Hati-hati kemudi emosi, Erissa elak terjebak buli siber, fokus bina kerjaya sebagai anak seni
CERIA Pop Star 2011 menjadi platform yang mencungkil bakat gadis kecil molek bernama Erissa ini.
Walaupun pada awalnya, tuan punya badan sekadar mencuba nasib, siapa sangka percaturan tersebut membuahkan hasil.
Apatah lagi, ketika itu pemilik nama sebenar, Erissa Puteri Hashim apabila beliau kemudiannya ditawarkan tampil dengan single album bertajuk Matahari.
Sambutan positif dan dirinya mula dikenali membuatkan keluarga merestui perjalanannya sebagai anak seni.
“Pada awalnya, ibu dan ayah seakan-akan berat hati kerana bimbang saya kena bersaing dengan mereka yang lebih berusia daripada saya yang ketika itu baru 11 tahun.
“Pun begitu, saya pujuk dan katakan itu sekadar nak mencuba. Alhamdulillah, saya berjaya memasuki final dan daripada menyanyi, saya turut mendapat tawaran berlakon dan mengacara. Rupa-rupanya memang rezeki saya ada dalam bidang ini,“ kongsi Erissa yang pernah membintangi telefilem Kasut Bola Pink dan drama Super Game Boy.
Baru-baru ini, kisah si gadis manis itu tular usai membuat persembahan di majlis International Cultural Fashion Week (ICFW) sempena festival Precious Of Malaysia anjuran pereka fesyen, Jonathan dan Farel Mikhail (FM Group).
Vokalnya yang padu berjaya mencuri perhatian dan pujian ramai tatkala mengalunkan lagu Erni Zakri ketika itu.
Rupa-rupanya darah seni yang mengalir dalam diri Erissa itu datangnya daripada ibu dan ayahnya yang memang aktif dalam bidang nyanyian. Ibu beliau juga seorang penyanyi manakala ayahnya pula pemuzik.
“Sejujurnya tiada jurulatih yang membantu terutama bab vokal, sebaliknya saya buat ikut kemampuan diri dan alhamdulillah, saya teruskan legasi ibu dan ayah dalam bidang ini (seni). Saya mewarisi kemahiran menyanyi daripada keluarga kerana selalu ikut ibu dan ayah ke majlis-majlis tertentu sewaktu mereka bermain muzik.
“Malah, saya belajar membaca pun melalui karaoke apabila melihat tajuk-tajuk lagu. Boleh dikatakan bidang ini banyak membantu proses pembelajaran saya,“ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berkunjung ke Studio Sinar karangkraf baru-baru ini bagi sesi fotografi untuk muka depan Sisipan SinarPlus.
Tatkala rakan seusianya sibuk bermain, beliau sudah mula membina masa depan sebagai anak seni dan bertapak dalam industri tersebut.
“Kalau ditanya situasi ketika itu (11 tahun), memang saya akui cukup penat dan sukar nak imbangkan masa antara belajar dan menyanyi. Apatah lagi, ketika itu ada sahaja kecaman dan kata-kata negatif netizen kepada diri ini sehinggakan keluarga turut terpalit.
“Waktu itu, media sosial saya dijaga oleh ibu. Apabila netizen melontarkan kata-kata negatif, memberi kesan kepadanya. Namun, lama-kelamaan ibu dapat menyesuaikan diri.
“Sementelah saya sendiri memilih pendekatan untuk tidak melayan atau membaca komen negatif. Mana yang baik saya ambil sebagai panduan dan yang buruk saya ketepikan supaya tidak memberi kesan dalam kerjaya,“ ujar anak bongsu daripada tiga beradik itu.
Buli siber
Pada masa sama dedah Erissa, ada juga segelintir guru di sekolah yang kurang senang apabila beliau memilih untuk aktif sebagai anak seni.
“Buli siber bukan sahaja datang daripada netizen, bahkan ada antara guru yang tidak menyokong pembabitan saya sebagai artis. Mungkin kerana ada masanya saya tidak hadir ke sekolah membuatkan mereka rasa saya mengabaikan pelajaran.
“Bahkan, sehingga sekarang walaupun bergelar pelajar di universiti, masih ada yang memandang serong dan berkata, saya bukan siapa-siapa dan hanyalah pelajar biasa seperti yang lain di kampus.
“Sedangkan saya bukan meminta layanan istimewa jauh sekali mengharapkan princess treatment dengan status artis. Pun begitu saya tak ambil hati dan sedar bukan semua orang suka dan sokong dengan pilihan kita,“ungkap beliau lagi.
Menyentuh lanjut tentang isu buli siber, biarpun memilih untuk mengabaikan komen, namun sedikit sebanyak katanya boleh memberi pengaruh sehingga mengundang depresi.
“Itu yang menyebabkan ada kes sampai meninggal dunia dan sebagainya. Sebagai manusia biasa, ada masanya kita ada tergelincir daripada landasan dan buat salah. Namun, siapa kita mahu terus menghukum, kan?
“Lebih-lebih lagi hal itu sudah lama berlalu dan beri peluang untuk individu itu membina hidup baharu. Usah nak menyelongkar kisah hidup orang lain sedangkan ia tidak mendatangkan sebarang faedah pun,“ ungkap beliau.
Kecil-kecil cili padi, gadis berkulit putih yang cukup murah dengan senyuman itu juga seorang tegas orangnya. Karakter anak bongsu yang manja nyata tidak tiada dalam kamus hidupnya.
“Orang tengok saya mungkin anggap seorang yang manja di rumah, apatah lagi ada dua orang abang yang menjadi ‘perisai‘, namun sebaliknya berlaku. Ada masanya abang sendiri yang ‘koyak‘ bila baca komen netizen kepada diri saya dan mahu membalas, tetapi saya nasihatkan tak perlu panjangkan cerita. Abaikan sahaja netizen yang akan sentiasa mencari salah.
“Cukuplah pengalaman sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu apabila saya membalas komen sehingga mengundang salah faham. Sejak daripada itu saya belajar daripada kesilapan dan itu yang dipegang sehingga kini,“ kongsi Erissa.
Dalam pada itu, anak jati Selangor itu bersyukur dan berterima kasih atas sokongan keluarga yang tidak pernah berbelah bahagi sejak dahulu lagi.
Ilmu dan kerjaya seiring
Kongsi beliau, awal-awal lagi ibu dan ayahnya sudah tegaskan, nak menyanyi boleh namun pelajaran tidak boleh diabaikan. Sebab itu sehingga sekarang, Erissa akan pastikan ilmu dan karier seiringan.
“Kalau tidak lagi aktif dalam bidang seni, saya boleh gunakan sijil tersebut. Alhamdulillah, masih berbaki setahun lagi pengajian saya bagi ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perhubungan Awam di Management & Science University (MSU) untuk tamat. Selepas itu, saya ada perancangan untuk menyambung lagi ke peringkat lebih tinggi.
“Setakat ini, tiada sebarang masalah untuk membahagikan masa, saya juga aktif baik di dalam mahupun di luar kampus. Inilah peluang untuk saya menimba pengalaman dan menjalani kehidupan biasa seorang pelajar. Contohnya, menerusi program lawatan ke perkampungan orang asli dan sebagainya,“ ulas beliau yang juga terbabit sebagai ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di MSU.
Peminat rona merah jambu itu juga mengakui dirinya seorang yang sukakan cabaran. Beliau yang gemar aktiviti lasak kini turut aktif dalam bidang memanah.
“Saya memang suka teroka benda-benda baharu dan kalau orang kata, tak risau ke berpanas nanti hitam dan macam-macam lagi. Jawapan saya mudah sahaja, bergelar artis bukan bermakna saya kena limitkan diri daripada aktiviti sebegini.
“Saya juga tak kisah memuat naik gambar tanpa secalit mekap di media sosial kerana itulah diri saya sebenar. Kalau peminat suka mereka akan menerima seadanya,“ ulas si kecil molek yang berketinggian 153 sentimeter itu.
Mengakhiri perbualan bersama penulis, Erissa yang kini sibuk shooting drama mahu mencabar diri menyanyi lagu berentak balada atau pop andai diberi peluang kelak.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang