Manfaatkan bulan mulia, Neelofa kongsi rutin harian sepanjang Ramadan. 'Perbanyakkan membaca al-Quran, luang masa bersama dua cahaya mata...'

USAHAWAN dan selebriti terkenal, Neelofa tidak melepaskan peluang merebut pahala berlipat kali ganda sepanjang Ramadan dengan mengisi masa lapangnya membuat aktiviti bermanfaat serta mendekatkan diri kepada ALLAH.
Menurut pemilik nama Noor Neelofa Mohd Noor, rutinnya bermula seawal jam 4.30 pagi dengan menunaikan solat sunat sebelum bersahur secara sederhana bersama suami tercinta, Haris Ismail.
“Saya bangun seawal 4.30 pagi, mengambil wuduk dan solat dahulu. Kemudian saya bersahur dengan kurma, air 500ml dan madu.
"Sepuluh minit sebelum azan, saya kejut Haris dan suapkan dia kurma. Selepas itu, saya bersiap untuk solat, manakala Haris akan ke masjid,” dedahnya menerusi siaran langsung di TikTok.
Bukan sekadar memenuhi tanggungjawab sebagai isteri dan ibu, pelakon drama Suri Hati Mr Pilot ini turut meluangkan empat jam sehari untuk bertadarus al-Quran bagi meraih keberkatan Ramadan.
“Selepas solat Subuh, saya akan membaca al-Quran selama empat jam. Sekitar jam 11 pagi atau 12 tengah hari, saya akan tidur sebentar untuk rehat.
“Kemudian, saya ke dapur untuk menyediakan makanan anak-anak. Selesai solat Zuhur, saya sambung membaca al-Quran lagi.
“Bilal juga suka ajak saya membaca al-Quran, jadi saya selitkan aktiviti itu bersama anak-anak,” tambahnya.
Menjelang waktu berbuka, bekas pengacara MeleTOP itu turut sibuk menyediakan hidangan berbuka, termasuk membuat jus segar dan menggoreng karipap panas.
Bagaimanapun, Neelofa mengakui jarang berpeluang memasak sendiri kerana ibunya tersayang, Noor Kartini sering menghantar juadah berbuka ke rumahnya.
"Buat air jus, goreng karipap, potong bahan masakan. Tapi setakat ini baru sekali sahaja saya masak sebab mama hantar makanan setiap hari, Alhamdullillah," kongsinya.
Ternyata, Ramadan bagi juara Dewi Remaja 2009/2010 ini bukan sekadar tentang ibadah, tetapi juga momen untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan meraih keberkatan dalam setiap detik beribadah.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang