'Isteri hadiah terindah dari Tuhan.' Mark Adam akui tanpa zuriat tetap bahagia, ikut nasihat ayah dan semangat ibu
SEBUT sahaja nama Mark Adam, pasti ramai yang terbayang akan karakternya yang bersahaja namun cukup menggelikan hati.
Cara percakapan dan cerita yang dikongsi sering menggeletek hati ramai, membuatkan dirinya dilabel sebagai pelawak.
Pernah muncul dalam program realiti, Super Spontan All Stars dan Juara Parodi, beliau sebenarnya lebih menggemari bidang nyanyian.
Lagu-lagu nyanyiannya cukup terkenal dalam industri hiburan Malaysia seperti Marry Me, Pencuri, Si Katak dan banyak lagi yang menjadi siulan ramai.
Selain itu, beliau juga dikenali kerana kebolehannya menguasai bahasa Melayu dengan baik biarpun berasal dari Filipina.
Dilahirkan dalam keluarga serba kekurangan di negaranya, perjalanan hidup Mark penuh dengan cabaran, namun semangatnya untuk berjaya tidak pernah luntur.
Minatnya dalam bidang nyanyian sudah bercambah dalam diri sejak kecil lagi. Seawal usia 12 tahun, Mark telah terlibat dalam dunia nyanyian apabila muncul juara pertandingan di Filipina.
Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di kolej sebelum dibawa ke Malaysia oleh sebuah agensi untuk menyanyi di hotel. Siapa sangka, jodoh menantinya di sini apabila bertemu wanita pilihan hatinya dan mereka berkahwin selepas dua tahun bercinta.
Demikian sedikit sebanyak pengenalan buat penghias muka depan SinarPlus kali ini.
Dalam industri seni, Mark bukan sahaja dikenali sebagai penyanyi tetapi juga sebagai komposer berbakat. Bahkan, beliau pernah bergelar tenaga pengajar bersama-sama Jaclyn Victor dan Black Hanifah dalam Ceria Popstar, yang disertai 12 peserta berusia antara 10 hingga 15 tahun itu
“Mungkin orang lebih mengenali saya sebagai penyanyi berbanding buat lagu. Kebetulan saya memang kurang berkongsi hasil karya di media sosial. Selain sibuk dengan nyanyian, saya juga mempunyai pusat latihan vokal Akademi,” ujar pemilik nama sebenar Marcus Adam Macaraig Echivarre itu. Usai memeluk Islam, beliau dikenali dengan nama Fikri Mark Adam Abdullah. Lelaki berusia 45 tahun itu bagaimana pun cukup ringkas dan low profile orangnya selain sangat mementingkan keluarga dan tanggungjawab sebagai anak, suami dan menantu.
Manakan tidaknya, hampir dua tahun beliau memilih untuk tidak fokus kepada kerjaya usai mentuanya jatuh sakit. Segala perhatian dan komitmen diberikan sepenuhnya kepada keluarga tersayang.
“Memang dua tahun kebelakangan ini, masa saya dihabiskan dengan menjaga bapa mentua yang sakit. Bagi saya itu ujian yang kami perlu lalui dalam keluarga selain satu tanggungjawab sebagai menantu.
“Saya sanggup habiskan masa di rumah, ada masa sempat menjalankan kerja-kerja pejabat, cuma saya akan pastikan tugas itu tidak memakan masa yang lama agar dapat memberikan perhatian sepenuhnya kepada keluarga,” jelasnya.
Isteri anugerah terindah
Jika segelintir pihak merasakan populariti akan jatuh seandainya tidak muncul di kaca tv atau aktif di media sosial, namun berbeza dengan pendirian Mark.
“Saya tak bimbang walaupun tak muncul di kaca TV kerana keluarga lebih diutamakan. Alhamdulillah sehingga kini, saya masih diberi kesempatan untuk meneruskan kehidupan ini dengan menunaikan segala tangungjawab yang telah diamanahkan oleh-NYA sebagai seorang hamba, suami dan juga seorang anak,” tambahnya lagi.
Sikap dedikasi Mark kepada keluarga jelas mencerminkan prinsip hidupnya yang menempatkan keluarga sebagai keutamaan dari segala hal.
Bahkan, tuan punya badan mengakui isteri tersayang, Norazah Redzuan atau Ezan Marzan Echivarre yang mesra disapa Ezan pembuka jalan untuk beliau lebih mengutamakan keluarga melebihi segala-galanya.
Manakan tidaknya, sebelum ini pernah tular kisah Mark berkongsi sepotong video membawa ibunya yang ditutup mata menaiki motosikal ke rumah baharu yang tidak jauh dari kediaman lama mereka.
Rupa-rupanya kejutan untuk menghadiahkan ibunya sebuah kediaman yang selesa di kampung halamannya datangnya dari isteri tersayang.
Ezan dikatakan membuat carian kediaman di Cebu, Filipina menerusi internet dan pilihan itu turut disukai ibu mentuanya itu.
Disebabkan itu, Mark menganggap isteri adalah anugerah terindah yang harus dihargai dan dijaga.
“Isteri adalah 'hadiah' untuk lelaki daripada Tuhan yang harus kita jaga,” ujar Mark penuh makna.
Sekadar rekod, Mark mendirikan rumah tangga bersama wanita kesayangannya itu pada 31 Ogos 2003. Sehingga kini, bahtera yang dilayari sudah mencecah usia 23 tahun.
Pun demikian, pasangan itu masih belum dikurniakan cahaya mata, namun mereka tetap optimis dan bersyukur dengan kebahagiaan yang dikecapi.
“Pada saya, kebahagiaan terletak pada apa yang ALLAH berikan. Kami percaya kepada setiap rezeki yang DIA berikan. Kalau DIA beri (anak) alhamdulillah. Jika tidak, kami tidak kecewa,” katanya dengan penuh reda.
Mark juga mengimbas kembali pesanan bapanya di Filipina, yang memberikan peringatan penting dalam hidupnya.
“Bapa pernah berkata, kalau saya sakiti isteri, dia suruh lupakan dia sebagai bapa saya. Pesanan itu saya pegang kuat,” cerita pelantun lagu Pencuri dan Marry Me itu lagi.
Makanan halal
Selain aktif sebagai anak seni, Mark juga terbabit dalam bidang perniagaan. Terbaharu, beliau tampil dengan produk Satay Bhalut.
Beliau menghabiskan masa beberapa bulan mengkaji produk tersebut sebelum melancarkannya.
Namun siapa sangka, langkah beliau dalam industri makanan itu menjadi kontroversi dan bualan ramai. Rata-rata mempersoal tentang ‘harga kayangan’ yang diletakkan ke atas sate tersebut.
“Ramai ingat ia sama seperti sate biasa, tetapi sebenarnya ia sangat rumit selain menggunakan bahan-bahan premium.
“Saya suka cabar diri sendiri. Sebelum buat, saya akan kaji dan buat eksperimen. Keuntungan pun sederhana, bukan berganda-ganda. Saya betul-betul pilih produk yang berkualiti.
“Saya dan isteri suka berniaga dan rajin belajar asas bisnes. Sudah macam-macam bisnes kami lakukan sebelum ini. Ikutkan perancangan jangka panjang kami memang nak serius dalam bisnes sebab dapat bantu famili serta buka peluang pekerjaan kepada orang lain,” katanya yang terima dengan hati terbuka setiap kecaman.
Pada masa sama, empunya diri mengakui tidak memaksa orang ramai untuk membeli produknya itu.
“Tak sangka benda ini jadi viral. Kalau ada yang nak rasa sendiri, datang jumpa dan saya boleh beri tetapi jangan terus hentam,” ungkap Mark yang meletakkan sasaran satu hari nanti produk berkenaan dapat dieksport ke luar negara dan menjadi simbol makanan halal Malaysia.
Menyentuh akan kontroversi yang melanda namun beliau tetap dilihat tenang dan tidak melenting.
Kongsi Mark, selain ibu, sokongan isteri, kakak dan ahli keluarga lain juga memainkan peranan besar dalam membina keyakinannya.
“Kalau di tempat sendiri mungkin orang tak tahu akan kontroversi yang melanda, termasuk ibu saya. Namun, kalau ibu tahu pun, dia tetap akan bagi semangat kerana kenal anaknya.
“Semangat yang ada pada ibu itulah yang mengalir dalam diri saya sehingga kini,” katanya lagi.
Mark sebelum itu muncul sebagai tetamu jemputan program bual bicara Borak Bibir Merah anjuran SinarPlus yang berlangsung di Dewan Karangkarf, Shah Alam dan bakal ditayangkan pada 24 Januari pukul 8.30 malam di semua platform media sosial SinarPlus dan Sinar Harian.
Program tersebut turut mendapat tajaan Courts Malaysia, Ombak Dive Resort, Mydin Hypermarket, Econsave Hypermarket, Malaya Perfumery, Wardah Beauty Cosmetics, Telekung Siti Murni, SZBlooms dan Twinnings Malaysia.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang