‘Coach cerai’ berpotensi merosakkan rumah tangga – Marhamah Rosli nasihat pasangan rujuk pihak berautoriti

No Image Caption
A
A
A

RUMAH tangga yang dibina dengan harapan dan kasih sayang tidak terlepas daripada ujian. Saat emosi bercelaru dan kepercayaan mula goyah, keinginan untuk mencari tempat meluah sering menjadi pilihan.

Namun, tidak semua tempat sesuai dijadikan sandaran, lebih-lebih lagi apabila melibatkan soal hukum dan masa depan sebuah keluarga.

Memetik Berita Harian, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli menegaskan, pasangan suami isteri supaya tidak mendapatkan khidmat individu yang dikenali sebagai ‘coach cerai’ ketika berdepan masalah rumah tangga.

“Sebarang nasihat berkaitan perkahwinan dan perceraian seharusnya dirujuk kepada pihak berkuasa yang sah,” katanya, sambil menekankan kepentingan panduan yang selari dengan hukum syarak.

Menurut beliau, nasihat yang tidak berlandaskan syariat bukan sahaja berisiko mengelirukan pasangan, malah boleh membawa kepada keputusan yang merosakkan institusi perkahwinan.

“Nasihat yang tidak bersandarkan syariat boleh mengelirukan dan akhirnya meruntuhkan rumah tangga yang sepatutnya dipelihara,” jelasnya.

Marhamah berkata demikian ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail berhubung langkah kerajaan, khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), terhadap kewujudan perkhidmatan ‘coach cerai’ yang dikhuatiri menormalisasikan perceraian.

Mengulas lanjut, beliau berkata isu ‘coach cerai’ wajar dijadikan pengajaran kepada masyarakat agar tidak sewenang-wenangnya mendapatkan nasihat daripada pihak yang tidak jelas latar belakang ilmu dan autoritinya.

“Isu ini memberi pengajaran bahawa sebarang nasihat berkaitan perkahwinan dan perceraian perlu melalui pendekatan ilmu, kefahaman, bimbingan serta pihak berautoriti yang jelas.

"Rundingan yang adil perlu diambil sebelum sebarang tindakan diteruskan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa penggunaan istilah dan pendekatan berkaitan kekeluargaan Islam yang mengelirukan seperti ‘coach cerai’ perlu dikawal bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan masyarakat.

“Ia penting bagi mengelakkan kegusaran awam, khususnya dalam menyalurkan ilmu, kefahaman dan bimbingan yang sah,” ujarnya.

No Image Caption

Coach cerai

Tambah beliau, kerajaan MADANI melalui JAKIM memandang serius isu ‘coach cerai’ yang tular baru-baru ini, susulan perceraian pasangan selebriti yang turut menyentuh urusan pentadbiran hal ehwal Islam.

“Perkara ini sepatutnya dirujuk dan ditangani oleh pihak berautoriti mengikut peruntukan undang-undang dan hukum syarak,” katanya lagi.

Sebelum ini, tindakan pelakon Uqasha Senrose menggunakan khidmat ‘coach cerai’ dalam menyelesaikan kemelut rumah tangganya bersama Kamal Adli mencetuskan pelbagai reaksi masyarakat.

Kamal Adli turut menuntut agar isu rumah tangga mereka diselesaikan secara bersemuka dan berhemah.

“Lebih baik kita berjumpa dan berbincang daripada menyebarkan hal peribadi kepada orang luar atau di media sosial,” katanya.

Beliau juga meminta individu yang menggelarkan diri sebagai ‘coach cerai’ supaya bersikap adil.

“Dengarlah penjelasan kedua-dua pihak, bukan hanya sebelah pihak sahaja,” ujarnya.

Bagaimanapun, individu berkenaan mendakwa dirinya hanya memberikan bimbingan selepas perceraian berdasarkan keperluan semasa.

Isu ini sekali gus menjadi peringatan bahawa dalam menjaga keharmonian rumah tangga, kebijaksanaan memilih tempat meluah dan mendapatkan nasihat amat penting.

Tidak semua yang viral itu wajar dijadikan panduan, dan tidak semua yang bergelar ‘coach’ benar-benar mempunyai autoriti.

Dalam soal perkahwinan, kembali kepada saluran yang betul sering menjadi langkah paling selamat untuk menjaga maruah dan masa depan keluarga.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang