'Risau anak dibuli, rupanya dia pembuli...' Aeril Zaril, Wawa Zainal harap ibu bapa cakna

A
A
A

PELAKON popular, Wawa Zainal dan suaminya, Aeril Zafril, tampil melontarkan pandangan mengenai isu buli yang kerap menghantui ibu bapa masa kini, khususnya dalam kalangan pelajar sekolah.

Menurut Wawa, sebagai ibu kepada empat cahaya mata, kebimbangan terhadap keselamatan emosi dan persekitaran sosial anak-anak tidak pernah hilang. 

Baginya, kegusaran itu bukan sekadar apabila anak menjadi mangsa, malah juga jika mereka tanpa sedar berada di pihak yang membuli.

“Sebagai ibu bapa, siapa sahaja tidak risau kalau anak dibuli. Tetapi dalam masa sama, saya juga bimbang sekiranya anak menjadi pembuli. 

"Sebab itu, kita kena ambil tahu, kena selalu bercakap dengan mereka tentang apa yang berlaku di sekolah,” katanya.

Tambah pelakon berusia 34 tahun itu, komunikasi terbuka menjadi kunci dalam memahami tingkah laku anak-anak, termasuk bahasa yang digunakan.

“Ada masanya mereka tak faham apa itu buli. Mengeluarkan kata-kata kesat pun sudah dikira membuli. 

"Jadi, peranan kita adalah mendidik dan menjelaskan apa yang betul dan salah sejak awal,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Aeril pula menegaskan sikap cakna ibu bapa perlu melangkaui tanggapan biasa bahawa anak pasti menjadi mangsa.

“Tidak semestinya anak kita mangsa, mungkin juga tanpa sedar dia menjadi pemangsa. Jadi ibu bapa kena lebih teliti. Kami sendiri sentiasa telus dengan pihak sekolah. Kalau anak buat salah, biarlah cikgu menegur,” ujarnya.

Malah, pasangan itu sepakat bahawa guru turut memainkan peranan besar kerana selepas ibu bapa, tenaga pengajar merupakan individu yang paling banyak meluangkan masa bersama pelajar.

“Saya sendiri minta cikgu marah dan beritahu jika anak-anak buat nakal. Sebab kalau bukan mereka, siapa lagi yang lebih dekat dengan anak-anak selain kita?” tambah Wawa.

Dalam masa sama, pelakon filem Sabda Kekasih itu melahirkan kebimbangan terhadap gejala buli siber yang semakin meruncing dalam era digital.

“Sekarang ini yang paling menyeramkan ialah siber buli. Di media sosial, yang lebih tua kadang-kadang menjadi contoh kepada budaya tidak sihat ini. 

"Apa yang mereka lakukan turut menjadi cerminan kepada anak-anak,” katanya lagi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang