MESKIPUN filem pertama lakonannya, Ada Apa Dengan Dosa (AADD) hanya ditayangkan di saluran Astro First mulai 4 Jun lalu, pelakon Wanna Ali tetap bersyukur karya bertemakan cinta Islamik itu akhirnya berjaya menemui penonton.

Karya arahan Rahila Ali itu sepatutnya menemui penonton di layar lebar pada September depan, namun disebabkan penularan Covid-19, pihak penerbit iaitu Pencil Pictures & Record beralih ke platform yang lebih bersesuaian dengan keadaan semasa.

“Saya tak nafikan pada awalnya ada sedikit rasa kecewa kerana filem pertama yang menyaksikan saya menjadi teraju utama tidak ditayangkan di pawagam sebagaimana filem lain.

“Bagaimanapun apabila mengambil kira situasi semasa, saya bersyukur kerana ia masih dapat menemui penonton, meski di platform yang berbeza.

“Apa yang penting, karya ini dapat dikongsi kepada umum dan mesej yang diketengahkan sampai kepada penonton,” katanya.

Berkongsi pengalamannya menjayakan watak sebagai Aurora dalam filem yang menjalani penggambaran di Scotland pada 2018 itu, kata pemilik nama sebenar Nor Syazawana Mohd Ali, 24, banyak ilmu baharu yang dipelajari sepanjang proses tersebut.

“Sejak kembali aktif dalam bidang lakonan lebih dua tahun lalu, saya tidak pernah membawakan watak air mata dan memerlukan penghayatan berat. Aurora memberi cabaran berbeza.

“Mujurlah sebelum masuk set, saya dan beberapa pelakon lain mengikuti sesi atau kelas lakonan bersama cikgu Fatimah Abu Bakar.

“Sesi tersebut sangat memberi impak pada kemahiran lakonan, selain tunjuk ajar dan kepercayaan yang diberikan oleh pengarah terhadap bakat saya,” ujarnya yang mengakui sukar untuk melakukan babak menangis.

Menepis tanggapan yang melihat kerjaya seninya banyak disokong ibunya yang juga merupakan pemilik produksi Pencil Pictures, Wanna yakin ramai yang melihat usahanya dalam menonjolkan bakat sendiri.

“Walaupun ibu memiliki syarikat produksi sendiri, saya tidak pernah melihat ia sebagai jalan pintas untuk berada di depan.

Iklan

“Saya memulakan langkah dari bawah dan banyak terlibat dengan produksi luar berbanding dengan produksi milik ibu.

“Lebih lapan tahun bergelar pelakon, saya melalui turun naik dalam industri. Alhamdulillah berkat kesabaran, akhirnya orang mula nampak dan menerima bakat saya,” katanya yang dikenali menerusi drama Rindu Yang Terindah.

Selain drama dan filem, wajah anak kelahiran Kuala Lumpur itu juga menghiasi deretan iklan komersial di TV yang menerusi beberapa jenama terkenal seperti Celcom, Maybank, KFC, Safi dan lain-lain.

“Alhamdulillah walaupun orang tak perasan sangat kehadiran saya dalam lakonan drama, namun ada yang nampak saya menerusi iklan komersial di TV.

Iklan

“Mungkin rezeki untuk dikenali menerusi karakter drama belum begitu menyebelahi, tapi apa yang saya perolehi menerusi penampilan iklan komersial TV, banyak membantu saya untuk mengembangkan bakat.

“Semua orang ada journey masing-masing, kita tak perlu nak kejar sangat kerana masa kita akan sampai bila tiba waktunya,” katanya.

(FOTO: Instagram Wanna Ali)