'Betul-betul bawa tuah, buat duit dengan karakter...' Amirul dedah ibu sukakan Ain Edruce, tetap pelihara maruah keluarga dalam berkarya

No Image Caption
A
A
A

SEBUT sahaja nama pasangan ini, pasti ramai yang terbayang keletah mereka yang bersahaja namun tidak kering gusi dibuatnya.

Sering menyajikan content yang bukan sahaja menghiburkan tetapi penuh makna. Walaupun sekadar video biasa namun sangat positif di mata penonton.

Bagaikan bunga yang berkembang dengan penuh warna, begitulah juga perjalanan cinta antara Ain Edruce dan Amirul.

Benarlah kata orang cantiknya ciptaan YANG MAHA ESA, dijadikan isteri seorang yang banyak cakap sementara sang suami jenis pendiam. Umum mengetahui kelincahan dan perangai Ain yang gila-gila sementara Amirul bersahaja orangnya, namun kepelbagaian itu membuatkan rumah tangga selebriti berkenaan harmoni dan meriah.

No Image Caption

Baru-baru ini, pasangan tersebut menjadi tetamu jemputan bagi program bual bicara Borak Bibir Merah Eksklusif Bersama Erra Fazira.

Lebih 150 penonton yang hadir memeriahkan program anjuran SinarPlus yang berlangsung di Dewan Karangkraf. Bakal menemui penonton 30 Disember ini pada pukul 8.30 malam, program tersebut turut mendapat tajaan Courts Malaysia, Econsave, Muezza, Sunshine Bakeries, Mydin, Wardah, Telekung Siti Murni, SZBlooms dan Twinnings.

Menyingkap sedikit perjalanan awal Ain dalam industri hiburan, kerjaya awalnya sebagai anak seni bermula apabila ditawarkan menjadi model sebelum meraih perhatian pengarah untuk mengambilnya berlakon dalam drama Gadis Semasa Sunsilk pada saat empunya badan masih lagi bergelar penuntut di Universiti Teknologi Mara pada 2011. Antara drama yang menaikkan nama beliau termasuklah Cinta Paksa Rela, Kenyalang I'm In Love dan banyak lagi.

Artikel Berkaitan:

Selain berlakon, wanita berketinggian 170 sentimeter itu juga aktif sebagai pengacara. Beliau kini menjadi hos untuk rancangan Melodi bersama Fikry Ibrahim yang ke udara secara langsung setiap hari Khamis.

No Image Caption

Suami bawa tuah

Berbalik kepada ceritera cinta yang lahir antara Ain atau nama sebenarnya Nurulain Edruce dan pemilik hatinya, Amirul Hafiz Mustaffa, pasangan tersebut disatukan sebagai suami isteri yang sah pada 13 Disember 2019.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Soraya dan pasangan muda itu juga kini menantikan kelahiran buah hati kedua tidak lama lagi.

Jika segelintir orang mengatakan isteri adalah pembawa rezeki. Berbeza pula dengan pelakon, pengacara dan penyanyi itu.

Akui Ain, kehadiran Amirul atau mesra disapa Mirul sebagai tuah dalam kehidupan mereka suami isteri.

“Manakan tidaknya, setiap kami memuat naik video yang bersama imamnya itu, pasti meraih ramai penonton.

“Memang saya tak nafikan, kalau orang cakap video saya banyak viral atau meraih perhatian untuk orang tengok disebabkan Mirul.

“Walaupun bukan mudah nak dapat persetujuan Mirul untuk tampil dalam video, puas pujuk dan paksa. Macam-macam alasan, tetapi dia susah nak tolak, nama pun isteri paksa kan,” seloroh Ain lagi.

No Image Caption

Tambah wanita berusia 33 tahun itu lagi, sebelum sesuatu video dibuat, beliau terlebih dahulu akan berkongsi dengan suaminya itu.

“Ada masanya saya random sahaja dan rakam tanpa pengetahuan Mirul. Jika saya minta dia berbuat demikian, susah nak dapat walaupun berkali-kali hafal dan berlatih, bila depan kamera tak jadi.

“Bengang juga namun saya kena terima hakikat itulah Mirul. Dia memang bukan seperti saya yang spontan, mujurlah dia akur. Lagipun saya sudah kenal Mirul bagaimana orangnya dan sangat berterima kasih kerana memang betul-betul buat ‘duit’ dengan karakter dia sedemikian.

“Kalau muka dia dalam video nampak bengang, marah atau lebih banyak diam itu memang bermakna dia buat sebab terpaksa,” kongsi Ain sambil disambut deraian tawa oleh penonton.

Mentua sayang

Mengulas mengenai perwatakan Amirul yang sememangnya pemalu dan diakui tuan punya badan sendiri, dedah beliau segala yang dilakukan itu atas dasar sayang dan sedar komitmen sang isteri tersayang sebagai anak seni.

“Memang idea yang dihasilkan dalam setiap video adalah daripada Ain sepenuhnya, dan sebagai suami, saya menyokong beliau dalam apa jua dilakukan. Jika dengan cara sedemikian dapat membantu untuk menghasilkan pendapatan serta membantu beliau kekal dalam media sosial atau meraih tawaran dalam kerjaya maka sebagai suami tak salah andai saya membantunya. Asalkan boleh buat Ain gembira, saya okay sahaja.

No Image Caption

“Cuma tidaklah keterlaluan dan dia sendiri faham limit dalam menghasilkan sesuatu video atau content. Lagipun, saya bukan sejenis yang aktif di media sosial seperti Ain, walaupun ada akaun Instagram namun jarang update.

“Kalau diikutkan apa yang dipaparkan di dalam content itu dibuat bukan sekadar dibayar namun atas dasar cinta dan sememangnya selepas beberapa kali kena marah,” jujur Amirul mengakui sambil disambut tawa sang isteri yang mengakui hal tersebut.

Menyentuh mengenai sikap pemalu sang suami dan penerimaan ahli keluarganya setiap kali memuat naik video di media sosial, ini jawapan Amirul.

“Saya lahir dalam keluarga yang mementingkan profesionalisme dan tidak menggalakkan hal-hal sebegini, namun berbeza selepas berkahwin dengan Ain.

“Mungkin kerana ibu saya suka dan menerima kehadiran Ain jadi tiada masalah untuk berbuat demikian. Pun begitu, mereka selalu ingatkan setiap apa yang kami lakukan harus ada limit dan jangan terlampau terutama bab-bab yang membabitkan hal privasi. Kena selalu hormat antara satu sama lain,” tegas Mirul lagi.

Sementara Ain disebelah suami mengakui hal tersebut, bahkan beliau juga berkata, setiap video yang dihasilkan tidak menyentuh hal-hal berkaitan suami isteri jauh sekali menjatuhkan maruah suaminya.

No Image Caption

“Sebagai isteri, saya hormat pendirian Mirul dan video yang dihasilkan tak pernah meletakkan benda-benda yang berkaitan privasi sama ada tengah bersedih atau bergaduh, meluahkan perasan dan sebagainya. Saya lebih gemar paparkan video biasa yang boleh menghiburkan orang lain.

“Selain perasaan suami, saya juga kena jaga hati keluarga lebih-lebih lagi mentua. Apatah lagi apabila ibunya meletakkan kepercayaan saya boleh jaga anaknya dengan baik.

“Jadi, setiap kali nak buat sesuatu, saya akan fikirkan semula baik buruk dan reaksi mentua kelak. Takkan kerana content kita nak bergaduh rumah tangga, kan.

“Sesuatu yang tidak wajar pada saya,” ungkap pemegang ijazah dalam Sarjana Komposisi Muzik itu lagi.

Cinta content

Bahkan selebriti yang dikatakan persis jelmaan bintang legenda era 70-an, Noor Kumalasari itu akur bila mana sang suami menetapkan anak perempuan mereka tidak digalakkan untuk memiliki akaun media sosial sehingga mencapai tahap usia tertentu.

Walaupun selalu buat video bersama Soraya, namun awal-awal lagi Amirul sudah menetapkan sekarang belum masa untuk anak perempuannya berbuat demikian.

“Biarlah Soraya besar dulu dan saya hormat pendirian tersebut. Kami berdua belajar bahawa dalam perkahwinan, setiap langkah perlu diambil dengan penuh pertimbangan.

“Saya tidak mahu biarkan content jadi punca pergaduhan dalam rumah tangga. Walaupun saya lebih cenderung untuk mengabadikan setiap momen yang menarik, Mirul lebih berhati-hati dalam mendedahkan kehidupan peribadi kami kepada orang ramai,” jelas anak ketiga dari empat beradik itu lagi.

No Image Caption

Ditanya akan pandangan mengenai cinta content, Ain bagaimanapun mengakui wujud hal tersebut kerana segelintir masyarakat suka benda-benda sedemikian selain ia ada kelebihan terutama untuk bisnes atau jualan produk.

Kesempatan sebelum tirai perbualan dilabuhkan, Ain turut diminta berkongsi azam yang diletakkannya menjelang 2025 yang tinggal beberapa hari sahaja lagi.

No Image Caption

“Saya suka bercuti sejak dahulu lagi, cuma untuk 2025, saya berazam nak kumpul duit sebab anak pun dah nak masuk dua orang. Cuma kalau nak bercuti juga mungkin tempat-tempat yang berdekatan sahaja,” ujar Ain lagi menutup bicara.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang