Scha Alyahya akui Ramadan & Aidilfitri kini berbeza, reda pemergian ibu. 'Koleksi beg 'Hey June' lambang kasih sayang buat arwah'

No Image Caption
A
A
A

SETIAP insan mempunyai cara tersendiri untuk menyimpan kenangan bersama orang tersayang.

Bagi pelakon, model dan hos, Scha Alyahya, ingatan terhadap ibunya, Allahyarham Junainah Hashim, bukan sekadar dalam doa dan memori, tetapi terikat erat pada sesuatu yang istimewa, iaitu beg tangan.

Apa sahaja beg yang dibelinya, pasti akan dikongsi bersama ibu tersayang. Ia bukan sekadar aksesori, tetapi simbol kasih sayang dan ikatan yang tidak terungkap dengan kata-kata.

No Image Caption

Beliau yang baharu melancarkan koleksi beg 'Hey June', Scha berkata: “Saya dan ibu berkongsi minat yang sama. Apa sahaja beg yang dibeli, akan dikongsikan dengannya (ibu).

“Kami selalu bertukar-tukar beg, dan itu satu kegembiraan kecil yang hanya kami berdua faham.

“Arwah memang suka beg. Bukan sekadar aksesori, tetapi ia sebahagian daripada personaliti dan gaya hidup kami,” ungkap Scha tatkala mengimbau momen indah yang disimpan bersama arwah ibunya.

Dedah beliau lagi, selain beg, ibunya juga penggemar minyak wangi.

Malah, sebagai ibu, apa sahaja yang dilakukan, Scha juga akan mendapat sokongan tanpa berbelah bahagi daripada syurganya itu.

“Arwah memang sentiasa menyokong apa sahaja yang saya buat. Setiap kali saya ingin mengeluarkan sesuatu produk, dia akan menjadi orang pertama yang percaya dan memberikan kata-kata semangat.

“Buat elok-elok, ya nak. Nanti mak nak tengok. Itu pesan mak sebelum saya memulakan projek beg tangan ini. Dia tahu saya akan melancarkan koleksi ini.

“Malangnya, hajat untuk melihat mak turut berada di samping saya ketika melancarkan beg ini tidak kesampaian.

“Sepatutnya saya melancarkan koleksi ini pada bulan Disember, tetapi waktu itu mak pergi buat selama-lamanya,” jelas Scha ketika ditemui dalam majlis pelancaran koleksi beg tangan di bawah jenama fesyen miliknya, Ayaaya.

Akui isteri kesayangan Awal Ashaari itu lagi, hatinya remuk dengan kehilangan tersebut dan ambil masa lama untuk beliau bangkit semula.

No Image Caption

Mencari kekuatan

Enggan terus larut dalam kesedihan, duta busana jenama Amber itu cuba mencari kembali kekuatan dalam kenangan dan kasih sayang yang masih terasa di sekelilingnya.

“Sebab itulah saya mahu koleksi ini menjadi satu penghormatan untuknya. Saya juga mahu jenama ini mewakili ketabahan saya, semangat mak, dan kasih sayang yang tidak pernah pudar walaupun dia tiada lagi.

“Ketika majlis pelancaran, saya cuba kuat. Tetapi air mata tetap mengalir. Saat itu, saya terbayang mak berdiri di sebelah, tersenyum bangga melihat saya merealisasikan impian ini,” ungkap Scha lagi dengan nada sebak.

Selain berkongsi minat dengan ibunya, rupa-rupanya ada sebab lain kenapa beliau mula beralih kepada dunia fesyen.Tatkala perkara itu diajukan, ini jawapan tuan punya badan: “Mungkin sudah tiba masanya untuk saya fokus sepenuhnya dalam bidang ini.

“Sebelum ini, sebelah kaki di dunia hiburan, sebelah lagi di dunia fesyen. Kali ini, saya mahu benar-benar mendalami dan menjadikannya sesuatu yang bermakna,” jelasnya lagi.

Malah, akui pemilik nama sebenar Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya, pemilihan aksesori itu juga baginya sesuatu yang praktikal dan dekat di hati.

“Sebagai seseorang yang telah lama berada dalam industri fesyen dan hiburan, saya mahu sesuatu yang melambangkan diri saya,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, koleksi berkenaan juga bukan sekadar beg tangan. Ia adalah simbol kasih seorang anak kepada ibunya.

“Saya berharap setiap orang yang memilikinya akan turut merasakan sebahagian daripada kasih itu.

“Pada masa sama, saya juga mahu anak-anak dapat melihat dan menghargai usaha ini, seterusnya jenama ini bakal menjadi legasi kelak,” ungkap Scha penuh makna.

No Image Caption

Sambutan raya berbeza Menyentuh mengenai Ramadan dan Aidilfitri tahun ini, ibu kepada dua puteri itu tidak menafikan, sambutannya pasti akan berbeza.

“Memikirkan sambutan tahun ini memang cukup mendebarkan, namun saya reda. Rutin yang biasa dilakukan setiap tahun bersana arwah sudah tiada lagi. Ini menjadi perubahan sangat besar dalam hidup apabila tiada ibu.

“Namun, saya tetap raikan Ramadan dengan sebaik-baiknya. Paling utama, tiada lagi suara arwah menyambut saya di rumahnya, tiada lagi juadah kegemarannya di meja makan.

“Kalau dahulu, setiap kali menjelang raya, pasti tidak akan terlepas menyediakan kuih dan ketupat palas. Memang setiap tahun saya akan tempah untuk dibawa balik kampung,” ungkapnya sebak.

Malah, katanya selepas ini beliau pasti merindui air tangan ibunya.

“Kalau dulu balik kampung beraya, saya tidak sabar untuk merasai juadah yang disediakan arwah.

“Kali ini berbeza. Saya akan pergi ke pusaranya. Insya-ALLAH, saya belajar untuk reda, tetapi rindu itu tetap ada,” jelas Scha.

Walaupun hati masih bersedih, beliau tidak boleh terlalu lama tenggelam dalam kedukaan.

Apatah lagi, masih ada insan lain yang memerlukan perhatian dan kasih sayangnya, iaitu suami serta dua cahaya mata mereka, Lara Alana dan Lyla Amina.

“Saya masih mempunyai keluarga mentua, suami dan anak-anak yang memerlukan saya. Seperti mana mak dahulu selalu ada untuk saya, kini giliran saya untuk ada buat mereka,” ujarnya.

No Image Caption

Ragam anak Berkongsi mengenai gelagat dua cahaya matanya menyambut puasa, Scha berkata, anak sulungnya sudah mula berpuasa sejak Syaaban lagi.

“Lara teruja hendak berpuasa. Ini tahun keempat dia berpuasa penuh, dan Lyla ikut jejak kakaknya.

“Mereka memang teruja bersahur kerana suka makan pada waktu pagi. Kalau saya, tidak sabar berbuka puasa dengan aneka juadah, tetapi mereka berdua suka bersahur dan bangun pagi. Jadi, tiada masalah untuk mengejutkan mereka bangun.

“Selain itu, masing-masing ada permintaan untuk menu berbuka. Pernah Lara meminta pulut mangga, roti jala, dan sebagainya,” katanya sambil ketawa.

Dengan pelbagai ragam dua anaknya itu, Scha mengakui memberikan aura bahagia buat mereka sekeluarga.

Anak sulungnya yang kini berusia 11 tahun akuinya masih dianggap seperti seorang anak kecil pada beliau, walaupun sudah bergelar kakak.

“Saya gembira melihat perkembangan dan perubahan dalam diri Lara.

“Cuma dia sekarang lebih matang, pemalu. Kalau nak kongsi video pun dia tak mahu. Jadi kami hormat dengan pilihan dan privasi dia,” jelas Scha lagi.

No Image Caption

Kesempatan yang sama, penulis turut bertanyakan mengenai pembabitan beliau sebagai model untuk busana Shawlpublika yang berkolaborasi bersama Seth & Luna untuk tahun kedua.

Akui Scha, kerjasama yang baik dan selesa antara faktor beliau bersetuju menerima tawaran tersebut.

“Alhamdulillah ini rezeki saya dan pernah bekerjasama sebelum ini, jadi keselesaan, kepercayaan dan hubungan baik membuatkan saya menerima tawaran untuk tahun kedua.

“Banyak elemen yang saya akan fikir sebelum memberi kata persetujuan, yang penting ia memberi manfaat pada kedua-dua belah pihak,” tegasnya.

No Image Caption

“Sebagai orang lama dalam industri juga, saya memang nakkan sesuatu yang baharu. Semakin meningkat usia, saya fikirkan sesuatu yang berbeza dan 'fresh’ tetapi ada impak.

“Bukan sekadar melihat pada nama sahaja, tetapi sejauh mana ia memberi keselesaan dan kepercayaan pada satu-satu jenama tersebut,” ulas Scha sebelum menutup perbualan bersama penulis.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang