PERNAHKAH anda melihat seseorang tiba-tiba menggeletar teruk ketika memegang mikrofon di atas pentas.

Tidak pun hanya membuka tin biskut, memegang raket badminton atau memegang telefon untuk berswafoto, tangan individu itu menggigil seolah-olah seperti dicurah sebaldi ais.

Dalam istilah saintifik, perilaku yang sukar untuk dikendalikan itu dinamakan sebagai tremor.

Meskipun kondisi berkenaan tidak sampai mengancam nyawa dan jarang sekali penghidapnya memerlukan pengubatan khusus, namun sesetengah keadaan memerlukan terapi.

SUMBER Pixabay daripada PEXELS.

Menurut MyHealth, tremor seringkali menyebabkan kerumitan dan stres kepada pesakit dan ahli-ahli keluarga yang lain.

Dr Ooi Phaik Yee.

Justeru, untuk mengupas lebih terperinci mengenai tremor, kami mendapatkan Pakar Neurologi, Gleneagles Hospital Kuala Lumpur, Dr Ooi Phaik Yee.

Menurut Dr Phaik Yee, tremor ataupun masalah geletar adalah pergerakan goncangan yang tidak terkawal yang muncul pada satu atau beberapa anggota badan.

“Lebih kerap gegaran muncul pada tangan, tetapi keadaan ini juga boleh muncul pada bahagian lain badan seperti kaki dan juga kepala termasuk suara serta leher.

“Sensasi gegaran terjadi apabila dua kumpulan otot yang arah pergerakannya saling bertentangan, menguncup secara berselang-seli,“ katanya baru-baru ini.

SUMBER Lil Artsy daripada PEXELS.

Terlalu bahaya?

Secara asasnya, tremor dapat dikategorikan berdasarkan bentuk geletar dari sudut pemerhatian.

Antaranya seperti resting tremor (ketar semasa rehat), postural tremor (ketar semasa anggota badan tidak disokong), physiology tremor (tremor pada orang yang normal) dan kinetic tremor (ketar semasa bergerak).

Tremor juga boleh dikategorikan bergantung kepada punca. Contohnya:
1. Essential tremor: Punca yang tidak diketahui.
2. Parkinsonian tremor: Tremor akibat penyakit Parkinson.
3. Dystonic tremor: Tremor disebabkan pengecutan otot yang tidak sekata (dystonia) pada sesetengah kumpulan otot.

Menurut Dr Phaik Yee, kajian menunjukkan bahawa golongan yang berumur 65 tahun ke atas paling kerap mengalami krisis kesihatan itu. Adakalanya orang muda juga boleh jadi penghidap, namun ia bergantung kepada punca.

SUMBER Mart Production daripada PEXELS.

“Penderitanya pula lebih ramai wanita berbanding lelaki,“ katanya.
Apa yang menyebabkan tremor boleh berlaku? Merujuk Medline Plus, ia disebabkan oleh masalah bahagian dalam otak yang mengawal pergerakan.

Sesetengahnya diwarisi daripada keluarga. Sebab-sebab lain adalah seperti berikut:

-Gangguan neurologi termasuk multiple sclerosis (gangguan yang menjejaskan saraf pada otak, mata dan saraf tunjang), penyakit Parkinson, strok dan kecederaan otak (traumatik).
-Penggunaan ubat tertentu seperti ubat asma, amfetamin, kafein, kortikosteroid dan ubat yang digunakan untuk gangguan psikiatri dan saraf tertentu.
-Minum alkohol atau keracunan merkuri.
-Hipertiroidisme, kegagalan hati atau buah pinggang
-Terlalu bimbang atau panik tidak menentu.

Bukan semua tremor itu luar biasa. Tremor fisiologi ialah ketar yang boleh berlaku pada individu normal yang tidak berpenyakit.

Namun, physiology tremor boleh tercetus secara berlebihan (enhanced physiological tremor) disebabkan kelelahan fizikal, demam, minum minuman berkafein, hipoglikemia (gangguan kesihatan yang terjadi ketika kadar gula dalam darah berada di bawah kadar normal) termasuk hipertiroidisme (tiroid terlalu aktif).

Baca juga: Bertenang dan ambil langkah berikut jika berdepan individu yang sedang alami serangan panik

Baca juga: Bukan sahaja manusia, kucing pun boleh stres. Ini tanda-tanda jelas si bulus mula tertekan

SUMBERWildan Zainul Faki daripada PEXELS.

