Episod duka 5 tahun lalu sudah berlalu, Haneesya akui masih trauma & paranoid untuk percayakan orang
DRAMA Aku Bukan Ustazah mencetuskan fenomena sekali gus membuatkan nama pelakon dan model, Haneesya Hanee mula meniti di bibir peminat.
Watak antagonis yang dibawanya sebagai Sally benar-benar meninggalkan kesan dalam diri peminat drama Melayu tanah air.
Peminat yang mengikuti perjalanan gadis berusia 24 tahun itu, pasti tahu awan gelap yang melanda dirinya lima tahun lalu.
Bagi yang mengingatinya, pasti tidak akan lupa pertandingan Dewi Remaja 18/19 yang penuh dengan kontroversi sehingga gelaran juara yang disandang beliau terpaksa ditarik balik.
Pun demikian, hal tersebut tidak mematahkan semangat anak kelahiran Pulau Mutiara itu untuk meneruskan kerjayanya sebagai anak seni.
“Saya bersyukur kerana watak antagonis membantu menaikkan nama biarpun sedikit sebanyak mengganggu emosi, mental dan jiwa.
“Lagipun peluang bukan datang selalu, jadi kenapa saya nak tolak, kan? Cuma, saya lebih berhati-hati bimbang penerimaan penonton dengan watak tersebut,“ungkap beliau.
Menyelami nun jauh dilubuk hati pemilik nama sebenar, Sharifah Haneesya Sayed Sahlan mengakui, watak Sally yang dipegang itu mengimbau kejadian lalu.
“Dalam masa sama, saya fikir ada sebab kenapa perlu lalui hal (kecaman) lima tahun lalu sekali lagi.
“Saya anggap perancangan ALLAH yang memberi pengalaman lalu yang mana dikecam satu Malaysia supaya lepas ini bila DIA bagi rezeki, watak apa dan bagaimana sekalipun, maka saya boleh relaks dan tidak fikir lebih-lebih terutama bab kecaman,“ ujar wanita berketinggian 170 sentimeter itu.
Menyambung bicara lagi, kata Haneesya, setiap manusia ada dua personaliti iaitu baik dan jahat.
“Justeru, untuk membawa watak jahat ini (Sally) saya membayangkan bagaimana Haneesya dalam versi jahat yang bermulut lepas, suka lempang orang dan sebagainya.
“Saya cuba bermain dengan imaginasi sendiri dan berfikir, jika saya di tempat tersebut, apa yang akan dilakukan. Mungkin orang berpandangan watak jahat ini dibenci orang dan sebab itu ramai yang kurang gemar terima.
“Berbeza pula dengan pandangan saya yang merasakan ada semangat baharu untuk mencuba dan jadi suka pula. Lagipun, persaingan untuk watak sebegini tak banyak, justeru itu satu kelebihan,“ ulas beliau yang turut menginginkan watak cinta dan romantik.
Anugerah VS media sosial
Pun demikian, beliau yang menjadi penghias muka depan SinarPlus kali ini mengakui mahu menggali lebih mendalam watak sedemikian dalam situasi yang berbeza iaitu watak yang lebih berat seperti aksi, psiko, lasak dan sebagainya lagi.
Menjentik emosi beliau dengan persoalan, apakah beliau masih trauma dengan insiden lima tahun lalu, ini jawapan tuan punya badan.
“Bohonglah andai kata sudah move on, tempias itu turut mengena pada karier saya. Pun begitu, saya bersyukur kerana ALLAH MAHA BAIk, rezeki saya tetap ada, cuma waktu itu lebih kepada menerima produk reviu, jadi model peragaan dan sebagainya.
“Pada masa sama, saya juga mengambil langkah berhati-hati terutama dalam bab pergaulan. Ke mana sahaja saya melangkah, ada orang menemani sama ada pengurus mahupun adik lelaki saya,“ ujarnya.
Dedah Haneesya lagi, peristiwa hitam itu juga menyebabkan beliau sukar meletakkan kepercayaan kepada sesetengah individu selepas apa yang beliau lalui dahulu.
“Benda itu (kontroversi) nak kata trauma, memang masih lagi terasa dan sejujurnya saya susah nak percaya pada orang sekarang. Andai ada yang berniat baik tetapi saya tetap paranoid dan salah anggap kononnya mereka mahu ambil kesempatan sedangkan ia sebenarnya tidak berlaku sedemikian.
