Along Cham sah bercerai talak satu, akui gagal kemudi rumah tangga



PERJALANAN hampir setahun turun naik mahkamah berakhir dengan noktah apabila pelawak dan pelakon, Along Cham sah bercerai talak satu dengan isterinya, Afreena Suhaimi di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, hari ini.
Hakim Syarie, Muhamad Nazri Basrawi mensabitkan berlakunya talak rajie seperti dilafazkan Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad, 42, pada 18 Jun lalu.
Mahkamah turut memerintahkan Afreena, 33, menjalani tempoh idah selama tiga kali suci selain menitipkan pesanan penuh makna buat pasangan itu.
“Belajarlah bersabar dalam perkahwinan kerana rumah tangga tempat ujian. ALLAH uji masing-masing. Sama macam nikah, cerai dan rujuk juga perlu diajukan kepada pihak berkaitan,” ujar hakim berkenaan sebelum pengesahan lafaz talak dibuat.
Sepanjang prosiding yang berlangsung selama sejam itu, mahkamah turut mengesahkan tiada berlaku rujuk sebagaimana didakwa plaintif dalam dokumen terdahulu.
Dalam pada itu, Along yang diwakili peguam syarie, Muhammad Akmal Amzan, meluahkan rasa lega apabila kemelut rumah tangganya berakhir, namun tidak menafikan kekhilafan diri sebagai punca perpisahan.
“Saya akui gagal mengemudi rumah tangga yang masih baru. Lapan tahun saya ambil masa membuat keputusan untuk berkahwin semula, tidak sangka akhirnya jadi begini.
“Situasi sebegini tetap berbalik kepada kekurangan saya sebagai suami,” katanya ketika ditemui selepas prosiding.
Sementara itu, Afreena yang diiringi peguam, Mohamad Iezwan Ielias, menyifatkan keputusan mahkamah hari ini sekadar mengesahkan apa yang telah dijangka sejak awal.
“Seperti yang saya jangka, mahkamah sudah mengesahkan lafaz talak. Saya sudah ‘move on’ lama. Hidup perlu diteruskan.
“Tumpuan saya sejak dahulu memang pada anak-anak, keluarga dan kerjaya,” ujarnya.
Terdahulu, kemelut rumah tangga pasangan ini mula menjadi perhatian selepas Along memfailkan pengesahan lafaz cerai secara taklik terhadap isterinya di Mahkamah Syariah Putrajaya pada 28 Januari lalu.
Pelakon filem Adnan Sempit itu mendakwa Afreena melanggar beberapa perjanjian taklik termasuk tidak patuh dan membelakangkan suami.
Namun, dakwaan mengenai lafaz rujuk yang dibuatnya tidak diakui pihak defendan sehingga proses mahkamah berlarutan.
Along dan Afreena mendirikan rumah tangga pada 4 April tahun lalu, sebelum pelawak berkenaan melafazkan cerai di rumahnya di Cyberjaya pada Julai 2024.
Sumber: Sinar Harian & Kosmo
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

