Tak perlu mewah dan kekal sederhana, Atikah Suhaime pilih cara ibu didik anak
DALAM era media sosial hari ini, ramai kaum ibu, terutamanya yang pertama kali menimang cahaya mata, teruja dan gembira berkongsi detik indah mereka.
Ada yang berkongsi momen bersama anak dan sanggup berhabis ribuan ringgit. Daripada pakaian jenama mewah, stroller eksklusif, sehinggalah kepada aksesori bayi yang harganya bukan biasa-biasa, semuanya seolah-olah menjadi simbol kasih sayang dan kemampuan.
Ada yang percaya, lebih mahal sesuatu barang, lebih tinggi nilainya sebagai ibu.
Namun, di tengah-tengah arus gaya hidup sebegitu, pelakon Datin Atikah Suhaime tampil dengan pendekatan yang cukup berbeza.

Tanpa perlu membuktikan apa-apa, Atikah membesarkan anaknya, Lyla Mulan Teh, dengan cara yang lebih klasik dan bersahaja.
Katanya, dia terinspirasi daripada gaya didikan ibunya sendiri. Bagi Atikah, nilai seorang ibu bukan diukur melalui tag harga atau jenama, tetapi pada sentuhan, perhatian dan nilai kehidupan yang disemai sejak kecil.
Dalam satu perkongsian di TikTok, Atikah meluahkan pandangan ikhlas tentang cara beliau membesarkan anak, yang ternyata sangat jauh daripada budaya menunjuk kemewahan.
KAEDAH MENDIDIK ANAK
Dedahnya, beliau lahir dalam keluarga yang bukan senang dan hidupnya tidak terbiasa dengan barangan berjenama. Maka, cara hidupnya kekal sederhana walaupun kini sudah bergelar isteri kepada usahawan terkenal, Datuk Lukman Teh.
“Ramai ingat saya humble sebab cara jaga anak, tapi sebenarnya saya cuma ikut cara mama saya dulu.
“Saya orang biasa sahaja, bukan hidup senang sejak kecil. Jadi memang saya tak pandai nak beli barang mahal,” katanya jujur.
Bagi Atikah, beliau tidak perlu berubah semata-mata kerana status atau persepsi orang luar. Sebaliknya, beliau percaya bahawa cara lama yang diterapkan dahulu tetap relevan, malah lebih membumi.
Dalam pada itu, pemilik nama sebenar Nur Atikah Mohd Suhaime itu turut menegaskan bahawa setiap ibu mempunyai cara tersendiri.

Oleh yang demikian, tidak wajar untuk sesiapa pun membandingkan kaedah mendidik anak hanya berdasarkan gaya hidup.
Apa yang penting baginya bukanlah stroller mahal atau baju ‘designer baby’, tetapi bagaimana anak itu dibesarkan dengan nilai, kasih sayang dan kehadiran seorang ibu yang benar-benar memberi.
Dalam dunia penuh ‘filter’ hari ini, pendekatan Atikah terasa seperti satu nafas yang menyegarkan, sekali gus mengingatkan kita bahawa menjadi ibu bukan hanya berkaitan dengan gaya, tetapi juga jiwa.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