“Jadi, untuk mempercayai orang sangat susah dan sebab itu ke mana sahaja saya pergi, pasti akan ada peneman. Lebih-lebih lagi sekarang kesihatan mental tak berapa okay, mungkin kerana terlalu penat,“ ungkap Haneesya yang juga pengasas produk penjagaan rambut.
Body shaming
Mengulas mengenai isu pengarah atau penerbit kini yang lebih memilih pempengaruh yang mempunyai pengikut ramai berbanding pelakon yang memiliki bakat dan menang anugerah namun kurang mendapat tawaran, kata anak sulung itu, semuanya bergantung kepada rezeki masing-masing.
“Rezeki ALLAH luas dan saya tak ada masalah berkenaan hal tersebut. Masing-masing mempunyai peluang dan ruang dalam industri. Cuma, apabila pemilihan berdasarkan pengikut, hasilnya mungkin tidak sebaik jika diberi kepada mereka yang lebih layak dan berbakat.
“Ada orang yang berlakon sekadar suka-suka dan mengejar populariti, ada yang buat serius kerana minat, bakat dalam bidang seni. Justeru, sayang kalau disia-siakan bakat tersebut,“ ulasnya lagi.
Menjawab persoalan tidakkah dirinya sendiri mahu memiliki pengaruh yang ramai, ini jawapan empunya diri: “Beberapa tahun sebelum ini, saya juga tidak ketinggalan untuk aktif dalam media sosial, buat konten dan cari pengikut.
“Namun, sampai satu tahap, saya jadi pening kepala dan mula terfikir apakah yang dilakukan itu akan bantu kekal relevan dalam bidang ini?,“ ungkap beliau.
Disebabkan itu, beliau mula give up dan tak boleh untuk meneruskan memandangkan kehidupannya bukan untuk melayan media sosial semata-mata.
“Saya bukan jenis itu, apatah lagi ada masa untuk sentiasa edit video dan sebagainya. Jujur saya akui, memang tak larat, itu bukan diri saya yang sebenar.
“Justeru, saya anggap kalau ada rezeki maka adalah. Malah, jika ada yang panggil saya berlakon, itu adalah kerana mereka tahu dan percaya atas bakat yang saya ada. Pada saya, pengikut di media sosial hanyalah bonus tetapi bila dapat tawaran, saya akan buat sehabis baik,“ tegas Haneesya.
Sebelum mengakhiri perbualan, sempat penulis meminta beliau berkongsi tip penjagaan kulit. Biarpun memiliki rona kulit gelap, namun tetap menarik dan cantik.
“Sejak dahulu lagi, saya memang jenis yang cukup menitikberatkan bab pemakanan, pengambilan produk dan sebagainya. Dalam kereta tersedia pencuci muka. Lepas habis shoooting terus cuci muka dan sampai di rumah hanya mandi dan tidur. Pada masa sama, jangan abaikan pengambilan vitamin C. Selain pelakon, saya juga seorang model. Justeru, penampilan diri sangat penting.
“Selain rutin penjagaan diri yang biasa diamalkan oleh semua, saya juga ada melakukan amalan tradisional. Caranya adalah dengan menggunakan air beras untuk menjaga kecantikan kulit. biasanya saya akan bekukan ia dalam bentuk kiub. Setiap pagi, saya ambil satu untuk wajah selain gunakan untuk rambut juga. Saya akan lumur pada keseluruhan rambut dan biarkan seketika sebelum dibilas,“ ungkapnya lagi.
Diusik dengan persoalan berkenaan body shaming yang sering diterima, akui Haneesya perkara tersebut tidak pernah terhenti, namun beliau enggan ambil peduli.
“Bagi saya, soal itu saya malas nak ambil peduli. Benda sedemikian memang berlaku, tetapi jika melampaui batas barulah saya ambil tindakan. Sekarang ini, saya malas nak layan dan semua tahu ia satu perbuatan yang salah dan berdosa.
“Namun, ada yang tetap juga nak buat, justeru saya mahu jadi orang bijak, tak nak layan hal-hal sedemikian. Yang nak body shaming itu, teruskanlah,“ katanya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang