‘Sampai hospital dapat tahu dia dah tak ada’- Sempat teman buat imbasan kehamilan, pempengaruh kongsi momen terakhir bersama arwah suami
SEKELIP mata. Baru semalam, pempengaruh media sosial, Farah Fakhira menikmati bahagia bersama suaminya, Zaidul Ariff. Namun kini, dia kehilangan insan tersayang itu buat selama-lamanya.
Berita duka tersebut dikongsi sendiri Farah menerusi hantaran di Instagram miliknya.
Dalam hantaran tersebut, wanita berkenaan memaklumkan, suaminya rebah ketika bermain badminton sebelum dikejarkan ke hospital..
Bagi Farah, kehilangan ini bukan sekadar tentang perpisahan jasad, tapi juga ujian besar selepas kehilangan arwah ibunya sebelum ini.
Dua insan yang paling dekat di hatinya, pergi meninggalkannya dalam jarak waktu yang tidak lama.
“Selepas arwah mama tinggalkan saya, sekarang awak pula. Tak tahulah dekat mana yang kuatnya.
"Hakikat rasa gelap dunia ini,” tulis Farah pada Instagram Stories.
Di ruangan sama, dia meluahkan rasa hancur apabila bahagia yang baru hendak dikecapi direntap dalam sekelip mata.
“Rasa sekejap sangat hidup dengan awak, kenapa tinggalkan saya dengan anak padahal sikit je lagi nak hidup bertiga," ujarnya lagi.

KENANGAN TERAKHIR
Sementara itu, dalam video yang turut dimuat naik, bakal ibu itu turut berkongsi momen terakhir bersama arwah suaminya.
Selepas membuat imbasan kehamilan, pasangan itu sempat meluangkan masa bersama makan dan jalan-jalan sebelum pulang ke rumah.
"Sebelum dia pergi badminton pukul 10 malam, sempat spend masa dekat rumah, borak-borak sampai dia send gambar selepas sampai.
"Pukul 12 dapat call Zaidul pengsan dan dikejarkan ke hospital.
"Rasa macam mimpi sangat awak terus tak ada, tinggalkan saya dengan anak. Sampai hospital dapat tahu dia dah tak ada.
"Ya ALLAH benarlah kematian ini bila-bila masa sahaja ENGKAU boleh ambil," kongsi Farah lagi.
Dalam kapsyennya, Farah mengakui akan kebaikan yang ada pada arwah suaminya dan memohon orang ramai menitipkan doa semoga dia terus kuat demi zuriat yang dikandungnya kini.

“Ya ALLAH, ampunkanlah suamiku, sesungguhnya dia seorang suami yang sangat baik dan bertanggungjawab.
"Terima kasih kerana pinjamkan dia buat ku selama ni. Terima kasih izinkan kami ada zuriat bersama walaupun dia dah tak ada denganku.
"Rasa sekelip mata gelap terus dunia bila situasi ni datang semula. Benarlah, kematian ni bila-bila masa je ALLAH nak ambil.
"Minta sangat doakan arwah ditempatkan orang-orang beriman dan semoga suatu hari nanti Fara boleh jumpa dia di syurga.
"Minta juga doakan Fara sihat dengan baby dan kuat jalani kehidupan selepas ini," ungkapnya.
Hantaran tersebut dibanjiri dengan ucapan takziah daripada rakan-rakan dan pengikut yang rata-ratanya masih terkejut dengan khabar pemergian Zaidul Ariff.
Ramai yang menitipkan doa agar Farah diberi kekuatan dan ketabahan untuk meneruskan kehidupan mendatang, apatah lagi dengan kehadiran zuriat yang bakal lahir, tanda cinta terakhir mereka berdua.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
