindak mengubah fruktosa menjadi lemak disimpan dalam sel-sel hati.

Selepas 40 minit, kafein di dalam minuman bersoda akan diserap semuanya. Anak mata akan mengembang dan tekanan darah meningkat.

Sebagai respons, organ hati akan membebaskan lebih banyak glukosa tambahan dalam darah dan reseptor adenosin dalam otak ditutup dan menjadikan seseorang lebih peka dan hilang mengantuk.

Iklan

Selepas 45 minit, dopamin akan meningkat dan menjadikan seseorang lebih tenang dan gembira. Selepas beberapa jam semua glukosa dalam darah akan di tolak masuk ke dalam sel-sel lemak dan glukosa mula turun dalam darah dan menjadikan seseorang mula terasa ingin mengambil minuman manis berkarbonat semula, dan kitaran yang sama akan terjadi.
Gula dan fruktosa tinggi adalah bahan yang sangat adiktif atau ketagihan yang menjadikan ianya susah nak berhenti .

7. MENYEBABKAN PENYAKIT ASMA

Sodium benzoat dalam minuman berkarbonat adalah sebagai bahan pengawetnya untuk antikuman. Bahan pengawet dengan sodium ini akan menambahkan sodium dalam tubuh dan mengurangkan paras potasium.

Reaksi kepada sodium benzoat ini akan menyebabkan masalah ruam kulit, ekzema dan asma.

8. MEROSAKKAN BUAH PINGGANG

Bahan asid fosforik yang terdapat dalam minuman berkarbonat akan menyebabkan terjadinya batu karang buah pinggang dan pelbagai masalah buah pinggang yang lain.

9. MENGGANGGU KESUBURAN

Tin aluminum yang digunakan dalam produk minuman berkarbonat akan diselaputi dengan bahan BPA (bisphenyl-A). Bahan BPA ini adalah karsinogen yang boleh menyebabkan kanser dan boleh mengganggu hormon dan menyebabkan gangguan kesuburan dan baligh pra-matang.

Iklan

10. MASALAH REPUT TULANG (OSTEOPOROSIS)

Minuman berkarbonat mengandungi bahan asid fosforik. Ia adalah sumber fosfat yang tinggi. Paras fosfat yang tinggi akan menyebabkan masalah reput tulang (osteoporosis) kerana pemecahan jisim tulang.

Apabila fosfat dikeluarkan oleh buah pinggang, maka ia akan membawa bersamanya kalsium. Ini menyebabkan kalsium dikeluarkan daripada tulang dan menyebabkan tulang menajdi lemah dan rapuh. Osteoporosis adalah lebih banyak berlaku di kalangan wanita berbanding kaum lelaki.

11. MASALAH KEROSAKAN GIGI DAN GUSI

Gula yang tinggi, asid fosforik dan asid karbonik di dalam minuman berkarbonat boleh merosakkan enamel gigi dan menyebabkan gigi berlubang dan bengkak gusi. Masalah gigi berlubang akan melarat sehingga ke akar gigi dan boleh menyebabkan masalah gusi bernanah dan menjadi sangat sakit serta bengkak gusi akan terjadi.

Jelas daripada senarai kerosakan kesihatan yang diakibatkan oleh minuman berkarbonat atau ‘air gas’ ini adalah serius dan akan menyebabkan pelbagai komplikasi yang mengancam nyawa.

Oleh kerana itu, kita perlu meninggalkan minuman jenis ini demi untuk kesihatan yang lebih baik, Insyaallah.

Masih nak minum air tin? Fikirkan semula. Moga perkongsian Dr Norman ini dapat dihadam untuk kesihatan kita ya. -AG #JanganPutusAsaMalaysia