SETELAH hampir setahun dalam pasaran tempatan, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) kini menawarkan warna baharu bagi model Yamaha YZF-R25 iaitu biru dan perak matt.

Dengan corak grafik baharu, Yamaha YZF-R25 itu memiliki kesemua DNA seperti daya tahan, pengetahuan dan pengalaman Yamaha yang terkumpul selama bertahun-tahun.

Kesemua kepakaran itu digabungkan dan terhasilnya sebuah motosikal sports yang sukar ditandingi untuk pasaran motosikal Malaysia. YZF-R25 dikuasakan dengan gandingan enjin 249 cc empat lejang sejukan cecair DOHC, dua silinder selari yang mampu menjana 35.5 kuasa kuda pada 12,000 revolusi per minit (rpm) dan tork 22.6 meter Newton (Nm) pada 10,000rpm.

Selain itu, jentera dua roda itu didatangkan dengan transmisi enam kelajuan, tangki bahan api 14.3 liter, suspensi hadapan teleskopik dan belakang monocross serta lampu hadapan dan belakang LED.

Perincian lain bagi YZF-R25 ia dilengkapi dengan fork terbalik (USD) di depan dan monoshock dengan preload boleh laras di belakang. Ia juga mendapat panel instrumen LCD baharu lengkap dengan lampu isyarat menukar gear. Apa yang menarik, harga model 2020 tidak berubah iaitu RM19,998 (tidak termasuk cukai jalan, nombor plat dan insurans).

Ia boleh didapati di semua wakil pengedar sah HLYM bermula 17 Februari ini. Setiap pembelian R25 akan diberikan dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 kilometer. Pemilik akan diberi kunci cakera brek yang bernilai RM100 secara percuma.