“Ia lebih ketara apabila berlaku tekanan yang menjejaskan mental atau fizikal seseorang. Contohnya, bila mereka rasa gementar di atas pentas, marah, cemas, takut atau lapar,“ jelasnya.

Selain itu, mereka yang sesak nafas, sakit perut, berdebar-debar atau dalam ketakutan juga boleh memicu kepada permasalahan itu.

Jika tremor menjadi lebih serius, pesakit mungkin mengalami keadaan-keadaan berikut yang boleh menjejaskan kehidupan seharian mereka. Antaranya:

-Muncul rasa gementar yang sukar untuk dikendalikan pada bahagian kepala, tangan, lengan atau kaki.
-Berasakan atau wujud getaran suara saat berkomunikasi.
-Sukar untuk menulis atau memegang pen atau pensil.
-Payah menggenggam atau menggunakan sebarang alatan dengan tangan.

 

Menjawab sejauh mana bahaya tremor dalam kehidupan seseorang, Dr Phaik Yee berkata, kelazimannya ia akan menyebabkan ketidakselesaan, gangguan dalam menjalani aktiviti harian dan ‘tidak sedap‘ dipandang.

“Tremor sendiri tidak merbahaya, tetapi risikonya bergantung kepada punca kepada tremor,“ kata beliau.

Dalam pada itu, Dr Phaik Yee menafikan bahawa gejala berkenaan boleh menyebabkan seseorang lumpuh.

Beliau juga menidakkan andaian bahawa individu yang terlalu kurus mudah untuk mendapat sindrom tremor.

Jenis ubat

Persoalan bagaimana seorang doktor mendiagnosis penghidap tremor turut dijawab Dr Phaik Yee.

Terang beliau, ia dinilai berdasarkan pemeriksaan fizikal, neurologi dan sejarah perubatan seseorang.

Baca juga: Pengalaman alami tekanan cetus keinginan Sarimah Ibrahim bantu pesakit mental

SUMBER Cottonbro Studio daripada PEXELS.

Semasa penilaian fizikal dibuat, doktor akan menilai tremor berdasarkan beberapa keadaan. Berikut penjelasannya:

Doktor akan melihat adakah tremor berlaku apabila otot dalam keadaan rehat atau sedang beraksi?

  1. Lokasi tremor pada badan (sama ada ia berlaku pada satu atau kedua-dua belah badan).
  2. Bentuk tremor (frekuensi dan amplitud tremor).

Doktor akan memeriksa penemuan neurologi lain seperti gangguan keseimbangan, keabnormalan pertuturan atau peningkatan kekejangan otot.

Doktor juga perlu mengetahui sejarah ubat-ubatan yang diambil oleh pesakit kerana sesetengah ubat berupaya untuk menyebabkan ketar yang berlebihan.

Ujian tambahan mungkin perlu dijalankan untuk memastikan punca tremor. Contohnya, ujian darah untuk punca metabolik seperti paras hormon tiroid, gula, fungsi hati dan sebagainya.

“Pengimejan diagnostik boleh membantu menentukan sama ada tremor berpunca daripada kerosakan pada otak dan system saraf yang lain,“ kata pakar berkenaan.

Baca juga: Parkinson: Lebih ramai warga emas dijangka bakal menghadapinya

SUMBER Pixabay daripada PEXELS.

Jelas Dr Phaik Yee, sama ada tremor dapat disembuhkan atau berkekalan sehingga ke akhir hayat adalah bergantung pada punca. Begitu juga dengan rawatannya.

“Jika tremor itu tidak serius, kadang-kadang tidak perlu ubat. Jika puncanya diketahui, rawatan berpandu pada keperluan pesakit itu sendiri. Jika tremor amat serius, mengganggu kehidupan harian dan menyebabkan komplikasi lain, maka ia haruslah dirawat,“ ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, rawatan tidak semestinya dapat menyembuhkan kerana ia bergantung kepada sama ada punca tremor itu dapat dirawat sepenuhnya atau tidak.

Namun, secara minimumnya rawatan bertujuan untuk meringankan gejala supaya pesakit dapat menikmati kualiti hidup yang lebih bagus.

Iklan

Beritahu Dr Phaik Yee lagi, sebenarnya banyak ubat yang boleh diberikan untuk mengurangkan tremor, tetapi ubatan-ubatan ini mungkin hanya merawat simptom dan bukan menyembuhkan pesakit.

“Mereka harus mengambilnya setiap hari untuk kesan yang berterusan. Contohnya, beta-blockers boleh digunakan untuk essential tremor,“ katanya.

Selain itu, menurut Healthline, beberapa ubat preskripsi yang biasa digunakan untuk merawat gegaran adalah tranquilizers seperti alprazolam (Xanax) yang boleh melegakan gegaran yang dicetuskan oleh kebimbangan.

Ubat antisawan juga boleh digunakan untuk merawat sesetengah jenis tremor.

Baca juga: Penyakit tiroid banyak serang orang muda, ini gejala dan rawatannya

SUMBER Cottonbro Studio daripada PEXELS.

Ditanya adakah suntikan botoks mungkin bermanfaat untuk mengatasi jenis tremor tertentu, antaranya seperti dystonic tremor, ini jawapan Dr Phaik Yee.

“Ya, suntikan botoks biasa dilakukan (untuk dystonic tremor). Namun, ia mungkin tidak sesuai untuk tremor lain, jadi perlu berbincang dengan doktor yang merawat,“ katanya.

Pakar itu menambah, kebanyakan sindrom ketar dapat dirawat dengan ubat.
Namun, jika ubat-ubatan tidak membantu, pembedahan otak (deep brain stimulation atau lesioning surgery gamma knife) boleh membantu untuk mengurangkan tremor terutama dalam kes penyakit Parkinson atau essential tremor.

 

#kesresponden

Anak-beranak hidap tremor, Shamsiah mahu dapatkan rawatan perubatan di Malaysia

MEMPUNYAI keluarga yang mewarisi tremor bikin hidup Shamsiah Ahmad, 45, (bukan nama sebenar) caca-merba.

Ketika dihubungi menerusi aplikasi Google Meet baru-baru ini, Shamsiah yang kini menetap di Amerika Syarikat (AS) berkata, beliau tidak menyangka, sindrom itu semakin menghimpit pada saat usianya mencecah 40-an.

“Ya, kalau nak diikutkan pada zaman remaja, era umur 20-an dan 30-an ada juga gegaran ringan, namun taklah terlalu serius.

Iklan

“Namun, saya semakin risau bila umur menjengah 44 tahun kerana keadaan ketar pada tangan dan kaki meski saya dalam keadaan rehat semakin menjadi-jadi. Kadang-kadang berlaku pada kepala, tapi tidak ketara sangat,“ katanya sambil memberitahu, rata-rata ahli keluarganya ialah penghidap tremor.

SUMBER Lisa Fotios daripada PEXELS.

Berawal, beliau diberi ubat beta-blockers, namun nampaknya ia tidak serasi dengan wanita itu. Ini kerana dirinya ialah seorang penghidap asma.

“Selepas itu, saya langsung tidak berjumpa dengan doktor kerana yakin saya mampu mengawal masalah tremor saya,“ katanya.

Sebagai seorang yang aktif dan suka berjoging, Shamsiah berkata, dari semasa ke semasa kondisi tremornya sukar untuk dikawal.

Apabila cuba melakukan pecutan ketika berlari, tahap geletarnya makin tinggi sehingga beliau kerap terjatuh.

Tidak memperincikan dengan lebih mendalam lagi, Shamsiah berkata, beliau kini lebih risau melihat keadaan anak keduanya yang sudah menunjukkan ciri-ciri tremor.

Walau masih belum didiagnosis, namun wanita itu percaya, si kecil yang sudah berumur enam tahun mempunyai simptom-simptom jelas.

“Guru Maya (nama anaknya) sering mengadu yang Maya susah nak melukis, melekatkan gambar apatah lagi menggunting sesuatu. Tangannya terketar-ketar saat melakukan semua itu. Apa jua tugasan boleh dilakukan, tapi dia orang terakhir yang menyelesaikannya,“ kongsinya.

Di rumah pula, isu yang sama turut berlaku. Si cilik itu terpaksa mengambil masa lama untuk memakai seluar dan mengikat tali kasut.

Melihat situasi tersebut, Shamsiah berkata, beliau dan Maya bercadang untuk mendapatkan rawatan di hospital Malaysia tidak lama lagi.

“Buat masa ini, saya dan anak melakukan terapi yoga di rumah di saluran YouTube. Saya tak fikir tremor ini boleh baik dengan sendirinya, kena juga dirawat,“ kata beliau yang tidak fikir akan merujuk hospital di AS lantaran kosnya terlalu mahal.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!