Isteri Edika Yusof failkan cerai, masalah tiada persefahaman jadi punca? 'Kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang...'

No Image Caption
A
A
A

TIADA angin, tiada ribut, rumah tangga pelakon popular era 90-an, Edika Yusof, berdepan ujian apabila isterinya, Nor Hidayah Yusri, memfailkan perceraian terhadapnya baru-baru ini.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Nor Hidayah ketika ditemui SinarPlus di perkarangan Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada Isnin.

Namun, wanita berusia 46 tahun yang turut menghidap penyakit meningitis itu enggan mengulas lanjut mengenai punca perpisahan mereka. Sebaliknya, dia meminta agar persoalan itu diajukan terus kepada Edika sendiri.

Nor Hidayah juga mengakui terkejut dengan kehadiran pihak media di mahkamah dan mengambil langkah berhati-hati dalam memberi kenyataan berhubung perceraian tersebut.

“Macam inilah, semua tahu situasi dan keadaan saya, tapi kalau saya sudah berada di mahkamah, semestinya ada sebab yang sangat kukuh.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu komen lebih lanjut kerana tidak mahu perkara ini keluar dari mulut saya. Sebaliknya, minta penjelasan daripada pihak suami.

“Saya juga akui terkejut dengan kehadiran pihak media. Antara sebab saya enggan mengulas lanjut kerana risau ada pihak yang mendakwa saya berniat untuk bercakap di hadapan media,” katanya kepada SinarPlus.

Artikel Berkaitan:

Menurut peguam yang mewakili Nor Hidayah, Mohd Yazid Azim, tiada persefahaman antara pasangan itu menjadi salah satu faktor yang mendorong permohonan perceraian dilakukan.

Bagaimanapun, butiran terperinci mengenai perkara tersebut masih belum dapat didedahkan buat masa ini. Difahamkan, kes berkenaan akan didengar di hadapan hakim pada 23 April depan.

“Berkenaan sebab, saya tidak dapat kongsikan secara terperinci kerana ia akan bersifat prejudis terhadap defendan. Untuk perkara lanjut, kita perlu tunggu pada 23 April depan dan mungkin alasan itu akan didengari hakim.

“Tiada persefahaman merupakan salah satu sebab perceraian. Namun, secara terperinci, ia tidak dapat didedahkan. Bagaimanapun, kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang, jadi ada sebab yang kukuh pihak plaintif mohon cerai,” katanya.

Mohd Yazid turut memaklumkan bahawa pihak plaintif telah memfailkan permohonan cerai pada pertengahan Februari lalu, manakala serahan kepada pihak defendan telah dilakukan sekitar 19 Mac lalu.

“Permohonan cerai telah dibuat pada pertengahan bulan Februari dan serahan dilakukan sekitar 19 Mac. “Defendan pernah meminta agar prosiding ini dilakukan secara tertutup, namun tidak dibenarkan oleh mahkamah memandangkan kes tersebut dimulakan dengan saman,” ujarnya.

Untuk makluman, Edika mendirikan rumah tangga bersama isterinya pada tahun 2003.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Nazirul Afiq, Fardeen Nasrulhaq dan Fereena Nurulhaq.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang