'Kenapa sekarang nak tawarkan?' 22 tahun kahwin, 19 tahun jaga isteri sakit, Edika luah rasa terkilan, serah soal jodoh pada Tuhan 

No Image Caption
A
A
A

PELAKON dan model popular era 90-an, Edika Yusof baru-baru ini mengejutkan ramai menerima permohonan cerai daripada isteri, Nor Hidayah Yusri, 47.

Dalam temu ramah bersama SinarPlus, pelakon Maria Mariana dan Pelumba Malam itu mengakui sudah tiga bulan tidak sebumbung dengan suri hatinya.

"Kami sudah bersama selama 22 tahun. Semua perkara boleh dibincang. Saya kalau boleh ingin menyelamatkan tetapi jika itu yang dia hendak , asalkan dia gembira, saya akan cuba memenuhinya.

"Kerana soal jodoh, hidup dan mati di tangan ALLAH. Kita berusaha sejauh manapun namun jika ia hanya sampai di situ saya akan reda," katanya.

Sejak tiga bulan lalu, ujar Edika mereka tinggal berasingan. Memiliki tiga cahaya mata termasuk seorang anak tiri lelaki, Edika kini menjaga puterinya. Manakala anak lelaki dan anak tiri lelaki tinggal bersama Nor Hidayah.

Nampak tenang, namun jauh di sudut hati Edika mengakui seakan- akan terkilan dengan keputusan Nor Hidayah.

No Image Caption



Menjawab persoalan sama ada keputusan isterinya adalah demi membolehkan Edika kahwin lain, ini reaksi empunya diri.

"Kenapa sekarang? Esok umur saya genap 58 tahun. Saya sudah berkahwin dengannya 22 tahun dan menjaganya (dalam keadaan sakit) selama 19 tahun. Kenapa sekarang baharu nak tawarkan untuk perkara-perkara itu? Ia sudah terlalu terlewat.

Artikel Berkaitan:


"Saya tidak fikir sangat tetapi jodoh di tangan ALLAH. Kalaulah dia fikir begitu, kenapa tidak beritahu saya awal-awal? Saya tidak pernah pun minta perkara-perkara sebegitu.

"Selama ini apa yang saya buat adalah rutin dan tidak pernah komplen. Saya tidak suka tunjuk apa yang saya buat kepada isteri. Malah saya juga minta agar dia tidak memuat naik di laman sosial apa yang kami lakukan. Biar hanya kita sahaja yang tahu.

"Tetapi kalau dia rasa dia gembira dengan keputusannya untuk melepaskan saya, saya tidak mampu buat apa-apa. Saya telah cuba menyelamatkan. Selagi ia boleh membuatkan dia bahagia dan gembira, saya akur.

Berbicara soal perasaan anak-anak, Edika memaklumkan mereka telah tiada usaha untuk merapatkan kembali mereka berdua.

No Image Caption



"Anak tiri saya nampak apa yang berlaku antara kami dan tidak mahu kami begini (berpisah). Tetapi anak saya pula, selagi saya dan isteri tiada masalah dan gembira mereka okay.

"Tiada pula usaha mereka cuba merapatkan kami. Mereka masing-masing memikirkan diri sendiri dan tidak nampak memikirkan tentang kami.

"Saya tunggu juga anak-anak buat sesuatu tetapi saya tidak nampak apa-apa setakat ini. Isteri pula, saya sudah ajak dan hantar pesanan WhatsApp untuk berbincang tetapi dia mengelak.

"Semasa dia ingin berpindah tempoh hari, kami tidak bergaduh. Malah saya bantu lagi kerana saya ingat apabila masing-masing muhasabah diri dan berbincang, namun setakat ini tiada apa-apa.

"Saya nampak dia memang betul-betul hendak berpisah. Saya nampak dia serius. Saya fikir jika berbaik dengan saya sekalipun dia tak gembira, tiada faedahnya," kata Edika.

Jauh di sudut hati, walau apa pun yang terjadi pada masa akan datang, Edika berharap hubungannya dengan Nor Hidayah baik-baik dan terhindar permusuhan.

"Jika saya ada salah dan silap saya minta maaf. Selalunya jika saya buat silap saya akan minta maaf kepadanya.

"Saya selalu ajak berbincang namun kadang-kala saya nampak isu penyakit meningitis itu dan kesan jangka panjangnya seperti sensitif.

"Mungkin saya tidak nampak atau mungkin juga saya terlalu push. Saya mahu dia berdikari kerana apabila satu hari nanti apabila saya tiada dia boleh independant.

"Bonus jika anak-anak boleh jaga. Kalau anak tidak jaga, siapa hendak jaga dia?

"Jika kita berjumpa dan berbincang, kita boleh berkawan. Kenapa kita perlu bermusuh? Itu yang saya mintalah," tuturnya.

Sekadar info, Nor Hidayah terdahulu memfailkan perceraian terhadap Edika pada akhir Mac lalu Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sebelum ini, pasangan Edika dan Nor Hidayah menarik perhatian ramai apabila pelakon filem Maria Mariana itu didapati sanggup berkorban dan setia menjaga isterinya yang lumpuh separuh badan selepas melahirkan anak mereka.

Hasil perkongsian hidup dua dekad pasangan ini sejak 2003, Edika dan Hidayah bahagia dengan dua cahaya mata iaitu Fardeen Nasrulhaq dan Fereena Nurulhaq. Nor Hidayah memiliki seorang anak lelaki, Nazirul Afiq daripada perkahwinan terdahulu.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang