Anak sulung Zahnita dakwa gambar mata lebam ibu foto lama, suami dedah cuba dipukul Muay Thai. 'Saya akan lepaskan secara baik dengan syarat...'

No Image Caption
A
A
A

KES keganasan rumah tangga bekas model, Zahnita Wilson terus mendapat perhatian susulan meledaknya dua keping foto memperlihatkan mata model berusia 39 tahun itu lebam pada 2 Disember lalu.

Dalam perkembangan terbaharu, menurut laporan mStar, anak sulung pelakon Kuliah Cinta itu mendakwa semua pendedahan yang dibuat ibunya sudah dirancang lebih awal.

Menurut Zahrafeena atau mesra disapa Zahra, 18, yang merupakan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) foto dimuat naik Zahnita adalah sudah lama.

"Ibu sudah rancang untuk kami berpindah selepas saya selesai peperiksaan SPM tetapi perkara ini menjadi tular lebih awal.

"Di sekolah cikgu ada bertanya adakah saya dipukul? Saya jelaskan tiada siapa yang dipukul dan gambar dikongsi oleh ibu itu adalah foto lama," katanya.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Ketika sidang media tergempar yang diadakan oleh suami Zahnita iaitu Abdul Zackery Ghouse Abdul Gafor di kediamannya di Kuantan, Zahra tidak menafikan konflik keluarga memberi kesan terhadap dirinya yang sedang menghadapi SPM.

Malah menurut Zahra, beliau kecewa dengan sikap Zahnita yang dilihat seperti mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang ibu.

"Sebagai anak saya memang kecewa dan tertekan dengan apa yang berlaku. Hendak fikir SPM, fikir tentang dia (Zahnita) lagi. Apa yang ibu buat ini pada masa tidak tepat.

"Dia bagaikan tidak ambil kisah fasal saya yang sedang menduduki SPM. Dia lebih fokus tentang diri sendiri," ujarnya.

Menurut Zahra, hubungannya dengan Zahnita tegang apabila dirinya sering dijadikan orang tengah setiap kali berlaku masalah di antara ibu bapanya.

Remaja itu mendakwa lebih selesa menetap bersama bapanya selepas Zahnita bertindak keluar dari rumah mereka dan berpindah ke tempat lain.

"Rasanya tak perlu libatkan saya dalam masalah ini kerana ia isu orang dewasa.

"Tiada siapa yang paksa. Saya yang mahu tinggal bersama ayah. Tinggal bersama ayah lebih chill (tenang).

No Image Caption

"Saya boleh sahaja berjumpa ibu kerana rumahnya tidak jauh dari sini. Tetapi saya memilih untuk tidak berjumpa sebab kebelakangan ini ibu selalu marah bila berjumpa," jelasnya.

Sementara itu, suami Zahnita, Abu pula mendakwa mendakwa dia sebenarnya menjadi mangsa keganasan pelakon dan model berkenaan.

Menurut Abdul Zackery Ghouse Abdul Gafor, 47, tuduhan bahawa dia bersikap kasar dan memukul Zahnita sama sekali tidak benar. Dakwa Abdul Zackery sebaliknya beliau bertindak mempertahankan diri daripada perlakuan ganas isteri.

Malah dakwanya, sepanjang 20 tahun berumah tangga lelaki tersebut terpaksa bertahan dengan sikap Zahnita yang meminta diceraikan pada setiap tahun.

"Isu keganasan ini pernah menjadi pertikaian kerana yang mengganas itu adalah dia (Zahnita).

"Dulu dia pernah belajar sukan Muay Thai dan cuba untuk 'Muay Thaikan' saya.

"Tetapi pada ketika itu, saya cuba untuk menenangkan isteri," katanya.

Abdul Zackery juga mendakwa pergaduhannya dengan Zahnita pada November lalu tercetus apabila bekas model itu bertindak menyewa sebuah rumah tanpa pengetahuannya.

No Image Caption

Menurutnya, rumah tersebut disewa Zahnita bagi menjalankan perniagaan makanan yang diusahakan sejak awal 2024.

Ahli perniagaan itu juga mendakwa sejak memulakan perniagaan tersebut, Zahnita mula mengabaikan kebajikan anak-anak mereka yang membuatkan beliau tidak berpuas hati.

"Saya dapat tahu dia menyewa kediaman lain berhampiran kawasan rumah kami apabila saya tanya dia terus melenting serta memarahi saya.

"Dia kata mahu mempertahankan bisnes dan tak boleh duduk bersama saya sebab saya sering memukulnya," ujarnya.

Menurutnya, dia mahu Zahnita memberi sepenuh perhatian kepada keluarga. Lebih-lebih lagi anak bongsu mereka, Abd Zayden Ghouse, 4, menghidap autisme.

Abdul Zackery mengakui tampil membuat penjelasan berhubung isu rumah tangganya kerana mahu mempertahankan hak anak-anak mereka yang diabaikan Zahnita.

Dalam pada itu, lelaki itu juga mendakwa akan melafazkan talak sekiranya sekiranya Zahnita memenuhi beberapa syarat termasuk berkaitan hak penjagaan dan kebajikan empat anak mereka.

"Saya bersedia melatazkan talak dengan beberapa syarat dia perlu patuhi.

"Kalau dia dapat patuhi syarat tersebut saya akan lafaz talak dan kami boleh bercerai dengan baik.

"Saya sudah tidak mahu bergadih dengannya tapi saya minta dapat sama-sama menjaga anak, itu sahaja.

Memetik mStar, Zahnita membalas dengan 'no comment' apabila dihubungi untuk menjawab tuduhan terhadapnya itu.

No Image Caption

Imbas kembali, pergaduhan di antara Zahnita dan Abu Zackery bermula apabila bekas peragawati itu membangkitkan isu suaminya mempunyai hubungan dengan wanita lain.

Pada 3 Disember 2024, Zahnita nekad memfailkan cerai terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Kuantan, Pahang dan suaminya ditahan.

Abdul Zackery bagaimanapun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuatan, Pahang atas pertuduhan melakukan kecederaan terhadap isterinya.

Baru-baru ini lelaki itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, yang memperuntukkan penjara selama tempoh sehingga setahun atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau dengan kedua-duanya.

Abdul Zackery juga didakwa menggunakan dadah berbahaya iaitu 11-nor-delta-9-Tetrahydronnabinol-9-Carboxylic Acid di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, jam 5.45 petang, pada 2 Disember.

Lelaki itu juga didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1) akta sama dan dibaca Bersama seksyen 38B akta yang sama.

Sumber: mStar 1, 2, 3, Sinar Harian

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang