Bapa gitaris kumpulan Hujan, AG Coco meninggal dunia

No Image Caption
A
A
A

SUASANA pilu menyelubungi dunia seni tanah air apabila bapa kepada komposer dan gitaris kumpulan terkenal Hujan, AG Coco, disahkan menghembuskan nafas terakhir pada Isnin.

Perkhabaran duka itu dimaklumkan sendiri oleh isteri AG Coco, Zuliana Eusoff menerusi satu hantaran di Instagram Story miliknya.

“Dengan penuh dukacita, kami memaklumkan pemergian ayahanda kami, Mohd Hafidz bin Hussein pada hari ini, 21 April 2025 bersamaan 22 Syawal 1446H,” tulisnya.

Difahamkan, jenazah Allahyarham kini berada di Masjid Negeri Shah Alam untuk proses dimandikan, dikafankan dan akan disolatkan selepas solat Maghrib.

Jenazah kemudiannya akan dibawa ke Masjid Akar Peluru, Alor Setar, yang dipercayai kampung halaman AG Coco, sebelum disemadikan di sana.

Bagaimanapun, punca kematian tidak didedahkan oleh pihak keluarga.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, AG Coco atau nama sebenarnya Mohd Hezry Mohd Hafidz pernah berkongsi mengenai keadaan kesihatan bapanya yang dikatakan kritikal selepas diserang strok yang teruk sehingga koma.

Malah, pemuzik berbakat besar itu meluahkan kesedihan mendalam malam raya baru-baru ini yang menjadi detik paling menyayat hati buat dirinya.

“Dengan hati yang berat, saya ingin berkongsi bahawa papa telah mengalami strok yang teruk dan kini berada dalam keadaan koma,” kongsinya.

Menurut AG Coco, beliau tidak akan pernah melupakan momen tersebut dan menyifatkannya sebagai malam raya paling emosional yang akan terus terpahat dalam memorinya.

“Malam raya ini akan selamanya terpahat dalam ingatan saya sebagai satu kenangan yang sangat emosional,” luahnya sebelum ini.

Pihak SinarPlus mengucapkan salam takziah buat AG Coco dan seluruh keluarga atas pemergian insan tersayang.

Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang