Waspada dengan virus chikungunya, vaksin masih belum ditemui walau sudah lebih 70 dekad penyakit ini menular

MOHD Sulaiman Anuar, 59, bingung dengan keadaan kesihatannya. Beliau pelik kenapa demamnya tidak kebah dan berterusan lebih seminggu?

Rasa sengal pada otot semakin menjadi-jadi. Apabila Mohd Sulaiman melihat dirinya sudah tidak mampu berjalan, beliau tidak senang duduk.

Setiap inci tubuhnya juga terasa seperti dicucuk dengan jarum peniti. Ubat parasetamol yang dimakan langsung tidak memberi kesan.

Sebaik berjumpa dengan pakar, lelaki itu terkejut bahawa simptom yang selama ini dirasai adalah disebabkan oleh virus chikungunya.

Penangan chikungunya bukan sembarangan. Meskipun sudah beransur baik, Mohd Sulaiman memberitahu, beliau masih belum kuat untuk mengangkat benda berat lagi.


Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), chikungunya merupakan sejenis penyakit yang disebarkan oleh nyamuk jenis Aedes albopictus atau Aedes albopictus yang telah terinfeksi dengan virus chikungunya.

Pada mulanya, wabak itu dikenal pasti di Tanzania pada tahun 1952. Selepas tahun 2004, ia merebak dengan meluas dari satu benua ke benua yang lain.

Berdasarkan angka yang dilaporkan oleh European Centre for Disease Prevention and Control, setakat 27 Oktober lalu, sebanyak 337,930 kes direkodkan di seluruh dunia. Brazil mendahului carta dengan 240,344 kes dengan 68 kes kematian, diikuti India (93,113), Guatemala (1,435) dan Thailand (775).

Di Malaysia pula, setakat 5 November lalu, sebanyak 682 kes dicatatkan, seperti yang dikongsikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Bagi memperincikan lebih lanjut mengenai chikungunya yang merupakan salah satu penyakit tropikal, SinarPlus mendapatkan Pegawai Perubatan Swasta yang juga ahli Medical Mythbusters Malaysia, Dr Mohd Syamirulah Rahim.

Membuka gelanggang diskusi, Dr Mohd Syamirulah menjelaskan, chikungunya bukanlah sejenis wabak yang berlaku dalam tempoh masa tertentu atau bermusim, tetapi satu penyakit yang sentiasa terjadi dalam komuniti.

Justeru, ia boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

“Di negara ini, gelombang besar wabak chikungunya pernah berlaku di Klang sekitar tahun 1998 dan di Perak pada tahun 2006,“ katanya sambil menambah individu yang terinfeksi tidak akan menularkan virus berkenaan secara langsung kepada orang lain.

Beza chikungunya, denggi & zika

Menurut Dr Mohd Syamirulah, virus chikungunya terbahagi kepada tiga genotip iaitu dari Asia, Afrika Tengah dan Afrika Barat.

Di Malaysia, terdapat dua jenis genotip chikungunya yang telah dikenal pasti iaitu dari Asia dan Afrika Tengah.

Jelas beliau, chikungunya, denggi dan zika merupakan penyakit bawaan nyamuk.

Walaupun agen bagi penyebaran virus sama, gejala yang dialami berbeza kerana ketiga-tiga wabak berlaku disebabkan oleh virus yang berlainan. Cuma, terdapat tiga persamaan simptom iaitu pesakit akan sakit pada anggota badan termasuk kepala, demam panas dan putus selera makan,“ terangnya.

Berikut disenaraikan perbezaan ketara ketiga-tiga penyakit itu:

i. Chikungunya: Sakit pada bahagian sendi dan ia berlarutan.
ii. Zika: Pesakit mengalami kemerahan pada mata.
iii. Denggi: Berlakunya komplikasi tertentu seperti kecederaan teruk pada salur darah atau limfa.

Meskipun begitu, kata Dr Mohd Syamirulah, melihat kepada tanda-tanda sahaja tidak mencukupi untuk mengesahkan seseorang menghidap penyakit berkenaan.

“Sebagai doktor, kami tidak boleh menentukan seseorang sedang mengalami chikungunya, denggi mahupun zika hanya dengan melihat kepada gejala, tetapi untuk memperoleh keputusan yang tepat, ujian pemeriksaan darah perlu dilakukan,“ katanya.

Seperkara yang perlu diambil maklum, beritahu beliau, apa sahaja jenis jangkitan yang melibatkan virus, bakteria atau parasit, golongan yang berisiko ialah mereka yang memiliki tahap sistem imun yang rendah.

“Individu-indivitu itu terdiri daripada warga tua, pesakit kencing manis, darah tinggi, jantung dan strok serta ibu mengandung.

“Secara lahiriahnya, badan manusia memerlukan sistem imun yang kuat untuk melawan jangkitan yang memasuki tubuh. Jika ia berada pada paras yang rendah, maka badan akan mengambil masa lama untuk melawan jangkitan dan boleh mengakibatkan komplikasi lain,“ ungkapnya.

Tiada pengubatan

Jika diperhalusi, komplikasi akibat chikungunya amat berbahaya. Menurut laman perubatan practo.com, terdapat beberapa masalah kesihatan boleh terjadi ke atas pesakit. Antaranya:

-Ketidakseimbangan neurologi.
-Keradangan otot pada jantung.
-Sawan, sakit mata dan kemungkinan boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang.
-Masalah jaundis (penyakit kekuningan pada mata disebabkan kerosakan hati).
-Para penghidap boleh menderita sakit saraf dan lumpuh anggota badan.

Bagaimana pula kesan ke atas wanita hamil? Menurut mereka, kebarangkalian untuk mendapat bayi pramatang itu tinggi, selain proses perkembangan ‘malaikat kecil’ itu di dalam perut boleh terganggu.

Jika kondisi si ibu semakin memburuk, bayi yang dikandung boleh meninggal dunia. Besar kemungkinan, boleh meragut nyawa wanita hamil itu sekali.

Dalam pada itu, Pegawai Perubatan Mediklinik Sejahtera, Ipoh, Perak, Dr Amrit Kaur Ragbir Singh berkongsi kemungkinan implikasi yang terpaksa ditanggung kanak-kanak atau bayi yang dijangkiti virus chikungunya.

Selain demam yang boleh berterusan melebihi tiga hari, golongan berkenaan juga akan muntah dengan kerap dan akan mengeluarkan air kencing yang sedikit.

Cirit-birit dengan najis berdarah juga boleh berlaku dan adakalanya mereka akan sukar bernafas, badan menjadi letih dan lesu serta tidak mempunyai selera untuk minum atau menyusu,“ katanya.

Menjawab satu pertanyaan, Dr Amrit Kaur berkata, sehingga kini masih tiada ubat atau vaksin untuk merawat chikungunya.

“Walaupun sudah lebih 70 dekad, perawatan khusus mahupun ubat antiviral belum dapat dihasilkan oleh saintis.

“Pesakit dinasihatkan banyak berehat, makan makanan berzat dan banyak minum air. Mengambil ubat penahan sakit boleh mengurangkan gejala demam dan sakit badan.

Namun, jika timbul gejala yang tak menyenangkan, nasihat saya berjumpalah dengan doktor dengan segera,“ katanya.

Dr Amrit Kaur turut memberi peringatan penting kepada ibu bapa atau penjaga yang sedang menjaga bayi yang dijangkiti.

“Pesan saya, jangan sesekali beli parasetamol yang sedia ada di farmasi kerana ubat tersebut tidak sesuai untuk dibeli. Dos parasetamol bagi bayi adalah bergantung kepada berat mereka. Jadi, amat penting untuk mak ayah bawa anak-anak yang demam berjumpa dengan doktor terlebih dahulu,“ jelasnya.

Iklan

Para ibu juga perlu menyusukan bayi dengan kerap untuk mengelakkan bayi mengalami mereka penyahhidratan. Susu ibu juga mengandungi banyak manfaat dan salah satunya akan memperkuatkan sistem kekebalan tubuh si kecil.

Dalam pada itu, merujuk Healthline, chikungunya tidak memerlukan pengubatan khusus kerana penyakit tersebut akan sembuh dengan sendirinya.

Dalam kebanyakan kes, gejala akan reda dengan sendirinya antara satu hingga dua minggu.

Pun demikian, nyeri pada sendi akan tetap terasa. Mungkin ia akan memakan masa selama berbulan-bulan, bahkan ada yang bertahun-tahun.

Kelazimannya, doktor akan memberikan beberapa jenis ubat dalam meredakan permasalahan itu atau jika demam. Antaranya:

Naproxen: Tidak semua orang sesuai dengan ubat ini. Penggunaannya tidak digalakkan oleh mereka yang mempunyai alergi, memiliki penyakit hati, jantung, ginjal dan mengalami gangguan pencernaan.

Ibuprofen: Sama dengan naproxen, ia tidak digalakkan untuk mereka yang menderita tekanan darah tinggi, penyakit hati, ginjal atau jantung.

Parasetamol: Buat masa ini, ubat ini tiada masalah untuk dimakan oleh semua orang, namun perlu mendapat konsultansi daripada doktor terlebih dulu terutama kepada pesakit ginjal, hati dan alergi.

BACA LAGI: 5 wabak pernah melanda Malaysia termasuk Zika, selesema burung

BACA LAGI: Ubat nyamuk lingkaran beri impak bahaya pada kesihatan. Ini penjelasannya

#kesresponden

Norhana tak boleh berjalan, menderita sakit sendi selama 3 bulan

Iklan

APABILA ibu tersayang dijangkiti virus chikungunya, ahli keluarga Nor Suliyana Sudin, 29, jadi panik dan kelam-kabut.

Mana tidaknya, kondisi kesihatan Norhana Masdar yang ketika itu berusia 51 tahun berada pada tahap teruk sehingga tidak mampu lagi bergerak secara aktif.

“Pada waktu itu, bukan hanya ibu saya sahaja diserang chikungunya, tetapi ramai penduduk sekitar terkena sama. Namun, peliknya, kebanyakan mereka hanya mengalami gejala ringan, tidak seteruk ibu,“ katanya.

Ujar Nor Suliyana, pada peringkat awal dijangkiti, ibu beliau masih memaksa dirinya untuk berkebun kerana mahu mengeluarkan peluh. Cara sedemikian dipercayai boleh mempercepatkan proses penyembuhan.

Pun demikian, semua itu cuma seketika. Lama-kelamaan virus berbahaya tersebut telah membuatkan Norhana tidak berupaya untuk berjalan walau dalam jarak yang dekat.

“Ibu yang saya kenal bukanlah selemah ini, dia hampir tak pernah minta bantuan orang lain meskipun dirinya tak sihat. Itu sebab kami sekeluarga sukar nak terima keadaan beliau yang perlu dipapah, didukung dan dimandikan. Memang tak terlintas langsung chikungunya ‘sejahat‘ begini,“ ujarnya.

NOR SULIYANA bersama ibunya, Norhana yang pernah diserang virus chikungunya sehingga menyebabkan wanita itu tidak boleh bergerak tanpa bantuan orang lain.
NOR SULIYANA bersama ibunya, Norhana yang pernah diserang virus chikungunya sehingga menyebabkan wanita itu tidak boleh bergerak tanpa bantuan orang lain.

Ditanya bagaimana mereka mengetahui bahawa si ibu mendapat jangkitan virus itu, Nor Suliyana berkata, ia dimulai dengan demam dan sakit sendi.

“Ibu mengadu badannya panas dan cepat letih. Ingat biasa-biasa saja, tetapi secara berperingkat, dia tak bermaya dan paling sedih, tak boleh nak berjalan. Ibu hanya terbaring sahaja di atas katil. Bayangkan ibu derita sakit sendi lebih tiga bulan lamanya,“ kongsinya.

Selain itu, Norhana juga putus selera makan. Keadaan beliau yang tidak banyak bercakap dan berubah secara total membuatkan anak-anak menjadi takut.

Pun demikian, dengan rawatan komprehensif yang diterima di hospital termasuk menjaga pemakanan dan preskripsi ubat, wanita tersebut pulih sepenuhnya kira-kira empat bulan selepas itu.

Pengalaman yang dilalui mereka, ujar Nor Suliyana, begitu mendebarkan kerana mereka hanya memikirkan perkara yang bukan-bukan.

Apa yang berlaku dijadikan pengajaran dan iktibar. Pesan beliau kepada semua, jagalah persekitaran rumah sebaiknya. Pastikan takungan air ditukar dan tidak dibiarkan terlalu lama bagi mengelak virus membiak.

Sumber foto PEXELS