SEJAK semalam, tular beberapa keping foto Youtuber masakan S Pavithra menerusi laman sosial Facebook dan Instagram. Rata-rata warganet bagaikan terpegun melihat transisi penampilan wanita berusia 28 tahun ini yang persis model profesional.

Wajahnya yang polos sebelum ini bertukar ‘wow’ sekelip mata selepas dirias jurusolek popular, Razzi Musa.

Biarpun tanpa pembayang mata dan pemerah pipi nuansa terang, namun kejelitaan ibu kepada dua cahaya mata itu tetap terserlah.

Keterujaan netizen semakin memuncak tatkala melihat Pavithra menyarungkan persalinan busana daripada koleksi pereka fesyen terkemuka antaranya jenama, Datuk Bernard Chandran.

Tidak keterlaluan penulis menyifatkan situasi tersebut merupakan pencapaian hebat buat Pavithra kerana ironinya bukan calang-calang individu berpeluang menggayakan karya indah Datuk Bernard.

Penata gaya, Zul Herizal yang bertanggungjawab mengendalikan pemilihan busana dan pose ideal Pavithra di hadapan lensa kamera memberitahu, sesi fotografi berkenaan adalah untuk menyempurnakan penghias kulit wajah majalah gaya hidup digital.

Pavithra
TRANSISI Pavithra yang tampak anggun menggayakan busana koleksi Wanpa (kiri) dan Datuk Bernard Chandran (kanan) ketika menjayakan sesi fotografi di Sungai Siput Perak.

“Kami tak sangka pula perkongsian di sebalik tabir photoshoot di Instagram mendapat reaksi positif orang ramai. Majoriti memuji kecantikan Pavithra yang tampak natural dan fotogenik.

“Meskipun beliau bukan model, tetapi sejujurya kami tidak mengalami sebarang masalah kerana Pavithra bijak beraksi di depan kamera. Bahkan, berjaya mempamerkan pose seperti yang diingini,” katanya ketika dihubungi SinarPlus hari ini mengenai sesi fotografi yang berlangsung di kediaman Pavithra di Sungai Siput, Perak.

Artikel berkaitan: ‘Kami hanya orang biasa, tidak pernah berharap akan dapat hadiah daripada PM’

Bicara Zul, selain Datuk Bernard Chandran, Pavithra yang fasih berbahasa Melayu ketika ‘mengacarakan’ video masakan menerusi saluran YouTube ‘Sugu Pavithra’ turut mengenakan busana rekaan Wanpa, Rizman Ruzaini dan sari koleksi Gayathiri Silk Sarees.

Pavithra
PENATA GAYA, Zul bertanggungjawab mebantu menguruskan busana dan pose Pavithra sepanjang sesi fotograf untuk majalah digital tempatan.

“Tidak dinafikan pada mulanya beliau (Pavithra) malu kerana aktiviti ini (fotografi) terlalu asing baginya. Namun begitu, selepas disolek dan didandan keyakinan diri meningkat dan berjaya beraksi dengan baik.

Iklan

“Saya suka bekerjasama dengan beliau yang tak banyak karenah dan ragam. Wajahnya pula ‘makan’ gambar dan hasilnya cukup memuaskan,” ujar Zul atau popular dengan nama kerjaya (@holyblackrapunzel.

Terdahulu, Pavithra dan suaminya, M Sugu, 29, pantas memikat hati rakyat Malaysia pelbagai kaum daripada segenap lapisan umur susulan berkongsi video masakan di YouTube.

Populariti pasangan suami isteri itu semakin meningkat naik selepas nama mereka menjadi sebutan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Iklan

Artikel berkaitan: Dari suri rumah S Pavithra bukti kebangkitan wanita, bawa keluarga pindah rumah baru

Foto: Insan Instagramm @razzimusa dan @holyblackrapunzel