'Kalau ada jodoh lagi, biarlah kali ini benar-benar bertemu cinta sejati.' - Nadia Annuar
CANTIK, bijak dan bergaya. Tiga perkataan ini sahaja sudah cukup untuk menggambarkan pesona seorang pengacara dan usahawan, Nadia Annuar.
Di balik kelembutan tutur katanya, wanita berusia 41 tahun ini menyimpan semangat besar untuk melangkah lebih jauh, bukan sekadar dalam dunia hiburan tetapi juga dalam lapangan perniagaan yang sedang dirintisnya.
Sebagai anak perempuan tunggal daripada lima beradik kepada usahawan kosmetik ternama, Dr Zaiton Hassan atau lebih dikenali sebagai Kak Ton, sudah tentu Nadia menjadi sandaran utama untuk menyambung legasi ibunya.
Harapan itu nyata besar, apatah lagi Kak Ton kini berusia 67 tahun dan semakin memerlukan tangan baharu untuk melanjutkan perjuangan dalam industri kecantikan.

Namun di sudut hati Nadia, ada gelora yang tidak pernah padam. Antara memenuhi hasrat seorang ibu yang sudah meniti usia dengan keinginan peribadi untuk membina sesuatu atas nama dirinya sendiri.
“Sejujurnya, mummy (Kak Ton) sudah lama minta saya ambil alih. Dia kata sudah semakin tua, tidak larat untuk urus semuanya seorang diri.
"Saya faham, tetapi dalam masa sama saya masih mahu bina pengalaman dengan perniagaan sendiri dahulu. Saya takut kalau terus ambil, nanti akan ada campur tangan yang akhirnya membuatkan hubungan anak ibu jadi renggang.
"Jadi, kalau mummy bersedia untuk lepaskan perniagaan itu sepenuhnya kepada saya, mungkin saya akan mempertimbangan untuk mengambil alih,” katanya berterus terang.
Konflik itu nyata bukan sekadar soal bisnes, tetapi juga soal jiwa. Sebagai wanita yang sudah berpengalaman, Nadia tahu dia memegang tanggungjawab besar, namun hatinya lebih tertarik kepada minat sendiri, bukan semata-mata mengikut jejak langkah ibunya.
“Mummy memang cintakan dunia kecantikan. Dari produk wajah hinggalah fesyen, itu darah daging dia, tetapi saya sebaliknya.
"Saya lebih suka makanan, minuman dan cari tempat makan yang sedap. Daripada situ, kumpul idea dan percaya satu hari nanti minat itu boleh dijadikan sesuatu yang besar,” luahnya sambil tersenyum.
Matang
Seiring usia yang semakin matang, Nadia tidak mudah melatah apabila dihimpit gosip atau kontroversi. Baginya, isu remeh tidak perlu dipanjangkan kerana hanya akan meninggalkan kesan negatif.
“Bila timbul sesuatu perkara, saya hanya akan jelaskan sekadar perlu. Lepas itu, saya lebih rela diamkan diri. Kalau kita biar isu berlarutan, bukan sahaja menjejaskan orang sekeliling, malah diri sendiri pun rasa terbeban. Hidup akan jadi tertekan, emosi terganggu.
"Jadi, rahsia untuk tenang dan awet muda adalah belajar melepaskan perkara negatif sejauh mungkin,” tuturnya penuh makna.

Dalam sisi peribadi, Nadia tidak menafikan, sudah melalui episod jatuh bangun rumah tangga. Pernah gagal dua kali dalam perkahwinan, kini dia lebih berhati-hati sebelum membuka pintu hatinya sekali lagi.
“Saya tidak terburu-buru. Kalau ada jodoh lagi, biarlah kali ini benar-benar bertemu cinta sejati. Saya hanya mahu pasangan yang mampu saling melengkapi. Itu sahaja,” katanya yang memilih untuk menanti jodoh dengan sabar.
Bagi Nadia, bahagia tidak semestinya hadir daripada pasangan semata-mata. Kebebasan membuat keputusan sendiri dan kehadiran anak-anak menjadi sumber kekuatan terbesar dalam hidupnya kini.
“Melihat anak-anak membesar, mampu berdikari dan memahami situasi yang dilalui oleh kedua ibu bapa, itulah kebahagiaan paling bernilai untuk saya,” ujarnya sambil menguntum senyuman.
Nadia sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Hafiz Salleh dan dikurniakan seorang anak perempuan, Dya Naylaa, 7 tahun. Namun perkahwinan mereka berakhir dua tahun lalu selepas hampir sedekad hidup bersama.
Sebelum itu, Nadia pernah berkahwin dengan Datuk Sulaiman@Mohd Helmi Mohd Ilyas dan bercerai pada Oktober 2010. Mereka juga dikurniakan seorang anak, Mohamed Aaron Erwin, 16.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

