'Scha bos di pejabat, balik rumah dia isteri saya'- Awal Ashaari pastikan keluarga & kerja berjalan seiring
SEJAK menapak dalam industri hiburan pada awal 2000-an, Awal Ashaari telah membuktikan dirinya figura serba boleh yang bukan sahaja bersinar di layar, tetapi juga meninggalkan jejak di hati penonton.
Daripada pengacaraan penuh karisma hingga drama dan filem yang memikat, Awal sentiasa relevan dan serba boleh.
Ahmad Awaluddin Ashaar, anak jati Kuala Lumpur itu menonjol menerusi program pengacaraan popular seperti One In a Million, Melodi, INNOVATHON dan beberapa program lain lagi.

Di layar perak pula, drama seperti Impak Maksima, Syurga Cinta dan Noktah Erna membantu mengukuhkan namanya di hati peminat, sekali gus membuktikan bakatnya sebagai anak seni yang mampu menambat perhatian baik di pentas mahupun skrin.
Pun demikian, jangan salah sangka, di sebalik lampu sorot dan kamera, rumah tangga tetap menjadi nadi kehidupannya.
Bersama Scha Alyahya, isteri dan rakan seperjuangan, mereka menekankan disiplin, komunikasi terbuka dan kasih sayang dalam mendidik permata hati iaitu Lara Alana dan Lyla Amina.
Awal yang merupakan lulusan universiti bidang komunikasi massa berkata, kejayaan sebenar bukan hanya di pentas atau layar, tetapi tercermin melalui rumah tangga yang harmoni.
Malah katanya, kedua-duanya boleh berjalan seiring tanpa mengorbankan satu sama lain.
Baru-baru ini, SinarPlus berpeluang menemubual Awal Ashaari, figura yang cukup dikenali dalam dunia hiburan Malaysia.
Perbualan itu bukan sekadar soal lakonan atau pengacaraan, tetapi lebih kepada gaya hidup, keluarga dan pandangannya terhadap isu sosial yang semakin mendapat perhatian ramai.
Dalam nada santai namun penuh makna, Awal membuka cerita tentang kerjayanya yang bukan sekadar pengacara, tetapi juga model, menyanyi dan juga berlakon.

Apabila diajukan persoalan tiadakah sekelumit rasa rindu untuk kembali ke set penggambaran seperti dahulu?
Sambil tesenyum Awal mengakui, jika diberi pilihan antara lakonan dan pengacaraan, dia pilih pengacaraan.
“Sebab itu sesuatu yang saya suka buat dan rasa baik dalam bidang itu. Kadang-kadang tengok diri sendiri berlakon, macam malu apabila berlakon sebagai orang lain.
“Namun, bukan bermakna saya mahu menolak lakonan sepenuhnya. Jika rezeki datang dalam bidang lakonan dan masanya tepat, saya tidak teragak-agak untuk menerima tawaran tersebut,” ujarnya.
Awal berkata demikian sewaktu ditemui penulis ketika menjadi hos bagi majlis pelancaran koleksi premium terbaharu Amber, Somewhere Somehow Someone yang menampilkan Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah sebagai duta.
Dalam pada itu, penulis turut perasan akan perubahan fizikal suami kesayangan Scha Alyahya itu yang dilihat susut sedikit berbanding sebelum ini.

Apabila ditanya sama ada sedang diet atau sakit, tuan punya badan menafikan.
“Sudah sampai satu tahap umur ini, makan pun tak banyak. Sarapan pagi lambat, makan tengah hari kadang-kadang lewat, malam saya cuma ambil snek. Bukan sebab nak diet, tapi rutin sudah berubah.
“Berat saya maintain antara 70 hingga 75 kilogram beberapa tahun ini. Gaya hidup ini bukan sekadar menjaga bentuk fizikal, tetapi juga sebahagian daripada disiplin diri,” dedahnya.
Sebagai selebriti yang dikenali ramai, lelaki berusia 44 tahun itu turut menekankan kepentingan penjagaan wajah dan kesihatan badan.
Rutin penjagaan wajah secara asas memang dititikberatkan, sebagai sebahagian daripada pelaburan untuk kekal relevan dan sihat dalam industri yang mementingkan rupa dan penampilan.
Dengan nada berseloroh, anak kelapan daripada sembilan beradik itu menambah, “Scha lagi rajin pergi gim, saya cuma maintain gaya hidup saya.
“Dia makan lebih banyak daripada saya, sebab itu kena banyak bersenam,” ungkapnya sambil tertawa.
Perbualan kemudiannya beralih kepada bab keluarga, yang menjadi fokus utama Awal dan Scha.

Pasangan suami isteri itu amat menekankan kepentingan memantau anak-anak. Lebih-lebih lagi isu buli kini semakin membimbangkan.
“Kami selalu periksa situasi mereka di sekolah atau dengan kawan-kawan. Kalau rasa tak selesa atau dibuli, mereka kena tahu cara nak cakap tak,” katanya dengan penuh kesungguhan.
Kerana itu katanya, komunikasi terbuka dengan anak-anak adalah kunci segala-segalanya.
“Sejujurnya, saya sering memeriksa perbualan anak-anak untuk memastikan mereka selamat, bukan untuk mengawal hidup sepenuhnya, tetapi untuk memberi bimbingan bila perlu,” katanya tegas.
ANAK BFF ISTERI
Soal disiplin turut menjadi topik menarik dalam perbualan itu. Apabila ditanya siapa lebih tegas antara beliau dan isteri, Awal tersenyum.
“Kalau nak dibandingkan, Scha lebih tegas dalam hal disiplin harian seperti kerja sekolah, tidur dan urusan rumah.
“Saya lebih santai, macam kawan dengan mereka. Kalau anak buat salah, saya biasanya akan beritahu Scha untuk tegur. Jadi mereka hormat dan ikut peraturan dengan lebih baik.
“Namun, hubungan isteri dengan anak-anak cukup rapat dan Lara sendiri ibarat BFF (best friends forever) kepada Scha,” kongsinya lagi.

Awal percaya, pembahagian peranan sedemikian membolehkan anak-anak merasa selesa, tetap ada batas, dan membina hubungan sihat dengan kedua ibu bapa.
Sebelum menutup perbualan, Awal mendedahkan bagaimana dirinya dan Scha menguruskan emosi, terutama apabila bekerja dalam satu syarikat.
“Kadang-kadang bila bekerja, Scha macam ketua dan saya kena bezakan antara watak suami dan pekerja. Selagi tidak memudaratkan, bagi saya tiada masalah untuk Scha bawa watak bos.
“Bila balik rumah, dia tetap isteri. Konsep ini membuatkan geseran dalam rumah tangga kurang, dan kita belajar untuk bezakan peranan masing-masing,” jelasnya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
